June 17, 2014

Beri dan Ambil

Kehadapan saudara/i,

Apa khabar? Saya harap saudara/i sihat-sihat belaka mengharungi hidup yang tidak tahu di mana akhir penamatnya. Apa yang saudara/i sedang lakukan ketika ini? Sudah bekerja? Berkahwin? Beranak? Bercerai? Berkasih atau masih belajar atau masih bergantung harap kepada orang lain?

Saya di sini sihat-sihat sahaja. Masih lagi boleh teringat untuk menulis titipan ini untuk saudara/i. Saya bukanlah seorang yang rajin seperti mana yang saudara/i kenal dan tidak kenal. Di samping itu, manusia seperti saya Tuhan ciptakan untuk hidup berkelana. Tapi, saya berkelana dengan meggunakan hujung jari saya iaitu papan kekunci atau dalam bahasa perkomputeraan dipanggil keyboard, nampak tidak saya italikkan perkataan itu? Itu menunjukkan ia adalah bahasa asing dalam bahasa melayu.

Oh, lupa untuk saya nyatakan tujuan saya menulis pada titipan ini. Maklumlah, sudah lama tidak menulis dalam format seperti surat tidak rasmi. Dalam hal ini, teknologi sudah boleh dipersalahkan kerana keasyikan masyarakat hari ini termasuk saya, kerap menggunakan bahasa mudah, bercampur aduk dan disulami pula dengan penggunaan loghat-loghat tertentu. Hal ini demikian kerana, kecelaruan fungsi teknologi melalui media sosial telah mewujudkan pertembungan budaya, iaitu budaya baik, jahat, bajet-bajet baik dan bajet-bajet jahat. Tapi, sekurang-kurangnya golongan seperti saya tidak segan merogol bahasa dan mengambil langkah untuk menulis walaupun saya sendiri dalam kecelaruan serta dilemma bahasa-bahasa yang wujud di dunia ini. Saudara/i bila lagi?
"Menulislah, dengan menulis kamu akan kenal akan bahasa," lebih kurang kata-kata A. Samad Said.

Lupa lagi saya tentang tujuan saya. Saya terus teranglah. Tujuan pada pertemuan ini ialah saya ingin menyuarakan kata hati saya tentang amalan bersaudara dalam konteks 'beri dan ambil'. Beri dan ambil ini merupakan satu komponen dalam atmosfera toleransi di mana terdapat persefahaman dalam kalangan masyarakat hari ini. Tapi, saya tidak ingin menyentuh ruang lingkup masyarakat. Namun, antara saya dengan saudara/i.

Saudara/i, saya selalu menyuruh diri saya bersabar dalam menghadapi saudara/i. Saya juga telah meletakkan status saudara/i sebagai ujian kepada saya yang ditakdirkan oleh Tuhan. Saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri, yang hina dan tidak punya apa-apa ini supaya mengamalkan konsep beri dan ambil tadi.

Jika saya memberikan ruang dan masa untuk saudara/i menggunakan apa-apa yang menjadi hak milik saya maka saudara/i perlulah menghargai saya. Bukannya saya bermaksud mengungkit, tetapi bila mana saudara/i selesai menggunakan hak milik saya, silalah pulangkan dalam keadaan baik, letak pada tempat asalnya dan tambahlah apa yang terkurang pada hak milik saya itu. Mudah sahaja.

Bagi pihak saya, saya tidak gemar menyusahkan saudara/i dan saya akan cuba untuk mencari dan berjumpa dengan saudara/i jika saya berkehendakkan saudara/i. Mudah bukan? Saya tidak minta banyak. Beri dan ambil atau dengan mudah perkataannya 'Pandai makan pandai simpan'.

Sekadar di sini sahajalah pertemuan pada titipan kali ini. Saya harap tidak ada saki baki benci antara kita malah saya setia mengirim rindu kepada saudara/i. Kalau ada terasa dengan aksara saya ini, maka fikir-fikirkanlah. Jangan lupa untuk kirim salam kepada orang sekeliling saudara/i yang mana bisa membahagiakan atau menghancurkan hidup saudara/i pada masa hadapan. Sekian dari saya, orang biasa-biasa yang tidak bisa.

June 10, 2014

Kerisauan

Hari-hari sekarang saya lalui secara tidak tenang. Hari-hari saya sentiasa risau. Hari-hari saya semakin risau. Hari-hari, risau sahaja kerja saya. Mana tidaknya, bila saya buka netbook saya dan tekan ikon internet, seterusnya masuk ke alam sosial maya iaitu Facebook dan Twitter jiwa saya jadi meronta. Risau.

Saya bukan risau tentang perkara yang remeh tetapi mainstream seperti lapar, cinta, artis tanah air, selfie makwe, bola sepak dan sebagainya. Tetapi, kerisauan itu berlangsung kerana melihat time line atau susur masa saya ini dipenuhi dengan post yang buat saya risau. Post tersebut seperti mengganggu gugat kehidupan saya. Seakan memerli ke arah saya pun ada. Risau sungguh saya rasa. Padahal saya bukan seorang yang terkenal dan power. Kerisauan itu berlanjutan sehingga ke hari ini. Malah makin bertambah.

Setiap orang di muka bumi semakin berani dan menggunakan laman media sosial dengan rakusnya. Setiap orang sekarang boleh dikatakan tidak dipanggil manusia jika tidak mempunyai akaun laman sosial. Itu bukanlah satu kerisauan kepada saya kerana anak saudara saya yang bersekolah di sekolah rendah pun sudah mempunyai akaun Facebook dia telah add saya. Nasib baiklah saya mempunyai dua akaun Facebook dan dia add akaun yang sudah lama saya tidak peduli. Perkara ini amat bahaya kepada golongan tua seperti kita kerana kanak-kanak dan remaja semakin berani untuk masuk campur dalam kehidupan golongan seperti kita. Melainkan awak yang sedang membaca ini ialah sebaya dengan anak saudara saya. Jika begitu, bertambah risau saya.

Masa depan adalah perkara yang saya risaukan sebenarnya. Bak petikan kata-kata lagu Mohd Jayzuan, "Masa depan lebih menakutkan  dari hantu-hantu dan jembalang di luar sana". Ya. Memang itu menjadi kerisauan saya. Bukan perkara yang berkaitan akademik. Tapi berkaitan hubungan manusia di masa hadapan.

Kahwin adalah kerisauan saya. Rakan-rakan saya sudah ramai yang mendirikan rumah tangga termasuklah crush-crush yang terdahulu. Sibuk mereka menukar status di Facebook daripada single kepada engage dan married. Tapi itu tidaklah sedikitpun menyentap hati saya. Seperti yang saya katakan tadi, masa depan adalah segala-gala kerisauan. Tidak dapat saya bayangkan rakan-rakan sebaya atau tuu dan muda setahun dua dari saya berkahwin dan mempunyai zuriat.

Rajinkah mereka menyambung zuriat?
Berapa ramai zuriat mereka?
Indah atau tidak hubungan dengan zuriat mereka?
Zuriat mereka lelaki atau perempuan?
Mampukah mereka mendidik zuriat mereka dengan baik?
Adilkah mereka terhadap ahli keluarga yang mereka bina?
Bagaimana mereka hidup di masa hadapan?
Ke mana saya selepas mereka berumah tangga?
Adakah ruang untuk mereka isi bersama saya?
Apakah dunia mereka akan berubah secara total?
Bagaimana mereka mengisi hayat menghabiskan sisa-sisa kekeluargaan?
Di manakah saya saat mereka dalam kekacauan rumah tangga?
Adakah mereka memerlukan saya lagi selepas mempunyai pasangan till jannah tersebut?
Inilah masa depan. Macam wawasan 2020, masih tidak pasti kereta dapat terbang atau tidak dengan baki enam tahun lebih. Namun, harga minyak dan darah lebih popular untuk terbang.

Begitulah kerisauan saya sebenarnya. Bukan saya tidak bersetuju tentang perkahwinan malah saya pun tak sabar nak mendirikan rumah tangga kalau saya sudah mampu memikul tanggungjwab dan dosa bakal keluarga saya.
Soalan-soalan tadi merupakan soalan timbal balik untuk saya sebenarnya, kerana saya amat sayang akan kehidupan sekarang. Berkawan dan berkongsi kisah hidup bersama rakan-rakan yang saya dan awak juga tidak tahu apa yang bakal berlaku kepada mereka.
Kisah kita dan rakan-rakan, kita yang simpan. Pasangan kita bakal menjengah namun mereka ialah individu asing yang bakal menyusup masuk ke dalam hidup kita secara sedar dan cuba mengadaptasi tentang perasaan dan kenangan yang telah kita lalui dan dia cuba mereka cipta kenangan baharu walaupun terpaksa berpura-pura kerana hidup mereka ada juga secebis ruang rahsia, yang mungkin kita tak dapat teroka.

June 7, 2014

Saya yang keliru.

Manusia dan cinta memang tak boleh dipisahkan. Ruang lingkup atmosfera ini dipenuhi dengan cinta. Ke mana sahaja kita pergi penuh dengan cinta. Tidak kira apa jasad dan jirim kita. Semua mahu bercinta. Saya pun sama. Ingin juga merasakan hal berkaitan cinta ini. Kusut juga memikirkan perihal cinta ini. Tidak habis didefinisikan oleh segenap lapisan bijak pandai berkaitan perkataan cinta. Macam-macam terjemahan dan teori dikeluarkan berkenaan dengan cinta. Rumit yang amat jika kita amati.

Saya pun bukanlah seorang yang mahir dalam membicarakan soal cinta ni. Bahkan jika dinilaikan cinta dengan saya sekalipun, memang tak ada nilai bagi pihak saya ini berbanding cinta. Maklumlah, semua lebih mencari tentang cinta agung yang terhampar di dunia ini. Bunyi macam ayat berdakwah kan? Bukan. 

Cinta ini banyak cabang, ciri-ciri dan undang-undangnya sendiri. Itu yang buat saya keliru. Keliru kerana asyik bertanya perlukah saya bercinta?
Orang kata cinta itu indah.
Tapi ada orang hidup mewah baru cakap itulah cinta mereka.
Orang kata cinta itu nafsu.
Saya tanya macam mana dengan makan makanan segera yang serba mewah itu menjadi kegemaran manusia?
Orang kata cinta itu buta.
Kenapa ada orang sanggup pertahankan maruah demi menuntut cinta sebab mahu menjadi panduan ke syurga?
Orang kata cinta itu merana.
Setahu saya nabi cinta akan umat mereka sehingga sanggup merana.
Orang kata jangan bercinta.
Saya tanya, kenapa negara ini ada polis dan tentera?
Orang kata cinta itu universal.
Saya mengaku saya seorang rasis. Mana universalnya?
Orang kata bercinta hingga ke syurga.
Saya baru lepas baca surat khabar berkenaan ajaran sesat, mereka buat sebab mereka mencari cinta Tuhan.
Orang kata cinta itu perlu pengorbanan.
Kenapa wujudnya aplikasi sosial yang hampir tiada fungsi namun kita sebagai mangsa?

Saya tidak mahir langsung bab cinta ini. Maafkanlah saya. Saya hanya mahu beritahu yang saya keliru.
Cinta ni bagus sebenarnya. Orang kata.

June 1, 2014

Kegemaran

Ini lagu kegemaran.
Lagu dendangan kumpulan gitar rancak atau kugiran kegemaran aku jugak.
Apa yang membuatkan aku rasa lagu ini antara kegemaran aku?
Susunan muzik, lirik serta isi batin dan fizikal lagu ini.
Ya. Aku suka. Entah kenapa.
Lagu ini seperti bercakap dan cuba untuk menyampaikan isi hati secara separuh sedar. 
Seperti dihipnotis pun ada.
Minda seperti berbicara dan hati seperti meluahkan kata-kata untuk aku tuturkan kepada manusia.
Aku bukan berlagak mahu deep. Tapi memang lagu ini membuatkan aku puas untuk bicara tanpa dibalas.
Aku juga rasakan lagu ini memberi kesedaran tentang ketamakan aku. Kepada manusia juga yang utama, suruhan Tuhan.