November 18, 2013

Tuhan Sayang


Subuh.
Titisan embun memupuk alir lancar ke tanah Kampung Stratarata. Dingin dirasakan bagi setiap penetap dan juga pemaustatin hingga ke tulang sum-sum. Masing-masing enak melayari kapal hidup di alam gelap gelita. Tidur. Mimpi. Mamai. Ngigau. Kokokan ayam sia-sia jika dikira bilangan makhluk yang bangkit waktu itu kerana beberapa buah rumah sahaja yang sudah cerah dek lampu yang menyala. Laras keteguhan jiwa tampak rapuh tatkala subuh menjengah. Rutin biasa bagi orang awam.
            Zaizai, 15, lelaki tulen, Melayu jati, warganegara yang sah, tidak diimport dari tetangga seberang. Itu yang terakta dalam kad pengenalan dirinya. Tubuh badan terfizikal sederhana, rambut ikal, sepasang mata biasa seperti kebanyakan budak melayu lain. Ada sekumpulan jerawat di pipi kiri dan kanan tanda baligh. Tiada langsung unsur artis K-pop pada dirinya. Budak kampung yang penuh riak wajah dan mimik muka yang tidak bersalah.
            “Bila dah besar nanti jadi orang baik-baik,” pesan mak.
            “Hormat orang tua jangan lupa ya nak,” pesan mak.
            “Jangan lupa Tuhan, nanti Tuhan lupakan kau!” Tegas dalam tenang pesan ayah.
Terngiang-ngiang di legar telinga Zaizai pesanan kedua orang tuanya yang sibuk mengabdikan diri di rumah. Abdi kepada Tuhan kata ayahnya. Dia tinggal bersama-sama mak dan ayahnya serta beberapa orang adik beradiknya sejak kecil dan dididik untuk patuh arahan orang tua. Setiap tingkah laku, gerak geri, pemikiran, keputusan, pendapat, idea, rungutan daripada Zaizai adik beradik boleh dikatakan akal mereka di’pegang’ oleh ibubapa mereka.
            “Kau besar nanti jadi polis.
Abang Yan kau tu jadi askar.
Kak Wan jadi misi!” Tegas ayahnya kepada Zaizai adik beradik sejak kecil.
 Hampir setiap hari disogok dan diingatkan tentang perkara tersebut tanpa banyak atau satu soalan terpacul daripada mulut atau terbit di benak fikiran mereka adik beradik. Semuanya kerana ajaran ibubapa mereka supaya PATUH dan HORMAT terhadap hemat orang tua.
___________________________________________________________________________
            Tingkatan Tiga Rona Jingga sarat dengan bunyi riuh sakan kerana isi suara penghuninya. Setiap orang ada cerita yang diutarakan ketika itu walaupun hal sekecil mana pun tetap menjadi topik mengisi masa lapang mereka ketika ketiadaan guru. Bilangan penghuninya secara total adalah 31 orang termasuk Zaizai. Susunan meja dalam kelas itu diatur berpasangan kecuali Zaizai yang menetap bersama dua orang lagi rakan sekelasnya seorang lelaki seorang lagi perempuan, yang duduk ditempat paling depan dan di tengah-tengah kelas. Juzuk si lelaki. Hayat si perempuan.
            “Kau ni asyik senyap je Zaizai, tak bosan ke?” Tegur Juzuk.
            Tiada jawapan. Zaizai tunduk tanpa ada apa-apa respon lain. Juzuk memberi isyarat dengan menjuih bibir ke Hayat untuk mencuba bertanya mana tahu kalau si Zaizai minat untuk menjawab soalan dari perempuan. Seperti kebanyakan massa lelaki sekarang yang mudah sahaja memberi respon jika hal berkaitan dengan perempuan,wanita, feminim atau betina sekalipun. Tetap ada jawapan akan diberikan sepositif mungkin. Tak kurang juga yang menggunakan perempuan sebagai umpan untuk pelaris, memikat hati pelanggan terutamanya yang mata keranjang, tua kutuk tak sedar diri dan jejaka gersang untuk menjamu mata. Amalan buruk setiap hari bertambah di kedai kopi atau pejalan kaki. Kadang-kadang mereka berkongsi. Itulah eksploitasi. Dunia yang selalu mengancam tapi tindakan hanya diam.
            “Awak, kenapa saya tengok awak asyik diam je?” Santun si Hayat.
            Cuba untuk menjawab namun terus Zaizai diam untuk dua hingga tiga saat
            “Saya tidak pernah bosan sebab saya tak lupa Tuhan,”
            “Saya diam pun ingat ke Tuhan, saya syukur,” tiba-tiba Zaizai memecah buntu usaha Juzuk dan Hayat yang ingin berkomunikasi dengannya.
            Juzuk dan Hayat pegun kehairanan dan inginkan lagi huraian jawapan yang Zaizai. Mereka tidak menyangka kerana kebanyakan rakan seangkatan tidak pernah bercakap pasal Tuhan kecuali pada masa Ustaz Kai mengajar subjek Amalan Kita. Itupun soalan mengarut seringkali dibincangkan dan soalan tersebut juga femes di seluruh alam remaja.
            “Apa hukum saya berkasih sayang dengan makhluk Tuhan, perempuan bernama Dinar yang menetap di kelas sebelah ustaz?” Wali bertanya seraya menambah, “Dia cantik lah. Saya selalu lepak berdua dengan dia. Dia tak kisah pun muka saya tak hensem asalkan saya sembahyang cukup saya dah boleh sentuh pegang tangan dia. Bahagia rasanya ustaz.”
            “Ustaz, apa hukum saya pakai baju sendat, sebab ada lelaki  tegur saya bila saya pakai macam tu. Lelaki tu cakap ‘Awak tak perasan kita sebab awak tak perasaan awak cantik’, bangganya saya ustaz, setiap minggu saya sengaja jumpa dia sebab nak suruh lelaki tu puji saya.” Soal Lunak.
            “Cikgu Suraya tu baik, selalu saya bayangkan kahwin, makan, tidur dan macam-macam lagi dengan dia. Apa saya kena buat?” Soal si Semboyan sambil mukanya high sedang berhalusinasi.
Juzuk mengimbas kembali soalan-soalan yang pernah ditanyakan oleh rakan seangkatan dalam kelas Tingkatan Tiga Rona Jingga. Semua isi kelas itu hanya bertanya apa hukum dan apa mereka perlu lakukan namun tidak cuba untuk berusaha mengenal Tuhan. Mereka sekadar  bertanya untuk mengelak kesalahan yang mereka telah lakukan dan akan mereka lakukan. Zaizai hanya diam ketika Ustaz Kai mengajar dan tidak pernah terdetik dibenaknya untuk bertanya kerana sogokan untuk menghormati orang yang lebih tua telah tersemat rapi dalam disiplin Zaizai. Hanya angguk-angguk geleng-geleng saja Zaizai mampu, juga sebagai tanda hormat. Dia memang seorang penuntut ilmu yang genius, hafalannya tak tertanding oleh pelajar lain. Tapi, Zaizai lemah dalam kemahiran berfikir atau lebih familiar disebut KBKK. Namun dia tahu, Tuhan sayang dia sebab dia ingat Tuhan. Banyak bantuan Tuhan telah kurniakan kepada Zaizai dan keluarganya. Dia sekeluarga sentiasa bersyukur. “Syukur, terima kasih Tuhan,” ayat lazim bagi keluarganya.


Tepat pukul 8 malam.
            Kesemua ahli keluarga siap siaga menghadap kiblat. Mereka tidak berdiri, tapi duduk. Disediakan minuman dan makanan ringan. Menunggu Tuhan datang. Saban malam Tuhan akan mengunjungi mereka. Tuhan akan memberi syarahan dan berhujah memberi penerangan tentang negara yang mereka tinggal serta negara lain yang berada disekeliling. Zaizai sekeluarga bahagia kerana Tuhan beritahu negara mereka aman sentosa dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Tuhan jaga mereka. Ayah Zaizai bangun dan berkata, “Terima kasih Tuhan! Syukur” diikuti mak Zaizai, Abang Yan, Kak Wan dan Zaizai sendiri. Disamping itu, ada juga Tuhan mereka khabarkan yang mereka akan menerima bantuan duit tunai tidak lama lagi. Sebelum Tuhan beredar, Tuhan juga beritahu sukan amat penting dalam hidup mereka. “Hamba-hambaku sekelian perlu bersukan, biar tahu bersukan, tahu bermain, ranking perlu dipersetankan!” tegas Tuhan lagi.
            Sementara itu, Juzuk dan Hayat sedang mengintai dari luar rumah. Mereka kagum dengan Zaizai yang patuh dengan Tuhannya sejak mereka ajukan soalan kepadanya ketika di sekolah pagi tadi.
“Wah, Tuhan mereka bagus lah!” Getus Juzuk.
“Ya, Tuhan ni hanya datang masuk dalam kotak hitam nipis melebar. Mudah kita jumpa Tuhan ni” Setuju si Hayat.
Sejam mereka mengintip malam itu sambil diakhiri laungan kuat keluarga Zaizai yang memecah hening suasana gelap di kawasan kampung itu.
“SYUKUR! TERIMA KASIH TUHAN! SAYANG TUHAN.”


Tuhan Sayang?