November 25, 2013

Kisah buat dia undur diri.

Ada seorang jejaka.
Nampak baik.
Rupa tidak seberapa.
Pandai tidak pada kata.
Cerdik nampak luarannya.
FIkir tidak menggunung.
Dia suka menulis.
Ada mencarut.
Ada meroyan.
Ada merintih.
Ada kisah sedih.
Ada cerita pedih.
Ada ceritera buat kekasih.
Ada yang benar-benar puitis
TIdak semua gramatis.

Satu hari.
Tulisan dia dilawat bekas kekasih.
Uja bekas kekasih terselit duka.
Ingin mencari ceria di alam maya.
Namun kecewa kerana satu cerita.
Bangkit menolak kerana yakin tajuknya.
Tajuk itu bagai satu bencana.
Bagai hilang saudara mara.
Demi merelakan semua.
Jejaka itu berfikir jadi manusia.
Khilaf tetap ada.
Dalam hati berkata,
 "terima kasih ya, sebab kau ajar aku jadi manusia"

November 24, 2013

Langit ansur kelam

Saat itu aku masih di bawah
termenung merenung murung
dalam anganku kian terasah kabus wajahmu
seseorang yang ingin aku dakap
dengan hati yang mendengus sarat terisi diri.

Ingin aku hembus liur,giur di hadapanku
di hadapan arus mata liar mu
seperti canggung membatu bagi aku
langsung kau datang membawa riak ceria
langsung kau datang membawa uja gembira
langsung tak tersedar aku terbias biasa.

Masa aku tidak muda ke depan
namun terus aku mengolah teknik imbas muka di belakangnya
berapa lama aku akan terus menduga riakmu
aku bangun
mata cerah harimu ansur kelam
aku kira, mungkin kau katakan masa tak menunggu
jalan-jalan indah terisi padu
tetap ada liku di balik cerita ini
aku bangun tanpa erangan keluh
tanggungjawab aku tak tertangguh
aku bangun, kerling ke kanan dan kiri
kau ansur kelam
aku menyapa malam.

Dadamu penuh cerita
saat kau sedih kau alirkan air kesedihan itu kepada aku
saat kau gembira semacam tersembur air kegembiraan itu
saat kau ingin merintih kau ansur kelam kelabu.

November 18, 2013

HARGA


Lahirnya kita dimamah usia.
Ketika mana menjengah langit bumi
kadar pertama.
Biasanya orang yang kita sayang  menyambutnya.
Disambut dengan tangan kasar dan lembut.
Sepasang tangan mencari rezeki, pertaruh bakti.
Sepasang lagi membelai dan mendandan peribadi.
Gembira institusi dan seisinya
Kerana wujudnya kita.
Membesar sudah dewasa menjengah
Kenangan tadi masih lekat atau tidak?
Atau dihadam tinggal sisa terus dibuang merata?
Ke mana hala hidup ini?
Lihat di wilayah lain.
Cuba.
Cuba-cuba dan rasa.
Cuba kecap ‘nikmat’ mereka.
Rasa.
Rasa-rasa apa rasa mereka?
Kita bersyukur kerna terhinggap
di wilayah indah
Kita bertuah.
Maruah pertuanan masih ada tak terjamah.


12:42,11 Zulhijjah 1434

Nafsu Besar


Sejuk. Panas.
Sejuk. Panas.
Akhirnya suam suhu badan Amin. Terus jarinya menekan punat alat kawalan jauh jenama nasional. Terpampang dua personaliti yang bekerja makan gaji dengan stesen televisyen swasta pada luarannya. Mereka mula asyik membaca berita yang disogok oleh pembekal yang tak ketahuan sumbernya. Badan Amin ketar-ketar lepas tengok personaliti tadi.
Jam berdetik pukul lapan malam.
Patutlah. Berita Utama Pukul Lapan Ngam-ngam sedang ke udara.
Anjing betul perasaan Amin waktu itu. Serabut. Entah kenapa bila rancangan berita itu ke udara dan terpampang dua orang personaliti itu terus menggeletar badan si Amin. Terus Amin memutar masa silam selangkah dua.
            “Kau kenapa jujur sangat? Gaji besar kau dapat, kereta mewah buatan Jerman kau dapat, jam tangan Swatch kegilaan kau pun dapat jugak”
            “Aku suruh kau kerja baca berita yang tertancap di skrin kecik tu je. Kerja senang pun bukan main susah kau nak buat.” Suara penerbit rancangan berita  itu masih lekat elok dalam lipatan kecelaruan akal Amin.
            “Aku tak nak jadi anjing!” Ayat itulah yang terpancut dari mulut Amin selepas ditenyeh dengan soalan penerbit tadi. Ringkas dan PADU bak kata dari LoQue ex-Butterfingers.
            “Anak bangsa aku takkan maju kalau aku teruskan kerja ni. Aku tak nak lihat mereka merempat sebab apa yang aku sampaikan akan tersebar ke seluruh dunia. Orang tunggu tepuk tangan sahaja selepas berita sampah ni ke udara” Tambah Amin.
            “Kau ingat diorang peduli yang mana sampah yang mana nasi ayam mayonis? Persetankanlah apa orang kata Amin. Kerja kau ringkas je. Mereka tu yang anjing, senang sahaja bersyukur dengan saguhati. Dah la ciput gila diorang dapat.” Pencerahan penerbit itu lagi meniupkan lagi api kemarakan dalam hati Amin.
            “Cis, cis dan cis!”
            “Berani kau merendahkan bangsa aku. Memang kau anjing!” Berang lagi dari Amin.
Selepas dialog itu Amin terasa ada tusukan di lehernya. Tusukan itu tajam yang amat. Datang dari arah belakang.Amin bertenang. Diam. Terus kebas seluruh tubuhnya. Tapi dia dapat melihat dengan jelas tubuhnya dirangkul jahat di bawa melalui lorong belakang pejabat televisyen di mana Amin bekerja. Amin ditinggalkan tanpa seurat benang dan digantung notis di tengkuk nya dengan tulisan tangan.
            “AKU ADALAH ANJING. INGIN MENJADI ANJING. SEBAB BANGSA AKU ANJING!”
Nasib baik Saiko lalu di lorong belakang kerana dia ada niat jahat untuk mencuri berita dari stesen televisyen tersebut. Semasa ingin meninjau dari dekat dia melihat Amin bogel. Dia perhatikan Amin agak lama tapi bukan pada bahagian sensitif yang kita selalu bayangkan. Amin lumpuh.
            “Aku tak nak jadi anjing!”
            “Si keparat penerbit itulah yang menjahanamkan  kondisi aku.” Laung suara hati Amin yang teringat peristiwa hitam itu.
Amin tinggal dengan Saiko selepas kejadian itu. Dia mengajar macam mana Saiko ingin bekerja untuk penerbit itu. Dalam masa itu dia mengajar Saiko untuk menjinakkan nafsu penerbit itu supaya mudah untuk dia dan Saiko menjerat nyawa penerbit yang tamak lagi rakus menghapuskan bangsa sendiri.
Hati si Amin berdetik.
            “Kau tunggu wahai ANJING!”
            “Kita lihat aku atau kau yang patut jadi anjing.”

Berita akhir malam itu memaparkan penerbit rancangan berita ditemui mati di dalam kawasan yang mempunyai gerombolan Rottweiler.  Amin senyum.

Fobia (cerpen 100 perkataan)

Orang yang lalu untuk masuk ke dalam hanya kerling. Mata-mata yang memandangku beraksi remeh. Mungkin aku tak patuh dan tak taat di mata mereka. Aku jenguk tadi, ada dua puak berimam dengan dua imam.
“Kenapa budak ni tak masuk lagi? Asyik buang masa kat sini. Dasar anak muda!” Abang Jib lalu sambil berbual dengan Abang Nik.
“Biarlah. Nasib baik dia datang jugak. Orang dewasa pun bertelagah siapa benar siapa malaikat sampai rumah besar ni pun tak terjejak. Fobia kot,” Balas Abang Nik sambil senyum ke arahku.

Seruan besar menyergah. Aku langsung berwuduk terus masuk ke dalam. Tuhan Maha Besar. Tenang.

Tuhan Sayang


Subuh.
Titisan embun memupuk alir lancar ke tanah Kampung Stratarata. Dingin dirasakan bagi setiap penetap dan juga pemaustatin hingga ke tulang sum-sum. Masing-masing enak melayari kapal hidup di alam gelap gelita. Tidur. Mimpi. Mamai. Ngigau. Kokokan ayam sia-sia jika dikira bilangan makhluk yang bangkit waktu itu kerana beberapa buah rumah sahaja yang sudah cerah dek lampu yang menyala. Laras keteguhan jiwa tampak rapuh tatkala subuh menjengah. Rutin biasa bagi orang awam.
            Zaizai, 15, lelaki tulen, Melayu jati, warganegara yang sah, tidak diimport dari tetangga seberang. Itu yang terakta dalam kad pengenalan dirinya. Tubuh badan terfizikal sederhana, rambut ikal, sepasang mata biasa seperti kebanyakan budak melayu lain. Ada sekumpulan jerawat di pipi kiri dan kanan tanda baligh. Tiada langsung unsur artis K-pop pada dirinya. Budak kampung yang penuh riak wajah dan mimik muka yang tidak bersalah.
            “Bila dah besar nanti jadi orang baik-baik,” pesan mak.
            “Hormat orang tua jangan lupa ya nak,” pesan mak.
            “Jangan lupa Tuhan, nanti Tuhan lupakan kau!” Tegas dalam tenang pesan ayah.
Terngiang-ngiang di legar telinga Zaizai pesanan kedua orang tuanya yang sibuk mengabdikan diri di rumah. Abdi kepada Tuhan kata ayahnya. Dia tinggal bersama-sama mak dan ayahnya serta beberapa orang adik beradiknya sejak kecil dan dididik untuk patuh arahan orang tua. Setiap tingkah laku, gerak geri, pemikiran, keputusan, pendapat, idea, rungutan daripada Zaizai adik beradik boleh dikatakan akal mereka di’pegang’ oleh ibubapa mereka.
            “Kau besar nanti jadi polis.
Abang Yan kau tu jadi askar.
Kak Wan jadi misi!” Tegas ayahnya kepada Zaizai adik beradik sejak kecil.
 Hampir setiap hari disogok dan diingatkan tentang perkara tersebut tanpa banyak atau satu soalan terpacul daripada mulut atau terbit di benak fikiran mereka adik beradik. Semuanya kerana ajaran ibubapa mereka supaya PATUH dan HORMAT terhadap hemat orang tua.
___________________________________________________________________________
            Tingkatan Tiga Rona Jingga sarat dengan bunyi riuh sakan kerana isi suara penghuninya. Setiap orang ada cerita yang diutarakan ketika itu walaupun hal sekecil mana pun tetap menjadi topik mengisi masa lapang mereka ketika ketiadaan guru. Bilangan penghuninya secara total adalah 31 orang termasuk Zaizai. Susunan meja dalam kelas itu diatur berpasangan kecuali Zaizai yang menetap bersama dua orang lagi rakan sekelasnya seorang lelaki seorang lagi perempuan, yang duduk ditempat paling depan dan di tengah-tengah kelas. Juzuk si lelaki. Hayat si perempuan.
            “Kau ni asyik senyap je Zaizai, tak bosan ke?” Tegur Juzuk.
            Tiada jawapan. Zaizai tunduk tanpa ada apa-apa respon lain. Juzuk memberi isyarat dengan menjuih bibir ke Hayat untuk mencuba bertanya mana tahu kalau si Zaizai minat untuk menjawab soalan dari perempuan. Seperti kebanyakan massa lelaki sekarang yang mudah sahaja memberi respon jika hal berkaitan dengan perempuan,wanita, feminim atau betina sekalipun. Tetap ada jawapan akan diberikan sepositif mungkin. Tak kurang juga yang menggunakan perempuan sebagai umpan untuk pelaris, memikat hati pelanggan terutamanya yang mata keranjang, tua kutuk tak sedar diri dan jejaka gersang untuk menjamu mata. Amalan buruk setiap hari bertambah di kedai kopi atau pejalan kaki. Kadang-kadang mereka berkongsi. Itulah eksploitasi. Dunia yang selalu mengancam tapi tindakan hanya diam.
            “Awak, kenapa saya tengok awak asyik diam je?” Santun si Hayat.
            Cuba untuk menjawab namun terus Zaizai diam untuk dua hingga tiga saat
            “Saya tidak pernah bosan sebab saya tak lupa Tuhan,”
            “Saya diam pun ingat ke Tuhan, saya syukur,” tiba-tiba Zaizai memecah buntu usaha Juzuk dan Hayat yang ingin berkomunikasi dengannya.
            Juzuk dan Hayat pegun kehairanan dan inginkan lagi huraian jawapan yang Zaizai. Mereka tidak menyangka kerana kebanyakan rakan seangkatan tidak pernah bercakap pasal Tuhan kecuali pada masa Ustaz Kai mengajar subjek Amalan Kita. Itupun soalan mengarut seringkali dibincangkan dan soalan tersebut juga femes di seluruh alam remaja.
            “Apa hukum saya berkasih sayang dengan makhluk Tuhan, perempuan bernama Dinar yang menetap di kelas sebelah ustaz?” Wali bertanya seraya menambah, “Dia cantik lah. Saya selalu lepak berdua dengan dia. Dia tak kisah pun muka saya tak hensem asalkan saya sembahyang cukup saya dah boleh sentuh pegang tangan dia. Bahagia rasanya ustaz.”
            “Ustaz, apa hukum saya pakai baju sendat, sebab ada lelaki  tegur saya bila saya pakai macam tu. Lelaki tu cakap ‘Awak tak perasan kita sebab awak tak perasaan awak cantik’, bangganya saya ustaz, setiap minggu saya sengaja jumpa dia sebab nak suruh lelaki tu puji saya.” Soal Lunak.
            “Cikgu Suraya tu baik, selalu saya bayangkan kahwin, makan, tidur dan macam-macam lagi dengan dia. Apa saya kena buat?” Soal si Semboyan sambil mukanya high sedang berhalusinasi.
Juzuk mengimbas kembali soalan-soalan yang pernah ditanyakan oleh rakan seangkatan dalam kelas Tingkatan Tiga Rona Jingga. Semua isi kelas itu hanya bertanya apa hukum dan apa mereka perlu lakukan namun tidak cuba untuk berusaha mengenal Tuhan. Mereka sekadar  bertanya untuk mengelak kesalahan yang mereka telah lakukan dan akan mereka lakukan. Zaizai hanya diam ketika Ustaz Kai mengajar dan tidak pernah terdetik dibenaknya untuk bertanya kerana sogokan untuk menghormati orang yang lebih tua telah tersemat rapi dalam disiplin Zaizai. Hanya angguk-angguk geleng-geleng saja Zaizai mampu, juga sebagai tanda hormat. Dia memang seorang penuntut ilmu yang genius, hafalannya tak tertanding oleh pelajar lain. Tapi, Zaizai lemah dalam kemahiran berfikir atau lebih familiar disebut KBKK. Namun dia tahu, Tuhan sayang dia sebab dia ingat Tuhan. Banyak bantuan Tuhan telah kurniakan kepada Zaizai dan keluarganya. Dia sekeluarga sentiasa bersyukur. “Syukur, terima kasih Tuhan,” ayat lazim bagi keluarganya.


Tepat pukul 8 malam.
            Kesemua ahli keluarga siap siaga menghadap kiblat. Mereka tidak berdiri, tapi duduk. Disediakan minuman dan makanan ringan. Menunggu Tuhan datang. Saban malam Tuhan akan mengunjungi mereka. Tuhan akan memberi syarahan dan berhujah memberi penerangan tentang negara yang mereka tinggal serta negara lain yang berada disekeliling. Zaizai sekeluarga bahagia kerana Tuhan beritahu negara mereka aman sentosa dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Tuhan jaga mereka. Ayah Zaizai bangun dan berkata, “Terima kasih Tuhan! Syukur” diikuti mak Zaizai, Abang Yan, Kak Wan dan Zaizai sendiri. Disamping itu, ada juga Tuhan mereka khabarkan yang mereka akan menerima bantuan duit tunai tidak lama lagi. Sebelum Tuhan beredar, Tuhan juga beritahu sukan amat penting dalam hidup mereka. “Hamba-hambaku sekelian perlu bersukan, biar tahu bersukan, tahu bermain, ranking perlu dipersetankan!” tegas Tuhan lagi.
            Sementara itu, Juzuk dan Hayat sedang mengintai dari luar rumah. Mereka kagum dengan Zaizai yang patuh dengan Tuhannya sejak mereka ajukan soalan kepadanya ketika di sekolah pagi tadi.
“Wah, Tuhan mereka bagus lah!” Getus Juzuk.
“Ya, Tuhan ni hanya datang masuk dalam kotak hitam nipis melebar. Mudah kita jumpa Tuhan ni” Setuju si Hayat.
Sejam mereka mengintip malam itu sambil diakhiri laungan kuat keluarga Zaizai yang memecah hening suasana gelap di kawasan kampung itu.
“SYUKUR! TERIMA KASIH TUHAN! SAYANG TUHAN.”


Tuhan Sayang?

November 11, 2013

Sekarang ini

Usai
Makan minum
Monolog
Bersapaan di jalanan sosial
Aku
Mengisi tamu mimpi indah
Selesai utuh sujud
Palsu mungkin
Hanya DIA tahu

Barangkali
Kita bisa ketemu
Bertamu
Mata realiti
Hati fantasi
Mimpi manusiawi
Cemburu
Tempias nafsu berhijab
Penuh cemburu

Harap
Ingin bermimpi di siang hari
Mungkin lagi
Masa itu mati
Ya
Aku
Akan mati.

November 10, 2013

Sekarang

Jam dua
masih di kamar
samar
terkapar-kapar masa aku biar

Manusia lain sedang buat apa
Mengilai
Merana
Bahagia mereka

Aku tetap teleku sahaja
Tidak ke mana
Tak tahu ke mana
Aku diam
Statik
Minta nyawa.

Masa.Nyawa

November 9, 2013

Teman & Istimewa

Malam ni aku tiba2 rasa nak menaip (macam) panjang.
Tadi aku keluar lepak dengan kawan2 aku sambil makan2. Aku order nasik gorang kampung, feveret aku (kot),sebab aku memang yang tak memilih sangat bab makan nak2 lagi time aku lapar. Dah lama aku perhatikan orang lain dan kawan2 bila nak order makanan, masing2 memang ade taste dan nafsu sendiri bila nak makan kat kedai (kat rumah diorang aku taktau la macam mana). Aku perhatikan cara diorang ni memang selalu keluar lepak minum dengan kawan2 diorang takpun family diorang. Jenis aku ni bukannya memilih sangat, tapi kadang2 tu rasa la jugak menyirap bila mana ekspektasi aku tak dipenuhi, secara mudah macam bila kita order air suam orang kedai angkat air panas. Biasanya aku simple je bab makan2 kat kedai ni macam kat rumah jugak la. Mak aku masak ape pun aku bedal je. Kadang2 rasa malas terus aku tak makan dan mak aku okey je.

   Dalam pada duduk lepak makan minum tu, aku macam moody dalam diam...taktau ada kawan perasan ke tak, yang pasti aku moody la. Aku pun taktau kenapa macam ada panah asmara yang mintak meronta-ronta ingin dilepaskan serta aku berasa tak keruan menahan perasaan tu. Aku rasa macam kosong, melayang serta datang perasaan membuak-buak bikin panas dalam hati. Variasi ni datang pulak semasa berada dalam khalayak yang dibanjiri manusia yang rata2 niatnya datang untuk berhibur dan melipur lara setelah lama tak jumpa. Aku cuba persetankan moody aku tu. Tapi tak kemana pun, tak berganjak dan tak bergerak walau seinci. Jahanam mood malam aku. Tapi, dek kerana fikirkan ada kawan2 aku rileks sahaja.

   Balik rumah (sebenarnya dalam perjalanan balik) aku cuba fikir dan tenung balik apa yang tak jadi dengan aku. Aku bertenang, layan twitter sambil lewa dan aku coretatkan sikit kat sini.

   Rupanyan ada orang yang aku sudah selami hatinya sedang perhatikan aku dalam diam, senyap, rahsia dan macam lagi. Tapi aku taktau yang mana, siapa, apa sebabnya tiba moody aku datang tiba2. Aku cuba dan terus cuba. Akhirnya, aku tau hati itu milik siapa dan hati itu sedang meluahkan isinya di dalam penulisan ini.

   Aku perasan dengan perasaan aku ni. Aku perasaan yang ada kedukaan dan kesunyian sedang bersarang dan aku rasakan rasa itu akan berpanjangan kerana pengalaman yang mengajar aku. Sayup hati bila aku kenangkan sikap aku yang gagal melawan nafsu dan melulu. Perasaan menyesal itu bertalu-talu cemburu dan tak dapat dikawal, tapi hanya pada masa ini sahaja. Aku tak tahu depan sana apa yang akan jadi. Sekian.

Maaf la. Tulisan aku tidak sehebat orang2 yang pecah otak mengharungi pengalaman yg memenatkan. Aku cuba buat sedikit catatan ini agar aku sendiri cuba cari dan jadi pengalaman. Moga2 aku jumpa kemanisan.

November 3, 2013

Tidur

Apa aku buat bila tak tidur?

Kau rasa?

Aku mabuk dengan alam maya kah?
Aku berkhalwat dengan hiburan lagha kah?
Aku belajar sesuatu kah?
Aku inzal dengan betina mana kah?
Aku senggama guna henfon kah?
Aku pura-pura tidur kah?
Aku separuh mati kah?
Aku alami masalah untuk tidur kah?
Aku sujud menghadap Tuhan kah?
Aku statik tidak buat apa kah?
Kah kah kah kah

Aku masih di sini kawan atau lawan
Tidur tak tidur aku
yang pasti
aku sedang mendekati kubur.
Sama ada terang atau kabur,
aku sedang mendekati kubur.