May 9, 2014

Kehadapan Crush yang Dikagumi

Hey awak.
Saya menulis ini dengan harapan awak akan baca tanpa was-was dan sedikit syak wasangka kepada saya yang tidak seberapa elok rupa ini.
Saya harap bila awak baca tulisan ini awak sentiasa senyum dan kawal sahaja senyuman awak yang sememangnya tidak lekang dan lokek itu.
Untuk pengetahuan awak, saya menulis ini bukan sebab saya gila. Saya menulis ini sebab saya mahu riliskan sedikit tekanan dan dihujungnya, selepas noktah terakhir ruangan ini, saya berharap saya dapat menghembus nafas berat yang sarat saya tanggung selama sebelum ini dan juga untuk masa hadapan yang akan tertempuh.

Itu sahaja saya rasa untuk sesi pengenalan. Anggap sahajalah ini tidak seperti surat tidak rasmi. Anggaplah ini sebagaimana yang awak mahu sebab saya tulis ini memang untuk awak.

Awak, hidup saya mula terumbang-ambing sekarang. Saya tidak pasti itu menggamit perasaan awak atau tidak. Yang penting awak kena teruskan bacaan. Hidup saya selepas kenal dengan awak sangat berbeza kerana pada masa itu saya rasa istimewa di mata saya sendiri dan awak dilihat sebagai wanita yang sangat saya ingini untuk berdamping sekaligus berseloka tentang hidup bersama saya.

Namun, itu hanya perasaan saya sahaja. Saya cuba sedarkan diri saya yang sejenis tidak reti membahagiakan orang termasuk ibu bapa saya. Saya cuba. Cubaan itu sehingga saya dan awak ditakdirkan untuk berhubung. Kita saling mengenali secara peribadi dan saya terlupa yang awak ialah sejenis peramah yang tidak langsung kedekut dengan senyuman. Bahagia hidup saya ketika itu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tapi, hidup saya sedikit teratur selepas beberapa momen saya bina bersama awak dan sampai satu peringkat, saya rasa Tuhan hantarkan awak untuk membantu saya. Bersyukurnya saya pada waktu itu. Itu adalah cerita waktu itu.

Setelah kita saling bermalasan dengan hidup, kita sama-sama menjengah satu peristiwa dan kejadian yang telah dirancang.

Awak, saya sebenarnya ingin memuji akan kecantikan awak pada malam itu. Saya langsung tidak inzal melihat wanita lain yang dengan berani dan berahi menayangkan susuk tubuh yang langsung tidak steady bagi saya, seorang lelaki biasa, tegar akan dosa. Namun, saya hanya tertumpu kepada awak sahaja. Saya tahu awak perasan saya memandang dan memerhati awak dari jauh. Saya pun perasan perkara tersebut. Namun tidak pasti adakah perasaan tersebut lebih kepada perasaan perasan sendiri atau apa. Yang pasti saya sempat menangkap renungan awak itu. Ya, renungan yang sepertinya berharap kepada saya supaya memulakan langkah ke arah awak dan membuka patah bicara sedangkan hati kita sedang bergelora.

Awak, saya masih simpan renungan itu kalau awak mahu tahu. Renungan dengan mata polos yang nampak seperti berkaca. Sungguh menggamit perasaan saya. Tapi, ego saya yang menggunung tidak mengghiraukan langsung renungan itu dan dengan angkuh berkata "Tidak, untuk malam ini kau perlu persetankan dia!"

Ego itu memang sentiasa mendabik di dada malahan di dalam hati murni saya ini. Saya dengan tidak semenanya masih mencuri lihat aksi awak bersama teman-teman yang asyik gembira sepertinya tiada hari esok untuk diraikan. Awak berdiri bersebelahan si jaka yang sememangnya tampan dan lebih erogan daripada saya yang picisan ini. Tapi, kental ego saya terus memerhati. Saya buat aksi begitu sehingga awak tenggelam dan lemas dari pandangan mata saya.

Sesungguhnya, hati saya terus berbolak-balik memikirkan perihal awak yang sedang kecapi bahagia. Itu khabar terbaharu yang saya dapat dari sumber yang sahih. Bukuan hati saya terus tersemat rapi. Tidak jadi untuk saya buka bukuan hati ini untuk dipersembahkan kepada awak. Waktu mendapat berita itu, saya rasakan Tuhan tidak perlu menghantar wanita ke dalam dunia ini untuk hidup saya yang akan datang. Kalau perlu pun, saya tetap mahu awak. Biarlah awak bermati-matian menolak kehadiran saya di bumi ini. Saya tetap akan wujud, Mungkin dalam bentuk partikel zarah yang paling ringan dan sepi di ruang vakum yang paling tidak dipeduli oleh manusia-manusia yang bertangan jahat dan rakus.

Konklusinya, saya langsung tidak harap awak terkesima dengan tulisan saya. Saya tahu semua ini awak anggap sampah dan tiada guna pun kalau dikitar semula. Asalkan awak faham semua apa yang saya tulis itu sudah cukup buat saya berbahagia, bagi pihak awak juga.
Selain itu, saya berterima kasih jika awak baca sehingga titik noktah yang terakhir ruangan ini. Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana Tuhan ilhamkan teknologi yang mampu mencantikkan bait-bait yang buruk dalam hidup saya kepada tulisan yang kemas dan seragam. Kalau adapun typo, itu bukan silap Tuhan pun. Cuma Tuhan berikan kesilapan itu melalui saya, hamba-Nya yang lemah dan serba tidak tahu ini. Sedarlah kita bahawa saya tidak sempurna dan awak pun sama. Sama-sama hina di mata Dia. Walaupun awak ada anugerah yang diberikan oleh manusia, itu tidak menjamin langsung syurga hari sana kelak.

Terima kasih kepada diri sendiri (awak dan saya).