May 16, 2014

Lampu Trafik Jalan Wan Alwi

Sementara dalam pelarian,
saya cuba mencari penyelesaian.
Saya bergerak tidak henti mencari,
satu perkara apa pun tidak saya jumpa.

Saya mengalah dan beransur pulang,
menelusuri jalan-jalan biasa.
Kenderaan beroda patuh jalan raya,
patuh kepada etika bikinan manusia.

---

Saya mulanya tidak perasan,
kewujudan sesuatu itu.
Saya hanya lari tidak peduli.
Hinggalah hinggap di Jalan Wan Alwi.

Penuh.
Tidak ada selindung membayanginya.
Bukan awak gadis.
Maafkan saya.
Saya termenung ke depan,
melihat bulan.
Indah.

Detik di Jalan Wan Alwi tidak lama.
Saya perlu pulang,
tinggalkan kenangan
yang ditemani lampu-lampu tepi jalan,
juga pelbagai kenderaan.

Namun,
saya rakam saat itu.
Bersama memori tercipta.
Cantik kepurnamaan malam itu.

---

Saya teliti bulan.
Kalau kamu perasan,
kawah di bulan membuat satu ritual.
Dia sedang duduk.
Bertasyahud akhir.
Begitu tunduknya ciptaan itu kepada Tuhan.
Tidak seperti kita,
tunduk kepada diri,
dan juga manusia.

Begitulah kisah sementara saya.
Hijau menjengah, perjalanan diteruskan.
Penuh kekesalan sebentar.