November 11, 2014

Kantor Buku

Sejujurnya, pustaka adalah tempat yang tenang. Ditempatkan di dalamnya buku pelbagai bahasa, budaya, jantina, jenisan, saiz dan semestinya tajuk yang berbeza. Kebiasaannya pustaka dibina dengan fizikal bangunan yang mega dilengkapi kemudahan tertentu khas untuk manusia menjamu atmosferanya. Jangan pernah menipu atau cuba, jika kita (yang sedang baca tulisan ini) tidak langsung pernah menjejakkan kaki ke sana. 

X

     Aku sedang menelaah laman jaring sosial sambil disebelahku ada beberapa buah buku yang agak tebal untuk seorang tidak minat membaca seperti aku. Kali ini aku datang secara invidu, tidak seperti sebelumnya aku ditemani teman rapat atau teman sekelas. Jiwa aku rasa lain hari ini kerana jarang aku bergerak secara individu. Aku menelaah laman jaring sosial diselang-selikan dengan membelek buku ilmiah yang memperihalkan tingkah laku masyarakat yang majoriti tokoh dalam bidang itu adalah orang Eropah dan beberapa orang dari Asia, tetapi kalau Malaysia hampir tidak wujud nama dalam bidang tersebut. Hanya perlu duduk, perhati dan buahkan konklusi dan teori itu ini diberi nama, jika beruntung terus gunakan nama sendiri sebagai teori. Mudah.

     Aku lebih tertumpu ke laman jaring sosial di mana hari ini sedang ribut tentang beberapa orang lelaki yang keliru tentang jantina telah menang dalam kes mahkamah kerana cara pakaian mereka menyerupai wanita. Negara aku ini penuh drama tetapi rakyatnya sensitif yang amat. Entah siapa yang sudi berlakon untuk drama-drama ini dan aku bersimpati atas situasi sekarang tanpa aku fikir situasi masa hadapan. Tidak pernah aku berangan akan memimpin negara ini kerana aku langsung tidak terinspirasi dengan tokoh-tokoh negara yang ada. Literasi media yang pincang juga membuatkan aku tidak mahu menjadi pemimpin kepada bangsa atau negara kerana setiap hari aku disogok berita kekacauan dalam negara yang aman, orang baik yang dihentam, kanak-kanak yang lagak lakunya seperti asasin yang sangat bahaya kepada musuh. Nafsu aku untuk memimpin menjadi lemah kerana aku banyak sumber yang aku dapat tentang hal-hal sedimikian berkiblatkan internet semata-mata dan aku jadi semakin malas untuk membaca.

X

     Aku keluar dari pustaka dengan perasaan yang lega kerana beberapa tugasan telah aku selesai dan yang masih tidak selesai adalah bersabung nyawa di masa akan datang. Sebelum keluar aku melalui beberapa buah meja dan beberapa orang pelajar. Banyak meja tidak diisi dengan orang yang boleh memimpin dan beberapa orang yang aku lewati sebelum melangkah keluar pustaka sedang membicarakan perihal pakaian yang sedang popular, cara-cara ingin menjadi popular dalam masa dua jam, cara menghasut manusia supaya berbalah serta tarikh lahir tokoh artis negara pada hari ini dan semua isu-isu itu dibualkan secara kritikal. Aku harap pustaka ini dirobohkan atau diwartakan sebagai pusat rawatan mental bagi manusia-manusia yang sedang diberi dadah tanpa bahan fizikal tersebut.