May 15, 2014

Pelarian

     Kunci di mulut suis dipulas seraya kaki menerajang penghidup enjin lalu berderum ngauman sebuah jentera bendalir. Warna bercampur biru dan putih disamping oren kelabu debu jalanan yang menampakkan hasil kemalasan tuannya untuk menyental saban minggu. Ada box berjenama entah apa-apa entah di bahagian belakang. Nombor plat yang didaftarkan di negeri di bawah bayu, namun disambung kisah di bumi kenyalang. Model Kriss 110cc keluaran jenama kebanggan Malaysia satu ketika dahulu,Modenas.

     Duduk di atas pelana yang tidak empuk itu seorang lelaki. Umur 20-an. Tidak tegap. Biasa-biasa sahaja. Berjanggut. Memakai baju t-shirt berkolar jenama Grand Slam, gambar lambang jenama yang ada penguin kemas disulam di dada kiri pemakainya. Baju warna maroon dan sedikit belang biru muda beserta motif retro yang diterapkan dalam corak baju tersebut. Baju bundle. Dibeli secara dalam talian di sebuah blog terkenal yang menjual baju-baju bundle yang harganya setanding harga baju butik mewah di pasaraya. Seluar Lee yang berusia setahun lebih, tetapi tidak pasti berapa lama ia terperuk di butik pasaraya. Agak season, kerana memang coraknya sengaja dibina begitu biar nampak 'berumur'. Mungkin dipanggil itu gaya semntimental kot. Kasut Adidas China dengan stripes hijau tiga line dan selitan warna kelabu yang mengiringi stripes tadi disamping warna major hitam elegen lusuh. Dipergelangan tangan dibiarkan kosong tanpa ada jam tangan Swatch 1996 hijau bermotifkan suasana teksi di Brooklyn kerana talinya yang rosak.

     Sementara menunggu enjin memanas, dia, tuan motosikal tersebut merenung kejadian yang sedang dihadapinya. Dia buntu. Keliru. Celaru. Serabut. Dan macam-macam lagi persaan berbaur kerisauan bagi dirinya. Tidak pasti tindakan ini adalah dianggap waras atau gila ataupun celaka berlapis petala. Dia seperti syirik dan menduakan Tuhan dengan berpaling tadah terhadap apa yang perlu dia hadap sebagai insan yang sedang belajar. Dia tidak seperti selalu. Bukan. Selalunya dia akan bertindak begitu. Dia mengelak takdir sebelum ini dengan cemerlang. Hari ini minda dia beraksi seperti dirasuk kuasa syaitan yang tak dibendung. Apakah jitu pemikiran begitu? Memang, dia seperti diberi arahan oleh syaitan yang mengawal minda sedarnya. Dia takut tapi ikut. Seperti taktik dia terikut. Dia mahu bawa ke mana sahaja dirinya pergi menjauh. Lari. Lari daripada sesuatu yang pasti dia wajib tempuhi. Kalau tidak, sifar. Sifar nilaian akan dia perolehi. Namun, dia fikir dia sanggup mati daripada menghadapi situasi. Sebab itulah dia menjauh. Beraksi seperti pelarian.

      Motosikal itu meluncur laju di atas jalan tar bergarisan putih di tengah dan tepi jalan. Ada garisan putus-putus dan ada yang bersambung. Putus-putus itu melambangkan boleh memotong dan garisan yang tidak putus itu tidak boleh memotong kalau mengikut piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Hidup kita seperti garsian jalan inilah. Kalau kita tidak mengisi minda dengan pengetahuan dan skil yang mencukupi, sangat mudah manusia akan sailang jalan kita sedangkan di garisan bersambung pun orang lain boleh potong inikan garisan yang putus-putus. Serupa juga dengan trafik light yang dianggap Tuhan jalanraya selepas polis trafik dan JPJ. Semua takut. Semua bukan takut sebab apa yang ada pada mereka, namun apa yang perlu dilunaskan jika ingkar sahaja. Not-not ringgit Malaysia akan diberi secara percuma dan melayang, bukan sehelai sahaja okey, berhelai-helai. Jadi, sebab itulah manusia takut. Melainkan manusia itu cop duit atau reti buat duit palsu.

     Laluan bandaraya Kuching dirobek menggunakan pacuan dua roda tersebut. Melingkari jalan ke Waterfront sambil cuba untuk ikut jejal bahang kenderaan mewah dan tak mewah meluncur.  Tidak tahu hala tuju dan juga tidak tahu jalan-jalan yang lebih rumit kerana bimbang dia sesat di perut bandaraya Kuching lalu dia mengambil langkah selamat untuk lalu jalan yang biasa dimudiki bersama teman-temannya. Dia cuba mengamati setiap lorong, jalan dan simpang agar sentiasa kekal dalam ingatannya. Dia masih tidak tahu ke mana harus ditala jentera pacuannya itu sambil menikmati pemandangan penuh pembangunan diseliputi hedonisme yang kian menebal dalam gaya hidup masyarakat kota. Biasalah hidup seorang manusia. Mesti ada judgemental walaupun sekelumit.

     Akhirnya, dia berkeputusan. Diputuskan untuk mencari candu baharu. Yang dirasakan tenang dan boleh buat dia lupa akan dunianya yang memang di alam nyata. Bonus baginya kalau dapat inzal semasa merasa candu itu. Dia ke sebuah gedung yang sarat dengan bahan-bahan candu. Dia membelek-belek bahan-bahan itu. Ruang legar gedung itu tidak ramai kerana masih waktu pejabat dan waktu persekolahan beroperasi. Dia duduk dan merasa. Hanya ada individu yang ralit dan tercandu merasa candu luar negara sedangkan dia menyokong bahan tempatan.

     Detikan masa bagai tidak dirasa olehnya. Hingga dia sedar dia perlu kembali ke dunia yang memang nyata. Tidak perlu lagi di menjadi pelarian. Dia perlu mematikan kecanduannya segera agar dia boleh pulang sebelum terlambat. Dia mengaut beberapa candu yang baik baginya, mungkin dan dia beredar dengan ada momen yang indah dia tempuh dan rakam sewaktu bercandu tadi.

Masa terus berlalu dan dia pantas memacu motosikalnya pulang ke dunia asal tempat dia mengeluh dan menangguk di air keruh sementara ideologinya yang penakut terus psiko dirinya yang boleh dilabelkan pengecut oleh dirinya sendiri. Dia kembali dari pelarian.