December 19, 2014

Kopi Tok Kenali

Haiwan itu diletakkan si satu sudut bangku besar yang dibina untuk dia dan jiran-jiran melepaskan penat lelah hasil bekerja di limbungan hutan serta pelbagai lagi pekerjaan orang kampung yang mendatangkan rezeki. Rezeki menundukkan manusia dengan jaya agar patuh mengejar peluang sama ada cara halal atau haram. Gaya hidup yang patuh sepenuhnya kepada agama atau hanya ambil bicara hal-hal agama yang berkaitan, lebih tepat lagi cakna agama dengan cara separuh-separuh. Dia menekan punat lampu suluh agar jelas kelihatan haiwan yang sinonim dengan darah dan menyalakan lighter jenama Aladin untuk membakar haiwan itu tadi.
“Buat apa tu Iji?” Seloroh Zubir Rahman yang baru pulang dari surau yang kebetulan lalu depan rumah Iji. Kelihatan ada bungkusan makanan di dalam polisterin yang dibawa olehnya. Barangkali ada majlis tahlil di masjid tadi.
“Bakar pacat Zubir Rahman. Aku baru balik dari kebun ni pergi kutip durian. Banyak juga dapat senja tadi. Lebat sangat buahnya sampai ada dahan yang patah,” jawab Iji sambil melayurkan lighgter Aladin tadi ke tubuh kenyal pacat yang hina tersebut. Maka tamatlah riwayat pacat itu kerana menghisap darah si pencari rezeki seperti Iji walaupun pacat tersebut juga mencari rezeki.
“Biasalah Iji, dah musim dia sekarang kan. Macam orang pergi solat jumaat atau solat raya sebab segan dengan orang ramai lah,” sindir Zubir Rahman kepada Iji yang sememangnya tahu butir kata itu sekadar untuk menyakitkan hatinya.
“Kalau nak ceramah kat aku baik kau pergi lepak masjid Zubir Rahman! Aku tahu la aku jarang pergi masjid, tapi aku bukannya buat kerja salah pun, aku usaha cari rezeki yang halal jugak!” terus panas Iji datang sambil dia dah sedia bangun untuk kemungkinan bertumbuk dengan Zubir Rahman.
“Aku cakap je Iji. Bukannya aku nak tengok kau marah pun. Kau pun janganlah baran sangat, cuba belajar sabar sikit. Tuhan murka jenis orang baran ni. Dah, aku nak balik dulu, Assalamualaikum!” Zubir Rahman menjawab kata-kata Iji tadi sambil membetulkan songkok tingginya yang ironi dengan sikap meninggi diri yang ada pada dia dan terus berlalu pergi.
“Pesen orang dah jadi malaikat ni memang sombong nak arwah. Jenis tak sedar diri. Kau kerani memang la kerja tak penat! Setan!” cemuh Iji di dalam hati sambil dia mulakan langkahan ke bilik air yang terletak di sisi rumah kayu peniggalan arwah ayahnya itu. Seraya itu iklim malam mula membaluti kujur tubuh Iji dan hanyut bersama aliran air mandiannya. Usai bersiap, Iji berdiri dan mengangkat takbir memuji Tuhan yang Esa.
×
“Nak minum apa bang?” Tanya pelayan warung yang memegang sebatang pen dan helaian kertas untuk mengambil pesanan Iji dan juga pelanggan lain.
“Macam biasalah, kopi Tok Kenali. Makan taknak,” pinta Iji ringkas disebabkan dia sudah biasa lepak minum di warung tersebut bersama rakan baiknya, Zailani.
“Bagi aku kopi biasa je lah. Lepas tu air suam satu. Makan esok lusa lah,” jawab Zailani selepas pesanan Iji dicatit oleh pelayan tersebut. Zailani terus mencapai alat kawalan jauh dan membelek-belek siaran televisyen yang berbayar itu dengan harapan dapat menjamu mata dengan menonton gelagat pelakon-pelakon ‘hot’ dari dalam dan luar negara.
Pelayan tersebut terus masuk ke dapur untuk menunaikan pesanan Iji dan Zailani. Mereka berdua boleh dikatakan pelanggan tetap di Warung Mek Jah, hampir setiap malam mereka akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk menonton berita utama di televisyen pada pukul 8 malam. Jika masing-masing sibuk atau pulang lewat dari kebun, maka mereka akan lepak selepas waktu Isya’ atau selepas habis berita utama untuk menonton rancangan televisyen yang lain seperti dokumentari atau drama melayu ataupun movie luar negara. Mereka lepak bukan untuk berbual kosong tetapi setiap kali mereka duduk semeja, pelbagai isu yang akan ditimbulkan walaupun sekecil-kecil isu kuih bahulu yang ada di atas meja di Warung Mek Jah.
Pernah mereka bertegang lidah disebabkan isu ponteng yang diutarakan di dalam berita utama kerana Iji seorang yang tegar dalam kancah ponteng ketika zaman sekolah manakala Zailani merupakan ketua pelajar yang berdisiplin pada waktu sekolah dahulu. Masing-masing mempunyai pendirian sendiri dan tegas dengan pendirian mereka itu. Namun, persaudaraan sejak kecil memang tidak dapat memutuskan hubungan mereka. Bagi Zailani, ulama pun ada khilaf dalam pendirian masing-masing inikan pula manusia biasa seperti dia dan Iji yang hanya lepasan SPM.
Bagi Iji, “Hidup cuma sementara, berbaiklah sesama hamba-Nya”.
Iji dan Zailani memerhatikan gelagat pelanggan-pelanggan lain sementara menunggu air pesanan mereka siap dan sampai di meja. Agak ramai pelanggan pada malam itu di Warung Mek Jah. Ada yang sedang bermanja dengan buah hati. Ada yang lepak sekeluarga. Ada yang lepak sambil berniaga seperti jualan langsung dan jualan yang memerlukan downline untuk meneruskan legasi hebat, mungkin hebat di mulut. Mungkin.
Adegan yang menarik untuk ditonton di mana-mana premis tak kira restoren ataupun warung pada zaman sekarang  adalah memerhati kumpulan keluarga yang makan bersama. Hal ini merupakan satu langkah positif bagi meningkatkan keutuhan institusi kekeluargaan negara secara amnya. Tapi, situasi berikut sangat canggung kerana keluarga ini hanya makan bersama membawa perut sahaja, tidak membawa institusi mereka itu sendiri. Hal ini demikian kerana Iji dan Zailani mendapati setiap ahli keluarga itu asyik menundukkan pandangan ke skrin gajet masing-masing. Dari skrin telefon yang tidak pintar hinggalah gajet pintar yang membuatkan manusia berkhayal dan meneroka dunia dengan hanya hujung jari. Malah ada yang sudah menjadi ‘malaikat’ dengan belajar ilmu dan hukum agama melalui hujung jari yang menyentuh skrin gajet pintar itu. Zubir Rahman ialah salah seorang golongan yang disebutkan. Sebab itu Iji langsung tidak hormat dengan orang seperti itu. Belajar dari sumber yang tidak tahu asal usul dan sanad guru-guru yang sahih serta cepat berlagak seperti sudah diijazahkan dengan ilmu yang diiktiraf sahih.
Zailani sudah masak dengan pendirian Iji kerana masing-masing pernah masuk ke pondok selepas tamat SPM. Setelah dua bulan lebih berguru di pondok tersebut, banyak yang mereka berdua pelajari dan salah satunya ialah belajar perlu ada guru serta wajib mengetahui sanad ilmu yang dipelajari. Sanad wajib diketahui kerana ingin menjaga keaslian petikan sesebuah sumber dalam rujukan ilmu dari naskhah asal ilmu itu sendiri.
Mereka berdua terpaksa menangguhkan pengajian di pondok tersebut untuk membantu menyara keperluan keluarga masing-masing disebabkan tekanan ekonomi yang semakin rancak. Iji berpendapat, setiap keputusan pemimpin negara ini dalam ekonomi telah dipengaruhi oleh golongan berminda kapitalis dalam kerjaan itu sendiri, di samping kepentingan politik peribadi dalam kalangan ahli kepimpinan negara. Zailani pula berpendapat bahawa keputusan kerajaan adalah di bawah pengaruh tidak sedar tusukan jarum iluminati serta ada khabar angin di Facebook tentang teori konspirasi yang kian menggasak. Mereka berdua bersetuju bahawa pendapat mereka itu agak masuk akal jika difikirkan secara logik.
Pelayan tadi muncul kembali dalam masa enam minit dan membawa sedulang air yang menampilkan segelas air kopi serta dua gelas yang terisi air putih iaitu segelas suam dan segelas sejuk di samping sepeket kopi yang tertulis ‘Kopi Tok Kenali’. Gelas-gelas tersebut sememangnya khusus dibawa ke meja mereka.
“Maaf bang, lambat sikit tadi sebab kopi Tok Kenali habis. Suruh budak ni pergi beli dulu. Maklumlah, kopi tengah top kan,” getus pelayan tadi sambil melirik senyum kepada Iji dengan rekahan bibir yang menggoda serta berlipstik dengan rona merah jambu.
“Beres. Aku okey saja. Dah biasa dan faham macam mana ‘pergi’ kopi ni. Sebab tu lah aku dah tak minum kopi lain,” Iji membalas senyuman pelayan warung itu sementara Zailani sudah mula menghirup kopi pesanannya.
“Iji, aku pernah la juga rasa kopi Tok Kenali ni. Lebih kurang dengan kopi yang biasa je cuma pahit lebih sikit je lah. Yang kau ketagih sangat ni kenapa?” soal Zailani yang sudah lama perhatikan ketagihan Iji.
“Entahlah. Kawan aku dulu ajak aku join perniagaan kopi Tok Kenali ni. Suruh aku meniaga duduk bawah dia. Macam downline lebih kurang. Aku cakap awal-awal aku taknak. Terus dia bagi aku try dalam lima peket. Sampai sekarang aku ketagih.” Jelas Iji selepas hirup hampir separuh gelas kopi yang berharga dua ringgit sepeket itu.
“Apa yang istimewa sangat kopi ni sampai orang buat meniaga MLM ni?” Soal Zailani lagi.
“Kau tengok ni. Aku rasa sebab ni aku jadi ketagih dengan kopi ni. Mesti karamah Tok Kenali sebab dia kan wali. Semua orang tahu kot,” mudah penerangan Iji kali ini sambil menunjukkan peket kopi yang telah dikoyak dan tertera tulisan ‘kopi pra-campuran sepuluh jenis makanan sunnah nabi berserta bacaan ayat suci Al-Quran oleh pelajar dan ustaz di pondok Tok Kenali, Pasir Mas, Kelantan.’
“Hahahahahaha” Zailani gelak separuh sial. Menganjing kepada Iji.
“Kenapa kau gelak bodoh?!” Tanya Iji kehairanan.
“Patutlah makin bodoh orang Malaysia sekarang. Agama dan nabi pun dah boleh buat duit juta juta. Aku harap dua tiga hari lagi kau pulak jadi wali…Hahahahaha”  Zailani sambung gelak. Dia tengok Iji masih kebingungan terus dia berhenti gelak dan pegang peket kopi tadi.
“Kau kata kau benci kapitalis. Kau benci politik. Kau benci kerajaan yang bodoh buat keputusan dalam ekonomi. Tapi, ironinya kau masih tak sedar selama ini kau bodoh di dalam terang Iji!” Terang Zailani sambil menyindir bersungguh-sungguh sambil melayang-layangkan peket kopi Tok Kenali yang ada di tangannya.
“Kenapa pulak aku kena bodoh, bodoh?” Iji masih tidak faham. Dia rasa tertekan terus bangun dan pergi ke kaunter untuk bayar ketagihan kopinya tadi. Zailani turut bangun menbontoti Iji ke kaunter sebab mereka datang dengan motosikal yang sama. Pergi ke mana-mana mereka bersama.
Iji yang rasa tertekan terus ke motosikal untuk tunggu tuan motosikal yang diboncengnya iaitu Zailani. Malam itu Zailani dengan rela hati tidak mahu Iji jadi pemandu motosikal kerana dia mahu ajar Iji tentang ‘kebodohan’ Kopi Tok Kenali itu tadi. Mereka bersurai lepak agak awal kerana rajuk Iji selepas kena penangan ‘bodoh’ oleh Zailani. Motosikal berjenama keluaran Jepun membelah jalan kampung pada malam itu menghala ke rumah Iji. Banyak kesedaran dalam perjalanan itu yang sungguh besar bagi Iji walaupun tampak remeh dalam msayarakat.
×
Zailani kelihatan tenang menunggang motosikal di samping wajah serabut Iji yang masih tertanya-tanya jenayah apa yang dia lakukan sehingga digelar bodoh. Angin malam berhembus memupuk suasana hening di kampung laman Iji dan Zailani seta memupuk waktu rehat bagi golongan marhaen yang sibuk berhempas pulas menelaah tanah demi sesuap rezeki untuk keluarga dan diri masing-masing.
“Rileks la Iji, aku saja nak bahan kau tadi. Kalau kau bahan aku takpe, ni aku bahan sekali pun dah pelik semacam muka kau. Kita kena terima kebenaran walaupun ianya pahit kau tau?” Zailani cuba memujuk Iji yang diam sebaik sahaja membonceng motosikal buruk jenama Honda itu.
“Aku tak marah kau sangat pun sayang…cuma aku tertekan sebab kau kata aku bodoh sebab Kopi Tok Kenali,” dengan tenang Iji menjawab. Situasi tersebut dibiar ada jeda bagi menunggu jawapan dari Zailani.
Penat juga menceritakan kisah Iji, Zailani dan Zubir Rahman mengikut tempo drama melayu yang berlatarbelakangkan atmosfera sosioekonomi kampung ni. Jadi, diringkaskan kisahnya Zailani menceritakan secara panjang lebar tentang kopi Tok Kenali itu. Diceritakan oleh orang kampung bahawa minyak motosikal jenama Honda tersebut telah habis sewaktu Zailani masih asyik bercerita ketika mereka telah sampai ke beberapa buah negeri dan Zailani setia bercerita kepada Iji sehingga mereka tidak sedar waktu pantas berjalan. Polis Di Raja Malaysia menjumpai mereka ditepi jalan di sebuah lebuhraya ternama negara. Polis menceritakan Zailani dan Iji masih tidak tidur sejak dijumpai.
×
            Zailani berpendapat bahawa Kopi Tok Kenali merupakan salah satu agenda ‘kapitalis kecil’ yang ada salam industri perniagaan Malaysia. Perisa ini adalah seangkatan dengan Kopi Jantan, Kopi Telur Puyuh dan lain-lain perisa kopi yang mengangkat martabat kopi pra-campuran untuk dijadikan bahan niaga yang penuh variasi. Justeru, bagi Kopi Tok Kenali, ia telah mengangkat makanan sunah yang kononnya dicampur bersama kopi tersebut agar mendapat ‘berkat’ bila mana si peminum meneguk perisa berkenaan. Bukanlah salah bagi mengambil peluang sebegitu, bagi Zailani makanan dan minuman tidak perlu dicampuradukkan jika ingin mendapatkan keberkatan sunnah nabi. Lebih elok makanan atau minuman tersebut dijual secara berasingan agar berkat itu lebih nyata dan dapat dirasa disamping tidak perlu menggunakan formula campuran yang melibatkan bahan kimia di dalamnya. Selain itu, produk makanan seperti ini dilihat lebih glamor dan mudah dijadikan ‘medium’ memulakan perniagan seperti MLM. Hal ini menambahkan sengsara kepada manusia yang teruja dengan kekayaan segera dan tertipu dengan konsep perniagaan minuman atau barangan kesihatan.
            Sebagai pelajar pondok, Zailani dan Iji amat tegas dengan pendirian mereka bahawa manusia tidak boleh jadi kapitalis dan menipu golongan maehaen. Selain itu, sebagai hamba kita tidak boleh menindas golongan yang kesusahan dan amat ralat bagi dunia ini apabila memiliki golongan yang tamak. Alasan untuk menolong rakan yang sedang susah supaya sama-sama susah adalah tidak masuk akal seterusnya mewujudkan golongan yang hipokrit dalam perhubungan contohnya hubungan sahabat baik.

            Iji akhirnya sedar dan sekarang telah masuk hari ke-46 dia berhenti meminum Kopi Tok Kenali. Dia menolong Zailani dalam menguruskan perniagaan barangan sunnah seperti kayu sugi, tasbih, buah kismis serta makanan dan minuman sunnah dengan niat dapat menyedarkan manusia tentang kepentingan mengamalkan sunnah dala kehidupan seharian. Selain itu, sesiapa yang ingin menolong Zailani dan Iji dalam perniagaan, mereka perlu membayar yuran keahlian dan mendapat diskaun untuk barangan jualan tersebut. Namun, mereka tidak boleh mengambil kesempatan atas diskaun yang diberikan untuk mendapat keuntungan dengan menjual barangan tersebut pada harga biasa, tetapi mereka perlu beri percuma kepada sesiapa sahaja muslim yang mereka temui dengan niat membantu sesama hamba.

Liur Kata

Tidak ada sesuatu yang hebat tercapai tanpa kecintaan” – Ralph Waldo Emerson.
×
            Siapa-siapa sahaja mahu rasa makanan yang dipanggil cukup rasa. Manis, berlemak dan ada ‘umphh’ serta segalanya cukup. Sebab itulah dipanggil cukup rasa. Jadi, tidak hairan kenapa masyarakat dunia terutamanya penduduk Asia, terus dispesifikkan lagi rakayat Malaysia, amat familiar dengan obesiti disebabkan faktor makanan yang cukup rasa tadi. Masyarakat yang tercandu dengan kenikmatan makanan dipercayai mudah ‘makan pujuk’ yang juga turut ada rasa ‘manis’. Sekali lagi, tidak hairan masyarakat Malaysia (Melayu) menjadi pelopor golongan yang pemurah dan suka menderma sehinggakan profesion peminta sedekah menjadi popular tetapi tidak setanding budaya K-pop dan sebagainya yang dianggap hedonisme. Semua perkara dalam pernyataan ini yang disentuh berpunca daripada mulut atau lebih tepat lagi digelar lidah yang tidak bertulang. Lidah adalah satu senjata yang boleh buat manusia menjadi hulubalang tersanjung dan terbilang atau petualang yang jalang dan malang.
×
Anwar, seorang pelajar yang agak pendiam dalam kelas yang dipenuhi golongan bijak pandai berlatarbelakangkan komuniti yang mempunyai struktur kewangan yang kukuh. Namun Anwar hanya biasa-biasa sahaja. Pergi ke sekolah hanya berjalan kaki, bawa bekal makanan dari rumah untuk jimatkan perbelanjaan keluarga, Tiada apa yang istimewa tentangnya yang boleh digambarkan dalam cerita ini. Hidup hanya seperti ceritera lara yang hanya hidup segan mati tak mahu.
            Pada satu hari, Anwar sedang elok menelaah pelajaran di dalam kelas tiba-tiba dia rasa ingin ke ‘sungai kecil’ atau dalam bahasa lebih ‘moden’ dipanggil kencing. Seperti biasa, mengikut adab timur, pelajar mesti meminta izin guru yang sedang mengajar jika mahu keluar keluar bagi urusan tertentu dan Anwar melepasi adab itu. Usai melabuhkan sauh di ‘sungai kecil’ itu Anwar ingin kembali ke kelas dan perlu melalui bilik mesyuarat sebelum sampai ke kelasnya. Setiap kali Anwar lalu melintasi bilik mesyuarat itu, dia merasakan seperti ada aura yang kuat memanggil-manggil dia supaya masuk ke dalam bilik itu. Dia takut. Masyarakat timur kuat pengaruh tahyul dan Anwar juga turut serta dalam kepercayaan itu sebab itulah dia langsung tidak berani untuk masuk apatah lagi melirikkan pandangan ke dalam bilik mesyuarat itu. Anwar pernah terdengar cerita-cerita karut rakan sebayanya bahawa bilik itu ada ‘semangat’ yang lain macam. Namun dengan kehendak Tuhan, Anwar memberanikan diri untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat yang ber’semangat’ itu kerana nafsu ingin tahu yang menbuak-buak di usia muda. Sebelum masuki ke dalam bilik itu, Anwar membaca ayat dan doa yang sepatutnya. Perasaan kental dan was-was menyelubungi diri Anwar apabila ingin menjejakkan kaki ke dalam bilik itu. Pintu dikuak. Tiada orang. Susunan kerusi beroda berona biru muda serta meja panjang berbentuk huruf ‘U’ kemas dengan alas meja mesyuarat warna merah saga. Almari kabinet yang memperagakan trofi-trofi, medal-medal dan plak-plak yang membuktikan penglibatan sekolah dalam pertandingan sukan, debat, forum atau sekadar cenderahati memenuhkan ruang dalam bilik mesyuarat itu. Terdapat sebuah rak buku di sebelah belakang kerusi utama yang biasanya diduduki oleh guru besar atau pengerusi mesyuarat. Tak banyak buku yang ada di rak tersebut. Tetapi Anwar seperti melihat sebuah buku bercahaya yang menyinar terselit antara puluhan buku di rak itu lalu dengan beraninya dia mengambil buku itu.
Nukilan buku bertajuk ‘Berucap seperti Pemimpin Terbilang’ oleh Doktor Jeniri Amir diamati dengan bola mata yang serius sambil tersenyum.
×
            Setiap hari Anwar membaca semua jenis akhbar tempatan, paling kurang lapan naskhah akhbar mainstream dan underground sehari. Itulah prinsiap Anwar selepas peristiwa menjumpai dan mencuri buku yang dijumpainya di bilik mesyuarat lapan tahun lalu. Anwar kini bukan lagi seorang yang pendiam malah ada sahaja benda yang beliau ingin ucapkan setiap kali berjumpa dengan orang sama ada yang lalu-lalang depan rumah dia, pakcik makcik yang meniaga atau lepak di kedai makan, budak-budak sekolah menengah yang hisap rokok sambil tunggu bas, awek yang jaga tandas awam, tauke penjaja ikan, salesgirl di supermarket, pelacur murah atau mahal, mat ganja di jalanan, pak imam tua masjid mukim dan semua orang yang dia rasakan ada hati, jiwa, naluri seorang manusia.
            Perkara yang disentuh adalah mudah, bercerita tentang dirinya sambil mengaitkan dengan isu semasa yang digembar-gemburkan oleh media arus perdana negara atau bawah tanah. Apa sahaja isu-isu yang berkaitan walaupun mustahil untuk diterima logik akal manusia yang dengar ceritanya. Anwar mencuba. Telatah Anwar ini langsung tidak disedari oleh penduduk Malaysia kerana dia tiada pekerjaan tetapi sentiasa berpakaian kemas dan sopan. Kalau kita berada di tempat Anwar, kita sendiri pun rasa tidak logik jika itu yang perlu dilakukan saban hari. Logiknya, hanya salesman sahaja yang mampu ke hulu ke hilir bercerita mengenai produk dari pintu ke pintu. Namun, Anwar hanya bawa bekal mulut dan lidah sahaja sebagai produk dan akal yang waras sebagai kilang pengeluar dana. Hanya perlu dengar butir kata yang keluar dari mulutnya. Mudah. Tidak ada perbelanjaan yang perlu dikeluarkan oleh ‘pelanggan’ Anwar. Pinjamkan sedikit masa dan telinga kepada Anwar, pasti hari pelanggan Anwar akan lain daripada hari-hari biasa. Itulah adalah karamah yang ada pada Anwar.
×
Lagi banyak anda ucapkan, lagi banyak perkara yang orang lupa” – Francois Fedelon.
Selepas menjumpai buku yang seperti ada kuasa luar biasa itu, Anwar mula berubah dan mula bersuara jika diberi peluang bertanya atau menyuarakan pendapat di dalam kelas. Pelbagai persoalan timbul dalam kalangan rakan-rakannya kerana Anwar berubah total, tidak seperti Anwar sebenar yang mereka kenal. Banyak cakap. Cakapnya pula pasti ada isi dan mesej yang disampaikan sehingga guru-guru sekolah menganggap Anwar bukan Anwar, entiti lain mungkin sebab ada budak cleaner beritahu ada nampak Anwar keluar dari bilik mesyuarat itu. Tetapi, guru-guru hanya senyap dan mengambil hal itu sebagai peluang untuk mengharumkan nama sekolah mereka. Anwar dipilih sebagai pemidato sekolah sekaligus merangkul gelaran johan di setiap peringkat bermula dari peringkat daerah, negeri dan peringkat kebangsaan. Anwar sedar yang dia dipergunakan oleh pihak sekolah bagi menaikkan nama sekolah namun, dia tetap teruskan sebagai pemidato sekolah kerana itu merupakan satu jalan bagi dia dikenali dan mendapat wang lebih untuk agenda yang lain.
            Anwar bukan sahaja bijak berpidato, tetapi dalam diam dia ada agenda tersendiri. Selain berpidato, Anwar cekap menyusun rangkap pantun tak sampai seminit dan memenangi permainan teka silang kata dan macam-macam permainan budak sekolah yang tak luput ditelan zaman kerana sistem pendidikan negara yang masih ditakuk lama dan tidak sesuai dengan tahap pemikiran Anwar.
            Agenda yang paling besar Anwar ingin laksanakan adalah menjadi perdana menteri negara. Agak gila pemikiran Anwar pada umur belasan tahun dan itu memang tidak logik. Semua orang menganggap Anwar seorang yang gila. Tetapi Anwar steady dan tidak menghiraukan telahan khalayak yang cetek ilmu dan kolot itu. Anwar tahu apa perancangannya untuk masa depannya sendiri. Ibu bapa, adik beradik serta saudara mara Anwar langsung tidak berani untuk bercanggah pendapat kerana hujah Anwar adalah kukuh dan siapa-siapa yang mendengar kata-katanya akan terus menerima dan bersetuju. Anwar seperti ada kuasa sihir yang boleh menghipnotis khalayak dengan kata-kata.
×
            Agenda gila Anwar tercetus apabila dia yang sangat rajin membaca akhbar harian perdana negara. Dia perasan ada satu kebosanan setiap kali menatap akhbar-akhbar tersebut kerana semuanya berita yang dipusing-pusing setiap hari. Politk, jenayah, rasuah, seks, kemiskinan dan macam-macam yang pelik seperti berita orang kahwin berarak naik jetski dan sebagainya yang dilihat seperti membazir cetakan akhbar. Tetapi bukan itu yang menarik perhatian Anwar untuk menjadi perdana menteri. Setiap hari Anwar perasan bahawa gambar perdana menteri negara akan terpampang di muka paling depan dalam setiap akhbar.
            Ada satu malam si Anwar bermimpi jadi perdana menteri. Semuanya sebab dari pagi dia baca semua akhbar ada gambar perdana menteri sedang menghulurkan bantuan kepada rakyat yang pelbagai bangsa dan peringkat umur. Anwar bermimpi dia jadi perdana menteri dan membantu rakyat dengan menjalani kehidupan di kampung sambil bercucuk tanam demi memahami keperitan hidup marhaen. Mimpi itu ditambah lagi dengan semua penduduk dan rakyat bersetuju melantik Anwar menjadi perdana menteri. Anwar memang seorang yang bertanggungjawab dalam pentadbiran negara melalui cara perlaksaan dasar asabiyah yang ditonjolkan olehnya sendiri. Semua negara yang ingin berurusan tidak akan dilayan jika tidak bertutur dalam bahasa Melayu dan makan nasi lemak selepas mesyuarat. Sepertinya Anwar menjalankan proses asimilasi dan dasar yang tidak berapa terbuka terhadap golongan diplomatik dari luar negara. Apa yang Anwar belajar tentang mimpi itu, dia mesti menambah ilmu di dada yang sedia banyak itu.
Tradisi ilmu itu penting. Kita berjuang kerana maklumat dan fakta. Kita berjuang kerana cita-cita murni untuk membawa perubahan dan ini bagi saya tidak boleh ditinggalkan dalam arena perjuangan politik kita.” ― Anwar Ibrahim
×
            Anwar sekarang menyandang jawatan timbalan pengarah sebuah syarikat terkemuka negara. Dia bertindak selaku juru cakap bagi syarikat yang dipegang oleh Najib dengan mempromosikan produk mereka iaitu perkhidmatan memudahkan hidup rakyat dalam negara. Seperti biasa, kata-kata Anwar umpama sihir yang tak terkalahkan kerana setiap hari produk syarikat mereka akan laris dibeli oleh rakyat. Perdana menteri pada waktu itu amat kagum dengan kebolehan Najib dan Anwar dalam mengendalikan syarikat yang telah masyhur ke seluruh buana tanah Malaya.
            Matahir selaku perdana menteri telah berunding dengan Najib selaku pemilik syarikat atas nasihat Anwar yang berilmu. Bukan Najib tidak berilmu, tetapi dia perlukan dorongan dan nasihat serta pandangan dari Anwar kerana pengaruhnya lebih dekat kepada rakyat. Jadi, Matahir bercadang untuk meletakkan syarikat mereka sebagai milikan penuh perdana menteri dan kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama. Lalu, separuh impian Anwar tercapai dan berada di landasan yang tepat. Waktu kerjasama itu dimeterai, Matahir sudah hampir pencen sebagai perdana menteri dan dia telah bersedia dengan pelbagai kemungkinan bahawa akan ada orang yang akan menjatuhkannya sebelum dia bersara dari dunia penuh ranjau sebagai pemimpin tertinggi selepas raja negara. Matahir lebih berhati-hati.
            Anwar cekal dan utuh dengan impian serta perancangannya yang tersendiri. Air yang sangat tenang, tentunya ada jin yang melewati. Islam atau tidak jin itu, lihat bagaimana orang yang dimasuki oleh jin itu. Benar atau tidak orang itu. Betul atau salah orang itu. Jernih atau keruh minda orang itu. Semua terpulang kepada orang itu.
×
Dalam politik tidak ada masa untuk kita rasa letih atau kecewa sehingga matlamat perjuangan itu tercapai.” ― Anwar Ibrahim
            Impian paling besar dalam hidup Anwar sudah tercapai. Ya. Anwar menjadi perdana menteri di sebuah negara yang sejahtera, aman, damai dan sentosa di bawah limpah kurniaan Tuhan yang menganugerahkan rakyat yang setia kepada Anwar. Hanya hamburan kata-kata Anwar sahaja yang boleh menceritakan segala-galanya bagaimana dia boleh menjadi perdana menteri.
            Daripada timbalan kepada Najib, kini menjadi perdana menteri. Semua hasil titik peluh Anwar sendiri. Matahir lebih mempercayai Najib daripada dia. Anwar tahu muslihat Najib dan Matahir ingin menjatuhkan dia si saat rakyat mempercayai dia. Setiausaha kepada timbalan Matahir adalah dalang disebalik kejayaan Anwar sekarang.
            Rina, gadis cantik dan lentik. Lulusan ijazah universiti tanah arab dalam bidang Usuludin. Tiada belas kasihan apa lagi rasa sayang saat Rina memberitahu muslihat Matahir dengan Najib setelah terdengar perbualan mereka ketika masing-masing sibuk melepaskan hajat di tandas. Masa itu Rina ber’hajat besar’ dan ingin segera melepaskan hajatnya itu namun tersalah masuk tandas lelaki di salah sebuah hotel terkemuka semasa tempoh mesyuarat delegasi bersama negara jiran. Rina sebenarnya telah lama menyimpan perasaan terhadap anak tengah Matahir, Muiz tetapi Matahir yang merupakan duda ketika itu turut menaruh perasaan terhadap Rina dan tidak bersetuju hubungan Muiz dengan Rina. Begitu kompleks bab perasaan mereka.
            Rina pasrah dengan hidupnya dan mengambil peluang tembelang Matahir yang pecah untuk dikhabarkan kepada Anwar. Anwar tenang dan mengatur satu persatu langkah agar tidak terjerat dengan permainan Matahir yang merancang untuk memfitnahnya. Anwar bekerja seperti biasa tetapi pada masa yang sama dia juga memasang jerat dengan menggunakan Rina sebagai alat yang cukup untuk membinasakan Matahir sebelum sempat bersara. Anwar juga telah ‘menguasai’ orang-orang suruhan Matahir agar tidak berbuat apa-apa bagi memudahkan kerjanya. Dia menghasut serta menyebarkan dakyah bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pemerintahan Matahir dan para pekerja perdana menteri itu majoritinya percaya akan hal itu.
            Matahir didakwa cuba mencederakan Rina beberapa kali dan tuduhan yang paling berat adalah membunuh perempuan itu dengan menolaknya dari tingkat satu bangunan perdana menteri. Rapuh sungguh nyawa Rina. Padahal Rina sendiri tidak mahu mati tetapi keran lakonan berlebihan pada waktu itu, Dia lupa beranda di aras itu sedang diselenggara dan tidak berpenghalang. Namun rakaman cctv ketika itu jelas menunjukkan matahir menolak Rina dengan sengaja. Kenyataannya, Rina hanya perlu menggoda Matahir ketika sedang puasa. Ya. Waktu itu bulan puasa dan Rina kebetulan datan bulan dan mengambil peluang den menanti ganjaran yang lumayan dari Anwar iaitu menjadi isterinya sekaligus memegang hampir keseluruhan harta rakyat. Rina boleh buat apa sahaja jika dia berjaya. Namun, malang tidak berbau.
            Matahir bersalah dihukum gantung mandatori. Najib melarikan diri ke eropah tanpa sempat dikesan disyaki takut dikaitkan dengan kes Matahir. Tetapi, satu ketika riuh rendah rakyat di bawah pemerintahan Anwar yang dikatakan ternampak Najib di kerusi OKU di stadium milik Manchester United ketika perlawanan siaran langsung. Anwar tahu Najib minat Manchester United. Anwar ada menghubungi konco-konco dia di Manchester untuk mendapatkan kesahihan dan memang benar, Najib menjadi warga OKU di sana kerana sakit tua. Anwar lega dengan apa yang sudah dia usahakan dan perit yang terpaksa dilalui untuk menjadi seorang perdana menteri.
×
The best is yet to come.” – Butterfingers
            Anwar sudah menjengah umur dua puluh satu tahun dan layak mengundi orang yang bakal menjadi wakil rakyat di kawasan kelahirannya. Sambutan hari lahirnya disambut dengan mendaftarkan diri sebagai pemuda yang layak digelar pengundi. Dia cekal bekerja di pasaraya dan masih bercerita berpandukan buku yang telah merubah hidupnya. Anwar diberhentikan daripada meneruskan pengajian kerana terlalu banyak bercakap dan sentiasa mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Benda yang boleh memberhentikan dia daripada bercakap dan bercerita adalah sembahyang dan azan serta iqamah. Dia disyaki terkena penangan ‘semangat’ bilik mesyuarat sekolah lamanya. Anwar sedar dalam tidak sedar dan tidak sedar dalam sedar. Semua adalah kerana kuasa mulut, lidah dan butir-butir perkataan.

Cerita yang diberitahu Anwar adalah perihal Matahir, Najib, Rina dan Muiz. Tiada siapa dapat memahami kepayahan Anwar dalam dua kehidupan

December 8, 2014

Robot RIndu

     Pernah satu hari saya memasang angan yang saya akan bina sebuah robot. Ketika itu saya masih sendiri. Tiada manusia yang mengenali dan sedar bahawa saya seorang manusia. Saya cuba mendapatkan material untuk membinanya tanpa meminta bantuan sesiapa. Namun, saya hanya menggunakan teknologi maklumat internet sahaja untuk mengetahui material yang sesuai untuk membuat robot tersebut. Boleh dikatakan saya ini seorang introvert versi tenang dan bersahaja. Begitu teruja saya dengan ciptaan ulung saya. Sama seperti seorang manusia yang sedang menunggu kelahiran bayi sulung atau malam pertama bagi pengantin.

Dalam masa mencari material tersebut, saya dapati, untuk membina robot itu perlu melalui sebuah prosedur dan birokrasi yang rumit. Leceh. Walaubagaimanapun, keterujaan saya telah mengaburi kelecehan tersebut seperti seorang stalker di laman sosial maya yang berhati-hati dalam pengintipannya. Prosedur yang perlu saya jalani adalah mengenali hati kamu manakala birokrasi yang dirasakan celaka adalah menangani teman-teman kamu yang pada kebiasaannya tidak tenang dengan kehadiran saya, Bagi saya, tidak mengapa jika semuanya perlu saya lalui demi untuk mendapatkan material untuk robot ciptaan saya nanti.

     Masa diganti tanpa saya sedari. Telah beberapa tahun saya cuba mendapatkan material robot saya. Teman-teman kamu silih berganti. Ada yang saya kenali dan tidak pernah langsung saya sedari. Mereka galak menghalang aksi selebihnya untuk saya mendekati kamu atau mungkin juga kamu telah didorong oleh mereka supaya melekehkan saya. Kadan-kadang saya geli hati dengan teman-teman dan juga diri kamu sendiri. Pada hemat saya, rupa saya ini sememangnya tiada langsung dalam kegemaran manusia pilihan pasangan, apatah lagi perangai. Bila saya terfikir hal ini, langsung perasaan putus asa itu menghampiri. Namun, keterujaan saya masih ada dan saya juga dalam dilema untuk meneruskan pembinaan robot saya. Prosedur ringkas hanya untuk mengenali hati kamu sahaja, namun lelahnya seperti saya perlu mengambil hati dan mengangkatnya serta berbangga diri.

     Jelas, keterujaan saya untuk melalui semua ini masih di takat tinggi. Tetapi birokrasi yang ada melemahkan semangat saya. Kadar intelektual saya tidak mampu untuk disaingi oleh diri saya sendiri. Saya sendiri masih tidak jelas kenapa saya masih bereksperimen dengan sampel-sampel hati manusia lain sedangkan material yang kukuh asalnya hanya ada pada kamu.

     Proses yang telah saya lalui sungguh bosan. hati-hati lain yang saya eksperimentasikan tetap tidak sama seperti material yang ada pada kamu. Kamu tentu sudah sedia maklum bagaimana telah saya eksperimentasikan hati-hati yang lain melalui teman-teman kamu yang sebenarnya telah melalui proses eksperimen itu. Mereka sebenarnya telah kosong dan hanya hati kamu masih ada isi sama ada terisi dengan kehidupan penuh dugaan atau telah diisi oleh usaha pembinaan robot oleh manusia lain. Manusia lain juga turut melakukan eksperimen ini. Masing-masing sedang teliti dan tekun dalam prosedur dan birokrasi tanpa kamu sedari.

     Tanpa saya sedar, eksperimen lain yang bosan telah mengilhamkan saya untuk menghasilkan robot yang tidak disangka oleh diri saya sendiri. Gila. Saya mencipta dalam tempoh mengenali kamu. Lalu dihujung kehidupan ini saya telah namakan robot itu sebagai Robot Rindu Infiniti. Keterujaan saya masih di takat tinggi kalau kamu mahu tahu.

December 5, 2014

Ingin aku tulis.

Semalam aku ke toko buku. Kamu tau apa itu toko? Silalah cari di enjin carian Google kamu itu.
     Rasanya kali terkahir aku datang ke toko berkenaan tika rambut aku masih nipis dan kumis manis tidak nampak jelas. Kamu tahu atau tidak perihal ketebalan rambut aku sekarang? Jangan kamu bayangkan kerana aku sendiri tidak pernah terlintas bagaiamana aku bisa menyimpan ketebalan rambut setara seperti sekarang. Namun aku rasa bahgia walaupun aku begini dan kebahgiaan kamu tidak lagi aku peduli. Oh ya, untuk pengetahuan kamu, toko itu terletak di dalam sebuah gudang beli-belah yang mega.

     Toko buku itu telah diubah lokasi dan aku rasa itu satu perubahan yang positif bagi pemiliknya kerna aku lebih senang melewatinya berbanding sebelum ini. Dari jauh sudah terang terpampang papan tandanya. Dalam pada itu aku sebenarnya sangat teruja ingin memasuki toko buku tersebut kerana sudah lama aku tidak menghidu bauannya.

Tiba-tiba, ekoran terlalu ghairah dan teruja untuk ke toko itu, aku terlanggar seseorang. Kamu. Kenapa tidak aku lupa akan wajah kamu yang sentiasa manis di samping pakej lengkap seorang wanita yang mampu meroboh tembok ego seorang lelaki yang dahagakan kasih sayang. Ketika kita berlanggaran bahu masing-masing, kamu khusyuk menilik gajet terbaharu, kontemporari dan trendi. Kamu bermain skrin gajet yang sempat aku tau harganya hampir sama nilai dengan sebuah kenderaan dua roda serta mempunyai enjin berkuasa empat lejang yang telah digunakapakai oleh orang pertama dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

     Aku tenang dan secara automatiknya tangan aku cuba membantu mendapatkan gajet kamu yang terperosok ke bawah eskelator. Kamu biarkan sahaja perbuatan aku sambil menunggu aku mendapatkan gajet itu dengan riak muka yang langsung tiada pernah meminta maaf dengan mana-mana manusia. Aku lagi tenang, mendapatkan gajet kamu, meminta maaf, berundur dan terus menjejak eskelator supaya aku bisa naik ke tingkat seterusnya. Kamu tiba-tiba menghilang. Aku masih tenang.

     Langkahan kaki aku berhenti di almari buku yang tertera 'MANIS'. Aku capai buku yang menggamit hati aku, gambar muka kulit hadapannya jelas dipenuhi serangga yang digelar semut. Aku tenang dan terus, aku alihkan seekor demi seekor semut itu kerana aku mahu tahu apa isi muka hadapan buku yang pamit perhatian aku. Kali ini aku sedikit kaget kerna kulit hadapan tersebut tiada apa-apa walaupun sebutir aksara namun aku tenang akhirnya setelah aku buka muka surat di dalamnya. Rupa-rupanya isi di dalam yang membuatkan semut-semut tidak berdosa tadi mengerumuni buku itu dan isi dalamannya selamat kerna berbalut plastik lutsinar yang menipu semut-semut itu tadi.

     Pekerja di toko itu menegur perbuatanku dan membawa aku bersama buku itu ke kaunter. Situasi sedikit tegang setelah aku memperihalkan mulanya kejadian tadi namun mereka semua tidak percaya dan mereka mendakwa aku cuba membaca dan  melihat isi buku itu malah ada bersikap ekstremis mengatakan aku mahu mencuri buku itu. Aku terpaksa akur kerana mereka bertegas ingin membawa aku ke akhirat jika aku tidak mejelaskan bayaran buku berkenaan.

     Keterujaan aku hilang disebalik kejadian tersebut namun masih ada bibit tenang bila aku mengenangkan buku itu. Aku bawa pulang buku yang tiada cetakan pada kulit muka hadapannya dengan harapan akan ada perubahan dalam hidup aku. Benar, buku itu memberikan inspirasi untuk aku tulis semua ini dan kalau mampu pada saat ini ingin aku terbitkan tulisan ini di semua media yang wujud kerana buku yang aku selamatkan itu telah terisi-cetak wajah kamu.