December 28, 2013

Jalan

Masih sibuk aku menelaah papan kekunci melunaskan kerja jemari aku terhenti pada satu gambar memori seorang yang mungkin digelar bakal isteri atau sekadar penyejuk hati kala sunyi. Aku cuba perhatikan watak yang nyata dalam imejan itu, sopan, lembut dan ceria. Tidak pernah sekalipun dia menganjurkan mimik muka tidak selesa dalam sekeping foto. Entah di mana perasaan risau, celaru, buntu dia sisipkan. Sekadar merenung kisah hidup aku sendiri yang tiada siapapun yang mahu peduli. Mungkin kerana aras letak rupa ini tidak tersohor seperti mana-mana pujaan malaya. Ah, biarkan sahaja. Aku lebih tertarik dengan jalan yang diambilnya. Tenang melawan masa yang sememangnya adil dan patuh kepada setiap individu, cuma manusia itu sendiri mengabaikan waktu. Ya, seperti aku yang sedang membatu keras gambaran masa hadapan aku. Aku nilaikan momen ini sebagai tanda ingatan kepada diri yang sentiasa lupa diri di mana letaknya aku dalam dunia yang memang sukakan 'dunia' ini. Aku juga bukanlah seorang yang teguh pendirian dan mudah untuk dipengaruhi. Mudah untuk aku menuding jari kepada mana-mana badan organisasi atau manusiawi sendiri. Tudingan itu semacam merengek dan tidak merestui apa yang telah dan bakal jadi. Memang aku malu kepada saudari saudari yang sibuk bergaul mesra dengan tahu batasannya. Tapi, aku masih manusia yang cuba meleraikan emosi yang sudah lazim digauli dengan nafsu serta hasad dengki. Biarlah tiada yang peduli pasal hakikat hidup yang bakal ditempuhi. Bagi aku, jalannya pasti ada untuk aku tempuhi. Jika tiada jalan untuk aku menapak gagahkan diri. Hanya Ilahi.

Lupa

Aku bangun pagi
Aku cuba menikmati
Sedikit sebanyak aku selidiki hari
Rasa-rasa manusia mana aku jumpa?

Lupa
Manusia semua pelupa
Kala hari sombong begini
Manusia hanya mampu diamkan diri

Lupa
Manusia tidak perlu pembantu
Tika kaki sendiri memikirkan hala yang sedikit buntu
Tiada siapa berani menyapa aku
Mungkin ini mereka mereka mahu
Gunakan aku dikala tangan tak sampai menggapai bulan
Guna akal aku untuk mewakili marhaen yang kepincangan

Lupa
Asal saja laku aku ditabrak salah terus aku ditikam hancur
Usai solat jemaah aku dijemur di balai bersalah
Perasaan aku ke kamu sedang dijarah-tarah dan memikul nanah
Lupa sekali aku yang kamu itu manusia.
Manusia yang hanya tahu gembira banyak,
hingga hati aku koyak
Manusia yang tahu sedih sedikit terus menolak perit

Lupa aku perihal kamu
yang ternampak lebih ilmu dari aku
Maafkan aku sebab terlupa aku bukan manusia di mata kamu.

Adanya kamu buat aku seperti ingin beradu sendiri
Eloknya kamu juga sendiri
Terlupakan aku lagi.

December 27, 2013

Rezeki dan Realiti

Minggu study week ni memang perasaan asyik melayang je(walaupun sama je minggu mana pun). Jadi, time tengah study(kononlah) aku terasa nak call ma aku nak tanya khabar. Aku call dengar ma jawab dalam keadaan mengah-mengah. Aku ingat dia bizi, rupa-rupanya dia cakap dia sedang jogging(jalan-jalan tengok suasana kampung). Bagus betul ma aku ni dan aku paham, tapi kenapa jogging pukul 9pagi? Biasanya lepas subuh je dia jogging.hmmm Tiba-tiba ma aku tanya tak tau lagi ke kisahnya. Aku cakap la kisah apa yang aku tak tau. Dia cakap ramai lagi orang tak tau, cuak rasanya ayat ma aku ni. Aku dah fikir yang bukan-bukan dah, berdebar bak hang.

"Ma nak gi umrah" ma aku kata dengan rileks.
"Alhamdulillah..." tarik nafas panjang. Aku ingatkan mende la saspen sangat.
"Bila pergi?" aku tanya untuk tau sempat jumpa dia ke tak.
"Dua puluh sembilan haribulan satu, sempat la jumpa," dia rileks lagi.
"Owh.ok.Alhamdulillah sempat jumpa dan kena jaga abah lagi," habislah aku kena masak nasik nanti.haha

Lepas berbual dengan ma aku borak dengan abah. Aku tanya, kenapa abah tak join walaupun aku dah agak jawapan dia. Dia cakap dia pergi la, kalau ade orang tolong rajin-rajin tolak kerusi roda dia.haha
Kesian pulak ke abah ni, harap-harap ma aku doa biar abah dapat berjalan dan kitorang tiga orang boleh pergi umrah sekali.huhu

Jadi, lepas call diorang aku sambung study walaupun sikit-sikit. Exam seminggu lebih je lagi dan aku tak tau macam mana nak handle sebab semester ni agak berat bagi aku walaupun aku ambik tiga paper je. Aku juga sedang gigih mencipta peluang dan ruang untuk berkarya dan mencari rezeki secara underground. Aku harap abah tak akan tahu pasal aku rajin menulis dan mengarut di alam maya ni. Bukan hipokrit, tapi tak nak diorang kecewa dengan gaya aku ni.
Lain yang diorang fikir lain yang aku buat pun tak boleh pergi jugak.

December 23, 2013

Pasti Tak Pasti

Pagi begini hujan lagi,
rindu dendam berkecamuk.
Ingin sahaja aku biar hati ini mereput
dibasahkan sahaja hati ini sehingga hujan berhenti kering.

Pagi ini hujan lagi,
kamu bagaimana?
Masih menipu hati sendiri
atau masih setia kesetiaan?

Pagi itu hujan lagi,
aku mahu tanya lagi
Hidup kamu dan aku,
adakah pasti?
Aku pasti kamu pasti.
Aku tak pasti kamu.

December 22, 2013

Hubungan Tidak Berkabung

Mata Sazali menahan kantuk dan cuba melawan arus adat malam. Dia bukan jenis yang sukar tidur atau diganggu puaka mahupun saka. Tapi dia gelisah semenjak dua hari yang lepas. Dia membelek-belek beberapa himpunan cerpen yang usai dibelinya sewaktu keluar ke bandaraya bersama-sama teman karibnya.

Cerpen-cerpen itu bagai membadaikan lagi kegelisahan Sazali kerana cerita itu menggamit sebuah rasa yang pasti sudah di agak oleh pembaca novel cinta yang tegar, yang sudah kita maklum novel penulis Melayu yang plot dan flow hampir sama. Tapi, Sazali bukan peminat novel  cinta yang tegar kerana dia seorang yang berjiwa batu dan tidak kisah tentang cinta. Novel yang diajar dibangku sekolah pun tidak pernah dia katamkan inikan novel cinta mengarut dan ketebalannya ada yang boleh mengalahkan senaskhah Quran.

Sazali meneruskan bacaan himpunan cerpen itu, tiba-tiba Sazali makin terasa perasaan gelisah itu menghantui dirinya di waktu tengah malam begini. Sazali capai telefon tangannya dan mengetik mesej dan dia hantar kepada seseorang dengan harapan orang itu memberinya harapan. Beberepa minit mesej balas sampai, Sazali dengan penuh uja membaca mesej itu sepatah demi sepatah dihadam perkataan yang tertera. Tahap kegembiraan Sazali mula terpancar selepas membaca mesej itu. Dia tidak menyangka bahawa mesejnya dibalas dengan penuh rasa bahagia.

Sazali tidak sabar untuk berjumpa dengan orang yang telah buat hidupnya rasa teruja. Hanya beberapa minggu saja lagi Sazali bersabar sebelum berjumpa dengan orang yang buat dia gembira. Orang itu akan menunggu di tempat orang ramai yang sibuk bergembira selepas penat zahir dan batin berjuang demi sekeping kertas yang tak menentukan arah hidup Sazali sendiri.

Orang itulah yang akan setia menunggu Sazali setiap kali Sazali menjejakkan kaki ke tanah asalnya dan Sazali akan bermalam di rumah orang itu. Bagi Sazali, orang itu masih ada dalam hidupnya walaupun orang itu pernah silap dalam percaturan hidup remajanya. Sazali tahu, menyesal kemudian tidak berguna dan Sazali juga pernah bebrbuat silap. Sazali tidak akan lupa orang itu kerana orang itulah rakan sepermainannya ketika dia masih di bangku sekolah rendah dan banyak benda yang buat  Sazali gembira ketika usia muda itu.

Abangnya itu akan sentiasa menjemput Sazali setiap kali cuti semester. Sazali telah belajar sesuatu yang penting, saudara tetap akan kekal saudara walaupun masing-masing sudah ada hala, cuma sedikit komunikasi dan sedikit prihatin perlu ada bagi memantapkannya. Siapa lagi yang mahu diharapakan kalau bukan saudara sendiri.
Sazali sangat berterima kasih kepada Tuhan dan Sazali ingin cepat bergraduasi kerana ibu dan ayahnya sedang asyik menahan rindu ingin bertemu.

December 20, 2013

Izinkan aku bersajak sebelum kamu ke Bintulu

Semalam.
Indah nian waktu petang bagai diselaputi celaru.
Indah nian waktu malam bagai diselimuti cemburu.
Indah.
Indah.
Indah.
Kamu ingin merana dengan rindu yang ditinggalkan sedikit untuk aku.
Aku tidak ingin mengalirkan lagi sungai deruan rindu.
Mengapa asyik kamu dan aku saling menipu?

Bagi aku, kamu ibarat dunia.
Namun, bahasa tubuh kamu seakan menyeka perlahan-lahan 
perasaan rindu yang disembunyikan di balik tipu.
Bagi aku, kamu adalah dunia
yang boleh menyetubuhui kemahuan aku hanya dengan merah jambu rona muka.
Aku mampir lalai, barangkali.
Aku mampir kenal, pasti.
Kamu itu dunia, semata-mata.
Selamatlah kamu ke Bintulu.

Ke Hadapan Pelari Cinta

Ya, kamu.
Apa lagi yang aku mahu lakukan dengan kamu.
Bukan secara fizik, tapi cara saiko.
Aku tidak mahu sentuh fizik kamu itu, itu nafsu binatang.
Aku mahu sentuh saiko kamu itu, sebab aku ini orang.

Baru berapa puluh ribu juta saat ini kamu menghadirkan jasad yang suci terpelihara mahkota itu ke hadapan aku?
Aku tahu hidup kita mula hanya beberapa purnama menjejak bumi, kamu di purnama ke enam dan aku ke sepuluh.

Namun kehadiran kamu menyesakkan zarah rindu yang sedia ada untuk menjamu.
Ini memang nafsu, tapi bukan sikap aku meluru untuk kamu terus aku pacu.
Aku beri rongga masa agar kamu menyelinap di segenap arca yang aku bina secara beda.
Tiang-tiang itu aku import khas dari bumi cinta, bumi kecewa, dan juga bumi bahgia serta bumi duka nestapa.
Tak mungkin kamu mahukan semua, kerana kukuhnya arca itu bukan untuk dihuni sehingga kamu lalai dan terpaksa hinggap di neraka sini ataupun sana.

Aku tahu kamu tampak jelik dengan susun madah aku yang kadangkala perlu disertu sebab kata2 itu dilahirkan nafsu yang memburu kesetiaan uja kamu itu.
Ya, aku manusia. Wajib rasa semua bahan2 jiwa yang ada dengan memakannya. Aku harus pilih berhati-hati kerana semua tampak sempurna di mata.

Ya, kamu yang sekarang ini menguja aku dengan obor kegembiraan lantas menyalakan sedikit pencucuh cinta menyesakkan ruang rindu aku ini sekali lagi.
Namun, kadangkala kala aku mengherdik, kadangkala kamu aku lihat jelik dengan sokongan padu perangai bak adik2 merengek.
Ingin aku tegur kamu dengan gaya paling sopan, tapi aku mungkin merana kerana aku mungkin gopoh dan gelojoh.

Kamu, ya kamu!
Mungkin kamu ada nafsu juga, mungkin nafsu kamu itu lebih banyak daripada aku yang seperti bernafsu lebih ini.
Tapi, rupa kamu ada menggamit sesuatu yang telah aku tahu dari kamu sendiri. Jerih tunmpangan roda hidup kamu dan orang2 yang kuat mengayuh roda kamu itu telah kamu beritahu.

Jadi, izinkan aku untuk tidak memburukkan laluan berliku yang sudah direka-cipta oleh Tuhan aku dan kamu?
Sudikah kamu datang kembali dan mengembalikan sesuatu yang telah kamu ambil sejak pertemuan pertama dahulu. Selepas kamu beri kepada aku, aku mahu kamu pergi tanpa ambil lagi apa yang kau bakal pulangkan kepada aku?

Kembalikanlah dan aku akan kembalikan sisa yang sedia ada kepada kamu.
Ke hadapan kamu dengan jitu aku mahu, Pelari Cinta.

December 17, 2013

Good Luck!

Hai awak
Ingat saya lagi tak?
Saya yang minat awak dan awak minat saya tempoh hari yang sudah lama.
Masih ingat?
Tak payah ingat sebab kita hanya kawan kepada kawan rapat.
Saya dengar cara awak hebat lagi memikat.
Haha.
Mungkin awak tak perasan awak ni memikat.
Pada saya awak jadi orang pun dah cukup hebat.
Cara awak bercakap cepat, tapi muka awak kekadang penat.
Bukan salah awak pun kalau awak perasan awak comel.
Tapi saya ada khabar untuk awak.
Kawan kepada kawan saya minat kat awak.
Haha.
Saya harap awak ingat saya bila saya sebut pasal khabar untuk awak ni.
Sebab saya nak ucap good luck kepada kawan kepada kawan saya dan awak tadi.
Good luck jugak untuk awak.

Sebenarnya saya tahu cara awak. Saya harap saya tak silap.
Good Luck!

December 14, 2013

Gagal lagi (kejatuhan)

Setiap orang mahukan kejayaan dan kebahagiaan termasuk syaitan.
Merasuk dan mempengaruhi manusia serta menyesatkan arah tuju hidup manusia adalah 'dakwah' bagi syaitan.
Bukan aku mahu ceritakan pasal syaitan dan golongan yang seangkatan mereka.
Ini pasal aku.
Dulu,
aku berjanji tentan bahagia dan jaya.
Aku tak pasti sama ada itu zahir hanya dibibir yang seksi atau hanya penyedap hati.
Namun,
hari kelmarin aku rasakan kejatuhan di tempat yang sememangnya rendah.
Tak terzahir di wajah ingin aku luahkan.
Koyak rabak luluh dan remuk jatuh hati ini.
Tak pasti Tuhan masih inginkan aku lagi.
Bukan aku bersangka buruk dengan-Nya tapi aku rasa tahap kejadian ini amat menyeka darah tenang dan bersahaja yang ingin aku terapkan.
Tersekat rongga bahagia hanya di hujung hari aku ingin menjengah pulang ke tempat terlahirkan minda yang ada sekarang.
Aku ingin tebus semua kejatuhan ini.
Tapi.
Entah bila.
Entah bila masanya.
Entah bila masanya tiba.
Entah bila masanya tiba kenaikan.
Entah.
Tunjukkan wahai Raja Sekelian Alam.

December 6, 2013

Hempasan Beban

Jam 1429
Aku mendail nombor pengguna Celcom.

"Assalamualaikum", garau suara seorang lelaki menyahut.

"Waalaikummussalam, sihat ke?" sapaan mesra dari aku seperti biasa.

"Buat apa tu? Dah minum?" pertanyaan klise setiap kali aku mendail nombor ini.

"Kat sini baru lepas zohor, macam biasa la petang2 macam ni, berzikir sambil baca terjemahan Quran," dia menerangkan seperti kebiasaannya. Dia pantang kalau orang lain hubungi dia pada waktu solat. Pantang!

"Pak Cik Ya kau baru lepas operate, usus dia tersumbat. Tu sebab yang dia masuk wad tempoh hari. Sepupu kau Abang Awie sedang jaga dia," dia  menambah kepekatan perbualan itu.

"Ooooo...patutlah..ingatkan ade ketumbuhan ke apa...Ma mana? Sihat ke? Orang nak mintak duit seratus dua kalau boleh nak bayar yuran kolej. Tak bayar2 lagi ni," suara tenang namun ada sedikit bebanan untuk diungkapkan. Bukan mahu menyusahkan dia, tapi terpaksa.

"Cakap betul2 la nak berapa? Seratus ke dua ratus?" macam meninggi sikit tahap kegarauan dia.

"Dua ratus la, lebih elok lebih daripada kurang," selamba je buat tak malu. Aku bukan tak malu. Aku terpaksa, macam biasa la kalau tak susahkan dia dua orang tu memang tak sah.

Perbualan diteruskan dengan rutin2 biasa dan sesi meminta no akaun bank aku. Namun dalam ceria itu ada sendu jauh di lubuk hati aku ni.
Dah sem ketiga, ini kali pertama aku mintak diorang hantar duit ke aku. Bukan nak cakap aku hebat, tapi jelas nampak perbelanjaan makin hari makin hebat.
Aku tak salahkan kerajaan atau sesiapa, kerajaan telah buat perkara baik dan tak halang hidup aku daripada berekspresi dan beribadah serta menjalinkan ukhwah.
Kalau aku ada kutuk2 kerajaan sikit tu memang adatlah, jiwa muda. Rebel segala mesti ada :D
Lagipun Tuhan tu tahu semuanya.
Aku terpaksa tempuh denga rela dan redho.

Aku doakan aku dan engkau yang baca ni selamat sejahtera selamanya.

Hidup ini memang akan ada hipokrasi, minta simpati setiap hari pun adalah hipokrasi. Kita boleh ubah hidup ni. Cuma perlu usaha dan aku tak berapa nak ada usaha tu sekarang.
Aku sedang cari dan cari. Moga aku sempat usaha cari usaha itu sebelum aku mati.

December 1, 2013

JEJAK DOSA (KontesBukuRoman)

“Aku cinta kau, sampai syurga kuatnya” kata aku.
“Kuat sangat tu, boleh ke?” tanya dia.
“Tak percaya? Nak aku buktikan betapa kuatnya?” aku tanya balik.
“Kau tau ramai bidadari kat syurga?” dia tanya lagi.
“Memang. Tapi kau ketua angkatan mereka kelak,” aku jentik sedikit ayat berbunga.
“Betul? Baiklah, aku cinta kau sampai syurga,” dia nekadkan dengan yakin.

     Erangan saat dia melahirkan anak masih aku ingat kerana aku ada disisinya. Comel wajahnya persis aku dan dia. Zahir yang normal, putih merah kulitnya semerah cinta aku dan dia. Dia senyum merenung anak kami. Penat aku mengejar dosa, aku buangnya tanpa rasa cinta.