November 18, 2013

Nafsu Besar


Sejuk. Panas.
Sejuk. Panas.
Akhirnya suam suhu badan Amin. Terus jarinya menekan punat alat kawalan jauh jenama nasional. Terpampang dua personaliti yang bekerja makan gaji dengan stesen televisyen swasta pada luarannya. Mereka mula asyik membaca berita yang disogok oleh pembekal yang tak ketahuan sumbernya. Badan Amin ketar-ketar lepas tengok personaliti tadi.
Jam berdetik pukul lapan malam.
Patutlah. Berita Utama Pukul Lapan Ngam-ngam sedang ke udara.
Anjing betul perasaan Amin waktu itu. Serabut. Entah kenapa bila rancangan berita itu ke udara dan terpampang dua orang personaliti itu terus menggeletar badan si Amin. Terus Amin memutar masa silam selangkah dua.
            “Kau kenapa jujur sangat? Gaji besar kau dapat, kereta mewah buatan Jerman kau dapat, jam tangan Swatch kegilaan kau pun dapat jugak”
            “Aku suruh kau kerja baca berita yang tertancap di skrin kecik tu je. Kerja senang pun bukan main susah kau nak buat.” Suara penerbit rancangan berita  itu masih lekat elok dalam lipatan kecelaruan akal Amin.
            “Aku tak nak jadi anjing!” Ayat itulah yang terpancut dari mulut Amin selepas ditenyeh dengan soalan penerbit tadi. Ringkas dan PADU bak kata dari LoQue ex-Butterfingers.
            “Anak bangsa aku takkan maju kalau aku teruskan kerja ni. Aku tak nak lihat mereka merempat sebab apa yang aku sampaikan akan tersebar ke seluruh dunia. Orang tunggu tepuk tangan sahaja selepas berita sampah ni ke udara” Tambah Amin.
            “Kau ingat diorang peduli yang mana sampah yang mana nasi ayam mayonis? Persetankanlah apa orang kata Amin. Kerja kau ringkas je. Mereka tu yang anjing, senang sahaja bersyukur dengan saguhati. Dah la ciput gila diorang dapat.” Pencerahan penerbit itu lagi meniupkan lagi api kemarakan dalam hati Amin.
            “Cis, cis dan cis!”
            “Berani kau merendahkan bangsa aku. Memang kau anjing!” Berang lagi dari Amin.
Selepas dialog itu Amin terasa ada tusukan di lehernya. Tusukan itu tajam yang amat. Datang dari arah belakang.Amin bertenang. Diam. Terus kebas seluruh tubuhnya. Tapi dia dapat melihat dengan jelas tubuhnya dirangkul jahat di bawa melalui lorong belakang pejabat televisyen di mana Amin bekerja. Amin ditinggalkan tanpa seurat benang dan digantung notis di tengkuk nya dengan tulisan tangan.
            “AKU ADALAH ANJING. INGIN MENJADI ANJING. SEBAB BANGSA AKU ANJING!”
Nasib baik Saiko lalu di lorong belakang kerana dia ada niat jahat untuk mencuri berita dari stesen televisyen tersebut. Semasa ingin meninjau dari dekat dia melihat Amin bogel. Dia perhatikan Amin agak lama tapi bukan pada bahagian sensitif yang kita selalu bayangkan. Amin lumpuh.
            “Aku tak nak jadi anjing!”
            “Si keparat penerbit itulah yang menjahanamkan  kondisi aku.” Laung suara hati Amin yang teringat peristiwa hitam itu.
Amin tinggal dengan Saiko selepas kejadian itu. Dia mengajar macam mana Saiko ingin bekerja untuk penerbit itu. Dalam masa itu dia mengajar Saiko untuk menjinakkan nafsu penerbit itu supaya mudah untuk dia dan Saiko menjerat nyawa penerbit yang tamak lagi rakus menghapuskan bangsa sendiri.
Hati si Amin berdetik.
            “Kau tunggu wahai ANJING!”
            “Kita lihat aku atau kau yang patut jadi anjing.”

Berita akhir malam itu memaparkan penerbit rancangan berita ditemui mati di dalam kawasan yang mempunyai gerombolan Rottweiler.  Amin senyum.