May 31, 2013

Baharua

Semalam. Pertama kali si jahil yang Faqir ini mengembara ke dunia baharu. Dunia yang entah apa rekaan, bentuk, jisim, jasad dan roh yang terisi di dalam benda itu. Sejak menjejakkan kaki ke era pemikiran meluas tanpa sempadan komunikasi di bumi jauh ini memang sekalipun pun tak terjentik di akal minda untuk memasuki dunia baharu itu. Si jahil yang Faqir tidak gelabah. Merelevenkan apa yang tampak janggal, memang janggal.

Satu sahaja yang terlintas dalam hatinya yang separuh besar teruja dengan suasana itu. Kenapakah kelas hari Isnin hingga Jumaat tidak seperti suasana ketika itu. Kerusi sandar berona merah yang tampak selesa beserta huruf dan nombor yang telah ditetapkan, skrin besar yang hampir sama panjang dengan dinding sebuah rumah kolej kediaman di universitinya. Ruang yang luas, di kerusi 'empuk' itu ada tempat untuk merehatkan tangan, ada tempat bekas bulat untuk meletakkan air yang dibeli di halaman luar dunia tersebut. Si jahil menunggu cereka apakah yang bakal tertancap di skrin mega itu.
............................................................................................................

Sebelum melangkah ke dunia itu, si jahil yang Faqir berlegar-legar di halaman luar. Memerhati. Reaksi, ekspresi, aksi dan pelbagai siri sikap serta atitud, longitud dan latitud insan yang sama dunia dengan Faqir.
Suami isteri dengan ahli-ahlinya, rakan seperjuangan bersama orang tersayang, dipaksa, terpaksa sayang. Budak baik yang sememangnya baik mencuba untuk bersenggama dengan dunia itu juga. Ada yang hadir seorang diri, dua, tiga dan kiralah seterusnya hingga penuh manusia yang beria-ia  untuk masuk ke dunia tu. Dinukilkan bahagia-dusta kononnya bahagia. Cucukan fesyen luahan idea barat terserlah di mata si Faqir. Tidak lengang dengan paras paha dan dada. Seperti biasa, si jahil yang Faqir memfleksibelkan diri menjadi releven.
Memasuki dunia itu perlu kesabaran masa yang cekal untuk menempuhinya. Sanggup insan-insan beratur penuh disiplin untuk dunia 'dua jam' petang itu. Si jahil yang Faqir tidak terkecuali.
............................................................................................................

Diam. Itulah tindakan si jahil yang Faqir. Tindakan untuk menunggu pengembaraan dimulakan.
Mula. Gambar-gambar bergerak sarat aksi, seksi, komedi. Ada orang baik(walaupun jahat), ada polis kawan dengan orang jahat, ada wanita matang, ada pasangan bahagia, ada talam dua muka ada macam-macam. Rencah dalam pegembaraan tu bagus, dekat dengan jiwa manusia sekarang.
Sepanjang pengembaraan Faqir  hanya rasa sejuk disebabkan mesin penyejuk yang telah tersedia dalam dunia baharu itu. Makin lalai dunia dirasakan. Hanyut disogok hilai tawa dan reaksi manusia lain sepanjang pengembaraan.
Akhir tirai pengembaraan, Faqir dapati pengembaraan baru telah ditancap bagi mengajak manusia yang seangkatan untuk masuk ke dunia itu lagi. Faqir rasa tidak mahu terjebak lagi dengan pengembaraan sebegitu.
............................................................................................................

Akhir sekali, melalui pebgembaraan tersebut, si jahil Faqir menyimpulkan hidup bekerluarga lebih selamat daripada kita menjadi si Rambo yang macho. Keluarga itu penting dalam jatuh bangun industri manusia.
Hormat. Sopan santun. Gigih dan perkara lain-lain akan kita petik dari isi keluarga tersebut.
Bukan brotherhood, tapi familyhood. Baru Assabiyah!!!
............................................................................................................

Siapa

Dinihari.
Aku bangun dan membangunkan,
Dia bangun dan membangunkan,

Malas.
Aku sanggah dan mengingatkan,
Dia sanggah dan mengingatkan,

Hati.
Aku sentuh dan rasakan,
Dia sentuh dan biasakan,

Faham.
Aku rumitkan.
Dia jelaskan,rumit,
Aku jelaskan.

Keluarga.
Aku biasa-biasa,
Dia gembira,
Aku hasad nyata,
Namun, gembira.

Aku,Dia
ViceVersa.
Tapi Aku serta Dia sedar,
apa yang nyata,
tak perlu dusta,

Jangan jadi siapa-siapa,
Jadilah apa-apa,berguna,
Hipokrit bukan budaya,
bila ada Dia.
Dia bukan siapa-siapa,
Dia tetap Dia,
walau saiz apa tertanda.

May 26, 2013

Finale

terus menerus diri dihantuk,
satu perasaan neutral,
cubaan demi cubaan,
setelah beberapa purnama,
puas disenggama segala benda,
pahit yang berat ditatang,
bukan seperti cerekarama,
manisnya sekejap pula datangnya,
iras-iras telenovela latin,

cakera kehidupan diputar,
terus menerus diputar,
mata akal serta usaha bagai nanar,
tak ke mana lapangan yang disasar,
pemangkin diri pula tampak gusar,
aku mencari ikhtiar,

moga-moga,
tempat mana yang terlempar,
aku tak gentar,
harap-harap,
rasukan rajin paksa berkobar.

May 20, 2013

IbuJariBiru

Imejan yang molek dipilih,
ucap-kata-tulisan manis dipilih,
baris ayat kemas,rapi dan puitis dipilih,
seranah manusia yang jahat pun dipilih.

Kau sembur,hamburkan dialam maya,
ia beredar bagai awan luas terbentang.
Hasilnya pelbagai rona.
Orang suka.Orang cemuh.
Tetap dapat Ibu Jari Biru.
Bangga, bangga dan bangga.

Adik-adik baru nak bertatih,
memang tidak kenal erti letih,
asyik memilih tidak kira sahih,
Ibu bapa tidak langsung letih,
ajar dengan baik anak-anak bertatih,
lepas saja tangannya,
anak-anak mula memilih.
betul,benar,sahih,dusta,nista,murka,
juga seangkatannya adalah pilihan.

Pilihan itu buat kita terus berjalan.
Langkah perjalanan kita harus bawa bekalan.
Baik dan buruk pilihannya.

May 18, 2013

Seguru

Kamar hati minta diisi,
tahun ini baru lagi,
bernautika kejauhan,
berlabuh di benak ilmuwan,

dari bumi Al-kalantani,
menapak di setiap ceruk inti bumi,
bumi asing lagi tidak dikenali,
tapi adat menyuruh bisakan diri,

terus berani mati,
menuntut itu ini,
ke sana ke mari,
malam dan siang hari,

kerana asalnya,
kerana datangnya,
kerana kita semua,
seguru.



May 15, 2013

Kisah

aku cuba menelan pahit,
pahit yang sengaja dicalit,
sedikit demi sedikit,
aku mengidam sakit,

sejak tujuh purnama,
aku rasa biasa,
aku rasa sama,
biasan rasa itu semena-mena,

bukan aku pinta,
bukan kehendaknya,
hari-hari dilalui suka,
tiada nilai duka,
aku fikir kita keluarga,
ingin bahagia dengan ahlinya,
tapi
aku dan kau silap merasa,
ada sedikit cela aku rasa,
hina.

cukuplah seagama.

May 13, 2013

H A R I

liku-liku baru sahaja lepas,
entah apa yang mendatang nanti,
semua itu kerja Ilahi,

aku cuba bayangkan hidup lagi,
bersama engkau bukan percuma,
darah, nyawa, ringgit, malah maruah,
semuanya berbayar dalam tempoh itu,

masa tidak membunuhku,
tetapi akal yang tak tahu,
ingin ku paku nafsu,
sekali,
dua kali,
seperti biasa
berkali-kali,
apa lagi selepas ini?
datanglah hari-hari.

May 9, 2013

BismilLAHIRrahmanirrahim

Tiba-tiba
lagu OAG berkumandang,
Aku terima pesanan ringkas,
Lahir sudah seorang anak perempuan,
Itu merupakan rahmat dan iradat dari-Nya.

Aku berharap si dia jaga zuriat itu,
Momokkan dengan ilmu agama,
Tidaklah jahil ; hak dan batil,
Aku beransur dari jauh.
Doa kecil dari hamba yang hina,
keluarga kita akan berchaya tatkala
usia menjemput ke senja atau
ajal yang teruja.
Sempurnakanlah hidupnya
sebagaimana orang tua kita dahulu kala.

May 5, 2013

R A Y A

Maksudnya adalah besar.
Kali ini sangat besar.
Besar mana?
Besar sangat sampai tak muat.
Bermula di alam realiti terus
ditransmitkan ke alam maya
Atau alam jari-jari berani.
Melimpah manusia hari ini,
ke sana ke sini dicalit jari.

Tasik yang aku hadap sungguh tenang,
dari jendela aku perhati
Air tasik itu rancak berlari.
Tadi pagi runtuh sedikit hujan.
Tapi ia biasa sahaja.
Gangguan tidak melanda 
arah laluan tarian mereka.
Aku harap suasana tasik pagi ini
sedang diaplikasi saudara-saudara di sana.

Umur memang perlu untuk tujuan besar ini.
Aku sudah capaikan tahapnya.
Tapi dek kerana leka
aku tak berdaya untuk beraya.
Apa yang aku fikir sekarang,
tiada sengketa antara manusia.

Terimalah!
Kasihlah!

Bukan jadi sampah!
Ukhwahfillah!

May 4, 2013

a d i l

Entahlah, aku tak pasti apa yang aku buat. Kadang-kadang kekok, 'cool', gelabah dan... macam-macam lagilah. Aku bingung atau bengong apabila fikir. Cuba kepada neutral sentiasa. Pengaruh apakah yang membuatkan aku menjadi rambo atau seorang bodoh awal pagi lagi. Fikir, fikir dan terus berfikir. "kau gatal aku gatal, fair & square". Kalau ada apa-apa mintak diperbetulkan niat. Fungsi niat aku penting. Ada sahaja yang selalu 'remind' tu. Aku ingat, cuba untuk ingat, aku masih ingat. Nah, jadilah seperti biasa. Bukan kasanova atau kepala bana. Karma itu ada wahai saudara yang agak mulia (kot).

Kisah kawan aku, tak tau betul atau tidak. Pagi-pagi lagi disuap, disogok, disumbat dengan alunan muzik yang ada takat nyaring yang kalau boleh dikira tujuh skala petala langit pun lebih daripada tu dia dapat. Lagu pula berona jiwang karat radio malaya. Teman seruang  yang bagi dia 'brekpes' tersebut. Aku hanya pantau dari skrin kecil diatas meja yang penuh serakan ilmu agama dan limu senggama minda tulisan manusia biasa namun luar biasa dengan pendirian masing-masing. Cuma aku harap karma datang dengan tiba-tiba dan membalas bunyi-bunyian itu dengan merosakkan peranti yang menciptakan kebingitan itu. Aku pun boleh membawa kebingitan yang segar ke reruang kawan aku itu dengan aman. Kononnya akulah karma itu.

May 1, 2013

R a h a s i a

bukan ia berada di pohon cemara.
bukan disebalik awan berarak mendung.
bukan dilembah sungai tandus.
bukan disebelah pusara di jalan raya.
bukan ketika pilihan raya. jauh sekali hari raya.
bukan bukan semuanya.

ini kalilah aku jamah,
waktu dulu, kini dan tidak mungkin selamanya,
pendaman tentang ini tersemat dalam hati,
semua manusia maklum ia memang dan akan terselit,
perkara itu akan terselit walau pun sebesar cebisan t*ik gigi,
semua orang ada kisah
baru, lama, vintage, rare, oldskul,
malu, bangga, cinta, kasih, dan lain-lain-lain.

namun,
New Boyz pernah berdendang 'sejarah mungkin berulang',
tapi apa yang nyata, ia tidak berulang kepada Liverpool, Arsenal,
haha

aku,
tetap ada benda itu,
sama ada letaknya di bahu,
sama ada aku buat tak tahu,
mungkin juga diberitahu,
walaupun tak ambil tahu.
kau, dia, mereka, ibu bapa,
cuma tunggu.
aku?

LUMPUH

Tepat 5.12 am Tuhan bangunkan aku. Malas tubuh memang menggila ditarik katil. Aku menekur siling simen beberapa detik, putih kelam. Masih dibuai mamai tapi tetap cuba gagahkan kemalasan itu. Duduk sejenak sebelum bangkit tegak mencapai tuala hitam putih lusuh seperti kain buruk. Pintu bilik 'C' dikuak perlahan sambil perhatikan rakan yang masih lena. "Aku kejutkan lepas ni je lah, takpa dia mudah bangkit kalau aku kejutkan". Pernah beberapa kali dia kejutkan aku untuk sembahyang subuh, tapi syaitan merantai pinggir mata dan tubuh bagai digam cap gajah - terus subuh gajah.

Siap membersihkan diri serta wuduk yang tidak sesempurna para nabi dam alimin, terus keluar berjalan menuju surau dari rumah bernombor 14. Sunyi sahaja rumah-rumah lain, tidak seperti hari-hari lain - riuh. Punat-punat suis lampu ditekan untuk pencahayaan agar lebih ceria sepanjang koridor di waktu hening itu. Terus berjalan...

Beberapa jemaah sedang duduk seperti khusyuk,bertafakur mungkin (mengantuk). Beberapa orang yang biasa dilihat tersenyum sinis dan gembira. Senior junior seperti satu pasukan yang bersedia untuk melawan team 'hitam fc'. Sebentar tadi telah dilaungkan Bang Subuh, tapi aku sedikit terlambat untuk menyahut seruan tersebut. Syukur aku tak lumpuh untuk pagi ini, gembira tak terkata. Imam mengangkat takbiratulihram...

Assalamualaikumwarahmatullah kanan dan kiri maka usai sudah subuh pagi ini - berjemaah.

Dalam doa aku selitkan agar sentiasa sihat dan gagah untuk bangun ketika lumpuh, rakan-rakan lain juga begitu. Begitu kuat usaha dalam doa itu. Aku menyesal, tingkat usia ini baru aku tahu berdoa yang nyata. Padahal dari kecik lagi acuan bos besar - Mustapha - dan sekretarinya - Rahimah - yang sempat sentiasa kejutkan aku untuk meramaikan jemaah di masjid. Kalau mereka tahu di kejauhan begini hidup aku yang lara terumbang-ambing sempat aku meramaikan surau yang memang tidak ramai, tentu bangga tertulis dalam dada disamping doa yang tidak putus diutus terus.
Satu hari nanti aku pasti jadi pengganti - nanti.
Terima kasih kerana Tuhan berikan aku nyawa percuma, abah&ma percuma, adik-beradik percuma, rakan-rakan percuma, masa percuma tanpa aku usaha dengan wang ringgit bercop bank negara yang terpampang agong pertama negara.