April 23, 2014

Berita Susur Masa

Twitter.
Aku mula kenal dan aktif mengaktifkan diri dalam alam maya yang mempunyai susur masa dengan limit aksara 140 patah kata ni pada Februari 2013. Pendek sangat ruangan untuk menulis. Siapa saja yang ‘berasal’ dari dunia Facebook akan pelik dengan perangai twitter. Hatta, Najwa Latif yang lebih menggemari panggilan Muka Buku dan nekad mempopularkannya melalui Cinta Muka Buku pun terkesan aku rasa. Memang janggal pada mulanya untuk hidup di twitter jaya bagi orang yang suka menulis panjang dan menggabungkan ayat menjadi ayat campur atau majmuk seperti aku ni. Dah. Lupakanlah sebab aku dah suka dengan twitterrrr.
            Aku adalah salah seorang bekas pelajar sekolah menengah harian yang diklasifikasikan sebagai pedalaman. Padahal laluan sekolah aku memang femes masa orang Kolumpo nak balik beraya di Kelantan. Masa nak pilihanraya lagi lah havoc sebab KuLi turun padang bersama dengan orang-orang kuat dia. Hidup aku memang dari kecik sehingga selepas STPM kat bandar lama dalam daerah paling besar di negeri tu. Penerangan tersebut menunjukkan betapa jakun dan sempitnya pemikiran aku dahulu kala. Sebenarnya, pemikiran aku tak sekolot yang selalu ditonjolkan dalam Bersamamu tu, misalnya sanggup berhenti kerja semata-mata nak sara keluarga. Bukannya aku tak suka orang kat dalam Bersamamu tapi isi kandungan rancangan tu yang buat aku fikir banyak kali.
Buat apa nak tonjolkan kemiskinan orang?
Kenapa tak sumbat je kisah tu dalam Buletin Utama?
Karam Singh Walia tak boleh tolong ke?
Okey okey. Setakat tu dulu aku meroyan sekejap-sahaja.
            Selepas STPM (Dua kali ambik), aku dapat sambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam atau boleh dibaca sebagai kerajaan. Rezeki aku, Tuhan tu tau apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Aku dapat unversiti Over The Sea atau lebih canggih dikenali dengan nama Borneo. Mana satu borneo yang aku ‘takhluk’ kali ni? Negeri terpanjang di Malaysia.
            Berbalik kepada kekasih aku yang bernama Twitter, aku mula menggauli  benda ni pada semester kedua tahun satu pengajian. Aku terjebak pun sebab nak cuba ikut kawan-kawan yang sememangnya aktif menuit dan aku mula agak lambat kerana sehingga kisah ini ditaip, kawan aku sudah cecah puluhan ribu tuit. Gempak! Hinanya aku di mata twithandle yang lain.
            Separuh semester ketiga masuk tahun dua pengajian pula merupakan satu musim yang agak tough bagi aku sebagai mahasiswa. Semester ini adalah semester yang paing sibuk(mungkin) kerana aku dan geng kelas dipaksa menghasilkan sebuah akhbar makmal bersaiz tabloid. Bukan akhbar Berita Hairan, Haramkah ataupun PakatanMarhaen tetapi namanya diringkaskan kepada MS sahaja. Tujuannya adalah untuk mendedahkan kitorang kepada dunia kewartawanan. Maklumlah, budak komunikasi yang berjiwa dan wibawa sejati. Kitorang diberi tempoh sebulan lebih untuk menerbitkan akhbar tersebut dalam masa sebulan lebih dengan pengetahuan tahap sifar yang dimiliki. Aku memgang jawatan sebagai orang yang menguruskan bahan bukan berita. Tentulah puisi cerpen dan cerpen menjadi sasaran aku untuk diterbitkan dalam akhbar tu.
            Hidup aku di twitter jaya menjadi semakin ceria kerana banyak benda yang ingin dinukilkan di susur masa selepas teruja untuk menghasilkan surat khabar. Macam-macam dugaan menjadi rutin aku and the gang seperti dimaki oleh pensyarah merangkap CEO akhbar tersebut, secara berjemaah pulak tu. Masing-masing sibuk menumpahkan perasaan kesal, sedih, kecewa mahupun amarah di laluan susur masa. Aku? Aku rileks sahaja sebab tips aku senang. Bila kena maki atau kena marah aku senyum je. Kat twitter aku biasa sahaja. Aku cuba serap makian untuk digunakan untuk hari yang mendatang sebagai jenaka bersama-sama rakan seperjuangan. Poyo betul tips tersebut.
            Menjadi seorang jurnalis ataupun reporter memang perit walaupun aku dan yang lain diberi masa yang lama hanya untuk mengarang tiga berita. Namun mengarang berita adalah paling rileks, kerana dalam satu perenggan hanya dibenarkan wujud satu symbol noktah sahaja. Amat senang bagi aku sebagai penetap twitter jaya. Satu lagi statement salah dari aku sebab pada mulanya memang aku fikir senang, tapi haram jadah jugak derjah kepayahan menulis berita ni. Terus derjah itu ditukar denga menaip di twitter. Senang sangat.Heh.
            Dalam proses menyiapkan akhbar tersebut, masing-masing punyai komitmen tersendiri. Ada yang bersungguh-sungguh menulis tapi buat macam karangan sekolah menengah, ada yang tulis macam tak siap tapi menggunung dapat pujian. Aku pun tak paham. Bagi aku, berita adalah sesuatu yang karut untuk ditulis kerana adanya editor. Editor mengawal patah kata dan tingkah laku aliran dalam penulisan agar menggiurkan untuk terus menggoda pembaca. Padahal tak ada apa sangat pun isi dalam berita tu. Namun, kerana memikirkan markah untuk aku konvo pada masa akan datang, aku hadap dan hadam je dengan kerenah institusi berita ni.
            Manusia. Tak lepas dari noda dan derita sengsara. Perkara ini berlaku sepanjang pembikinan akhbar MS. Banyak kisah, cerita, drama, dugaan, kontroversi dan lain-lain benda lagi yang menjengah dalam hidup seorang mahasiswa seperti aku. Bukannya satu benda je aku nak buat dalam satu semester, banyak lagi. Contohnya, menulis seperti yang aku tengah buat ni. Ada kawan dari course lain ajak aku buat zine, buku jalanan dan banyak lagi. Itu di alam realiti, di twitter jaya pula bertimbun orang ajak masuk kontes menulis cepen dan puisi. Penat tak terkira kalau aku layan semuanya. Aku mulakan langkah perlahan-lahan. Satu-satu aku buat.
Tempoh pembikinan akhbar tu jugak merupakan seksaan bagi seorang yang tak berdisiplin seperti aku. Janji malas sangat nak tepati sampai pensyarah dah give up dan boleh pulak report kat mentor aku. Nasib baik mentor aku baik. Watlek Watpis je pakai tudung labuh tapi mesra dengan mentee dia. Dia paham life sebagai student dan hormat je perkataan yang keluar hasil janaan otak aku.
Semakin hari semakin ramai aku follow dan di follow. Setiap kali online je mesti terasa nak follow orang. Semuanya sebab nak lepaskan tekanan. Aku follow orang femes, orang yang ada isi-hati bila tuit, ada ilmu, ada humor, ada sinis, ada perangai puaka dan macam-macam lagi. Twitter dah macam jadi penglipur lara pun ada. Kekadang jadi pengganti Maharaja Lawak dan  macam-macam lagi program tivi yang bagi aku tak ada naluri insani sebab sentiasa ‘memaksa’ audien untuk gelak-kesian.
 Twitter jugak menjadi tempat melempias nafsu aksara aku. Maknanya jika ada rasa tak puas hati sepanjang proses pembikinan akhbar MS tu, aku hambur kata-kata sopan berlapik sinis menganjing dan memerli. Kadang kala follower RT apa luahan aku dan ada yang macam takde fungsi pun jadi follower aku. Eh! Aku artis ke nak sururh orang tolong RT bagai? Memang tak la sebab aku ni manusia biasa, student pulak tu, masih bertatih dan aku memang-akan-sentiasa-perlu sedar yang aku ni hamba. Tuhan aku ada Satu. Dosa pahala aku hanya dengan dia. Macam mana pula dosa dengan manusia yang tak terjaga kat alam maya? Jawapannya adalah setiap apa yang diluahkan perlu disolek dengan akal yang kurniaan Tuhan tu. Jangan ikut emosi-hati-ego sebab benda-benda ni semua adalah perasaan sendiri dan kalau ikut,kelak merana diri.
Selama lapan minggu tamat sudah perjuangan yang tak akan tamat. Apa? Tamatnya proses memerah otak untuk menyuntik aura auta salam setiap penulisan berita. Tapi, kehidupan sebagai pelajar-hamba-anak-saudara tak terjumpa lagi titik noktahnya. Sepanjang separuh semester satu tahun kedua ini aku belajar. Aku buat banyak benda dan aku tidak gila. Aku terus menulis di susur masa.  Aku menggila di susur masa di mana ramai yang tidak celik apa kelebihan yang ada pada setiap hamba. Walaupun berbekalkan 140 perkataan, tapi bakat seseorang, idea seseorang, kelebihan dan kebodohan seseorang dapat dilihat. Aku berjaya menjual lapan naskhah surat khabar kepada strangers di ruang legar universiti. Angka lapan agak boleh dibanggakan kerana ada rakan pertemanan aku yang mampu jual sehingga tiga nashkah! Menjual perlu ada teknik dan hikmat-hikmat hebat yang perlu dipertunjukkan. Macam dalam susur masa jugak. Ada manusia yang hebat dengan gaya tuit, posing gambar, edit kartun, super impose gambar PM Najib dan isteri tercinta dan macam-macam lagi.
Aku sedang belajar bagaimana menjadi seorang yang berjaya di realiti dan alam maya. Sebab aku rasa amat susah untuk kawal kedua-duanya. Realiti dan alam maya tidak mungkin bersama kerana wujudnya pelabagai ragam-cara manusia berkomunikasi, berinteraksi malah janggal dengan integriti dan asyik menipu diri sendiri - macam aku ni. Pembikinan akhbar MS telah banyak mengajar penat lelah dan paling bagus, sikap pentingkan diri kawan-kawan yang paling intim dengan kita pun akan datang menikam belakang badan kita secara sukarela. Lepas tu siap boleh ketawa-dusta depan kita apatah lagi belakang kita. Hidup ini seperti menulis berita, kita kena pandai jaga teknik menulis berita supaya pembaca tertarik dan menunggu apa berita kita yang selanjutnya. Aku ingin jadi pemberita massa yang beselindung disebalik topeng biasa hipokrit manusia.
Aku juga terbitkan ayat yang berbunyi:
“Celiklah apa kelebihan otak kurniaan Tuhan, janalah minda dengan aksara”
Bagi aku:
hidup ini untuk belajar
belajar itu untuk tahu
tahu itu perlu nawaitu
nawaitu beserta kerana-Tuhan satu.
01 Januari 2014
jam 0142

*Cerpen berbaur catatan peringatan dan kritikan ini ditulis untuk memenuhi jemputan seorang tweet femes yang khabarnya nak buat projek cerpen tapi tak jadi atas penyertaan yang hambar serta cerpen yang tak cukup piawaian katanya. Mungkin cerpen ini salah satu cerpen yang tak cukup piawaian.

Berbual

Semalam aku balik meeting aku boncengkan kawan aku. Meeting tu meeting pasal program yang akan aku handle bersama-sama kawan-kawan yang lain. Aku diberi tugas untuk urus barang-barang dan juga sound system untuk keseluruhan majlis. Dan aku memang sudah terfikir macam mana lagu-lagu ini akan mendendangkan serta menazakkan halwa telinga peserta program tu nanti.

Masa naik moto, aku berbual la pasal buku yang baru aku habis baca tu sebab kawan aku pun baru habis baca buku tu. Berbual punya berbual masing-masing ceritakan kebangangan watak-watak dalam cerita tu. Aku dengan dia pun berfikir bila nak jadi macam watak dalam cerita tu. Masing-masing berbual lepas tu menyanyi atas moto. Tak hiraukan awek-awek yang tepi jalan melenggang nak balik rumah sewa masa tu. Kawan aku ni duduk rumah sewa so kena la hantar dia. Kitorang menyanyi lagu yang bakal menyerikan program tu nanti. Masing-masing dah set dah lagu-lagu apa yang bakal menjinakkan atau memecahbelahkan hati-hati kpop-ers sekelian.

Dalam pada ralit berbual pasal program dan buku, kitorang juga ada menyentuh persoalan tentang ibu bapa. Kawan aku luahkan yang dia stress dia call mak dia, mak dia yang menangis. Aku ni pulak dekat dua minggu tak call mak dan abah aku. Power punya anak! Eh, bertuah punya anak!

Sampai je kat bilik aku, aku lepak kejap dan aku call mak dan abah aku. Mak aku angkat. Tanya khabar dan cakap pasal nak buat short sem. Abah aku luluskan untuk aku buat short sem dan aku gembira. Lepas tu abah aku tanya duit cukup ke tak. Terus berubah suara jadi manja kau...bertuah. Abah aku kata nanti dah bank in mak aku call. Nasib baik abah aku tak tanya duit aku ade berapa. Kalau tak, tak tau nak balas apa. Takkan nak menipu duit masih beribu. Haha.

Natijahnya, aku kena tukar kesemua wang syiling yang aku simpan dari sem satu dan aku tak pernah sentuh pun duit tu. Tiba masanya berfikir untuk hidup di dunia yang penuh pancaroba ni. Aku harap semuanya berjalan lancar kecuali dengan perasaan malas yang sarat dan lancar ketika ini. Fuhh. Tiba masanya untuk publish dan jual zine kepada rakyat-rakyat sekelian.

April 22, 2014

Perkongsian kelaut



Mi sedap sedang dilahap sambil sebelah tangan beserta sepasang mata ralit membaca aksara cerita Rokok Nan Sebatang. Sekejap rasanya hidup ini. Rasa macam semester lepas aku daftar masuk universiti yang serba buat aku panik dan kaget dalam menapak kehidupan sekarang. Macam-macam rasa aku rasa. Rasa berkenan ke perempuan tu yang paling parah. Buat kau leka, kau tau? Aku sebenarnya kalau boleh tak nak fikir pasal perempuan ni. Tapi hidup ni bukan aku sorang sahaja kat dunia. Manusia lain ramai lagi. Walaupun kita cuba elak untuk jadi seorang yang menidakkan rasa turn on dengan perempuan tapi macam mana nak elak kalau seorang lelaki yang gilakan golongan sejenis sentiasa mendampingi kita? Aku bukan nak kata aku ni sedang dalam dilemma dengan lelaki gay. Aku cuma bayangkan. Isi yang nak aku sampaikan adalah macam mana nak elak ada hati dengan perempuan sedangkan ada golongan gay ini. Mereka yang hidup sesama kaum pun boleh turn on, apa lagi kita yang universal dan bergaul dalam dua-dua kaum jantina ini kan?

                Bacaan buku novel olahan Nami Nob Cobbler diselang seli kunyahan mi sedap. Buku ni bagus, buku Nami susah untuk mengecewakan aku. Bunyi macam hipster jugak la kalau asyik hadap buku dia. Tapi nak buat macam mana, ada input yang aku nak ada dalam tulisan dia. Dia bingkiskan perihal hidup. Pasal ideologi. Tentang hubungan tak kira kawan atau kekasih atau orang yang kita minat. Pasal  ideologi tu buat aku berfikir jugak la at least, daripada aku tepu menelaah teori-teori barat tu. Padahal hujah dalam buku Nami ni banyak sebut nama orang barat dan juga perjuangan anarki anak muda serta orang tua eropah. Kenapalah aku kena hadap tulisan mat saleh yang bapak panjang dan bosan tu, tak fun langsung. Budak fakulti seni universiti aku ni nampak je banyak habis duit, tapi mereka fun dan menikmati apa yang mereka belajar. Bagi aku, aku tak dapat nak catch up sangat dengan apa yang aku belajar tambah lagi dengan kerenah kawan-kawan, pensyarah-pensyarah dan bakal-bakal kekasih. Serabut jugak kan?

                Jadi, setakat ni macam tahap hipster aku? Kau rasa cukup tak menunjukkan yang aku seorang yang berilmu? Atau sebagai seorang yang berpotensi untuk jadi seorang parasit dalam masyarakat? Ke nak aku tulis dalam bahasa inggeris sikit baru nampak aku berilmu?
Maaflah, terus terang aku tulis, aku tak reti bahasa inggeris dan itu merupakan salah satu sebab membuatkan aku down untuk belajar. Padahal zaman sekolah aku boleh dikatakan aku rajin dan win dalam bahasa inggeris ni. Ingat lagi masa hensem darjah lima darjah enam dulu. Aku antara budak kelas yang terpilih untuk berkolaborasi dengan budak kelas depan dalam tuisyen bahasa inggeris. Padahal aku duduk kelas nombor dua je. Lama betul tak dengar perkataan tuisyen ni. Maklumlah, kat universiti ni pakai tutorial, tu pun aku asyik tak pergi.

Aku boleh dikatakan hebat jugak la masa darjah enam dulu, dah la ketua kelas. Rasa power dan cair inggeris lenyap bila aku masuk sekolah menengah, rupanya ramai lagi power disamping perempuan yang lagi cun dan kiut. Ini buat aku rasa lagi down. Dalam seminggu ada la dua hari kelas bahasa inggeris. Memang lagi takut aku nak belajar bahasa ni kalau cikgu dia garang semacam. Asyik nak denda je kalau tak buat atau tak siap kerja rumah. Down lagi aku. Makin pudar semangat nak belajar. Memang budak baik la kau kalau dalam kelas cikgu yang garang. Dia nak pergi mana dengan garang dia tu aku pun tak tahu. Dia sendiri pun aku rasa tak tahu.

                Aku bersekolah di sekolah yang dikategorikan kawasan pedalaman, walaupun tempat aku tinggal tu nama dia bandar lama. Jadi, pakaian bahasa ialah bahasa kampung atau loghat negeri aku. Itu adalah salah satu punca kenapa inggeris buat aku down. Kat sekolah aku, kalau kau betul-betul muka tebal je boleh selamba speaking. Lantaklah kau ada kawan baik yang terlalu baik ke, memang kena bahan kaw-kaw punya la kalau kau speaking. Lagi kuat kau kena bahan kalau ayat kau salah atau kau tersasul. Power punya bahan kawan-kawan bagi. Ada tu sampai seminggu asyik guna modal yang sama je nak bahan. Tak membantu langsung. Sebab tu ada alimin pesan “dalam belajar kita tak boleh ada kawan baik dan musuh”. Sampai aku masuk universiti kawan yang macam tu kurang sikit sebab memang kat universiti kena belajar dan faham bahasa inggeris, nak lagi ada pensyarah luar negara yang sepatah haram puntak tau bahasa melayu. Lagi la terbantut hidup seorang mahasiswa.
             
   Mengarut betul tulisan ini. Nanti la aku sambung lagi.

Jam 0038 22 April 2014

April 20, 2014

Rahsia saya

Awak.



Yang bikin saya hilang deria baik
Yang buat saya kacak dengan amarah
Yang teman saya ketika awak susah
Yang hilang bila saya tak kecap bahagia
Yang hampar derita bila saya susah
Yang murka terhadap saya bila awak gembira
Yang suka berdusta apabila saya risau
Yang merisaukan dunia dengan benda biasa
Yang sentiasa melupakan bahagia bersama bila saya mundur
Yang mendedahkan jenaka aib saya bila awak suka
  

 
Awak.

April 15, 2014

Cerita Hari Ini

Sakit. Kecewa. Dukacita. Harapan

Itulah perkataan ringkas untuk menggambarkan situasi hari ini.

Sakit mengunjung ketika aku sudah bersedia untuk sesuatu yang memang sudah aku tunggu. Agak lama untuk aku sedia melawan arus halangannya.

Kecewa mengundang dan terus mengheret aku untuk terus melayan sakit. Walaupun sakit itu ringan dan biasa, tapi memang tidak selesa dan buat aku bermuram durja untuk hari ini dan seisinya.

Dukacita dikirim kepada hamba Tuhan yang sedang bahagia dan gembira. Bukan kerana meraih cinta, namun sekadar khabar yang dititipkan kerana aku rasa kalian kecewa.

Harapan aku semoga hari esok ada hikmah untuk mengajar hari ini yang terlihat seperti sudah tewas dan lemas. Aku masih menyimpan perasaan agar aku terus berharap dengan harapan.

     

April 11, 2014

Situasi sekarang

Melihat kepada situasi aku sekarang, rasanya peluang tak banyak berpihak ke atas aku. Peluang tu aku rasa makin menipis dan seksi tatkala mata aku kabur dimakan anai-anai derita.

Relationship yang tak tahu hala ada. Matlamat hidup antara khalifah dan penyebar dakyah kesesatan dalam komuniti pun ada. Cita-cita yang perlukan pengorbanan masa dan tenaga pun ada. Alat maki hamun orang tua dan rakan-rakan pun ada. Aku keliru jugak bila fikir perihal yang kronik ni. Tak tahu nak buat apa.

Jadi aku pilih untuk hidup dan teruskan sahaja jadual hidup yang dirancang dan dilaksanakan oleh Tuhan. Tengoklah betapa sayangnya Tuhan ke aku ni. Siap buat jadual dan rancang hidup aku lagi. Aku pulak? Masih kat sini, waktu magrib pun kat sini waktu isya' pun kat sini, zohor pun kat sini, asar pun kat sini, subuh? kat katil la.

Mana perginya hidup seorang Akhimullah bin Mustapha bin Seman bin Salleh?
Mohon bantu diri sendiri disamping menangis dan tabahkan serta ceriakan kehidupan orang lain.

April 8, 2014

Bisik Hikayat Hujan

Hujan ini benar menguji
Seoarng hamba tidak mampu
Tidak mampu meneruskan perjalanan
bila hujan terlalu lebat
Tidak mampu memecut laju
tika hujan rintik melankolik,
khuatir gelincir

Seperti hati ini
Tatkala kesempitan datang
Aku mengulang tayang momen anganan
Aku mahu jaya
Aku mahu cita

Aku lupa
saban hari kita ditinggalkan
oleh orang-orang yang tak tentu
Tak tentu pegangannya
Tak tentu amalannya
Tak tentu dan tak tahu bila matinya

Aku cuba bersangka baik.
Sambung melayan titisan hujan

nada hujan berbisik;

"Hidupmu masih jauh, tapi hayatmu seperti aku"
Hidupmu turun naik, aku pula turun sahaja, namun menghidupkan"
"Hayat kita sama singkat. Bezanya cuma aku turun sebagai noktah dan kau bila-bila masa sahaja"

Aku tenung dan aku renung alirannya yang statik
Tidak berselisih walaupun jatuh dari arah yang satu, dari atas
Padahal aku dan dia datang dari Maha Pencipta dan Maha Pencinta.
Masih tidak serupa.

UNIMAS, Kampus Barat, Kehujanan.
8 April 2014M / 7 Jamadil Akhir 1435H