May 16, 2014

Selera muda

Tiga kaunter. Dua orang perempuan. Seorang lelaki. Setia tegak sebagai cashier. Latarbelakang mereka jenuh kesibukan staf-staf di tabir dapur dengan segala macam juadah berasaskan ayam.

Dua orang cashier tadi sedang sibuk membilang not-not di kaunter masing-masing. Hanya si lelaki sahaja yang tidak sibuk dan sedang menunggu pelanggan yang merupakan penyumbang beberapa persen wang saku bulanannya. Mamakai topi sudu 'cap ayam', beruniform khas milik syarikat majikannya dengan fizikal gempal. Dia menyapa mesra seorang pelanggannya yang baru memasuki premis majikannya itu.

     "Selamat datang bang, nak order apa?" senyuman sepertinya ikhlas ataupun memang menjadi adat kita melayan orang berkepentingan kepada kita atau orang di atas kita.

     "Hidangan tengahari la, pakej pinggan snek," pelanggannya itu membalas senyuman tanda hormat dan lapang dada. Mungkin juga menyimpan sabar untuk menjamah hidangan sebentar lagi.

     "Tapau atau makan? Kentang berkeju nak tak? Air nak pilih air apa?" Soalan terus tanpa helah ditanya sambil tangan mengarah ke mesin air automatik di kaunter tersebut.

     "Makan sini la. Boleh jugak kentang berkeju tu. Air, ambik yang isotonik pesaing 100 Plus tu," jawab pelanggannya tenang.

Usai membayar belasan ringgit malaysia. Pelanggan itu mencari tempat duduk untuk menjamah hidangan tersebut.  Sambil itu juga pelanggan itu turut memerhati keadaan sekeliling. Ada pasangan perempuan sedang rancak berbual. Seorang gempal sedikit dan seorang lagi kurus, gaya seperti pengkid, mungkin pasangan berkasih. Pelanggan itu tadi duduk membelakangkan kaunter yang jaraknya dalam tiga meter sahaja. Tidak tegang keadaan dalam premis tersebut. Mungkin sebab jam yang menunjukkan waktu sekita tiga petang, manusia lain sedang khayal mencari rezeki dan ilmu.

Selang tiga meja membelakangi pasangan perempuan tadi, ada seorang ibu dengan anaknya yang masih beruniform sekolah rendah. Si anak menikmati hidangan yang mungkin lazat bagi umur seusianya manakala si ibu sedang menelaah telefon pintar. Ralit. Pelanggan itu membuat kebarangkalian bahawa si ibu sedang melayari laman sosial ataupun bermain permainan yang mengujakan. Itu sahaja rasanya fungsi telefon pintar fikir pelanggan itu. Tidak ada lagi telefon pintar yang boleh mengenyangkan manusia kecuali manusia itu berusaha menelefon syarikat makanan segera untuk memepersembahkan juadah di muka pintu rumah. 

Pelanggan itu terus meratah juadah tanpa menghiraukan sekelilling. Namun sekali sekala dia matanya turut meliar memerhati.
Ada seorang pekerja premis berkenaan sedang berlegar-legar berhampiran meja makan sambil mengutip pinggan dan apa sahaja sisa atas meja yang ditinggalkan oleh pelanggan lain. Perempuan cleaner. Umur mungkin sudah 30-an tapi masih ada awet muda terserlah. Nampak sahaja mudah kerjayanya itu namun tidak ramai yang sanggup sepertinya. Bekerja dengan sisa makanan yang dilapah golongan yang tidaklah tinggi martabat namun terasa hebat jika dapat menikmati makanan kelas pertengahan atau separa elit itu.

Pelanggan itu tenang dengan juadahnya sehinggalah dia menghabiskan semua baki makanan tersebut. Dia bersandar sambil memerhatikan pelanggan yang baru masuk. Adalah dalam dua atau tiga orang pelajar yang baru pulang dari sekolah. Ada juga jejaka dengan helmet besar berjenama. Ada juga dua orang lelaki yang lepak di meja luar premis, mungkin mahu menikmati keretek murah. Ada juga yang datang untuk menikmati wifi percuma premis berkenaan. Macam-macam perangai. Semua mencari keinzalan yang murah.

Apabila sudah tiba masanya untuk beredar, pelanggan itu mengangkat pinggan berserta sisa-sisa makanannya sendiri untuk dihantar ke tempat perempuan cleaner itu tadi, yang berdiri setia menunggu pelanggan beredar dan sampai masa untuk mengutip sisa-sisa. Namun, perempuan itu seperti menunjukkan riak wajah janggal dengan perlakuan pelanggan itu dan dia seraya senyum sambil muka masih lagi seperti tidak percaya.

Sambil meletakkan pinggan di tempat sepatutnya, pelanggan itu pula mengucapkan terima kasih kepada perempuan cleaner itu. Pelanggan itu seperti sudah biasa melakukan khidmat sedimikian. Seperti sudah diajar dan terbiasa. Namun, itu bukanlah bermakna pelanggan itu seorang yang mulia. Perempuan itu sebenarnya lebih mulia, sanggup bekerja meninggalkan anak-anak yang kita sendiri tidak tahu bilangannya, mengutip sisa dan membersihkan meja. 

Tugas itu sudah tersangat mulia jika kita betul-betul menikmati khidmat yang sebenarnya diterap dalam ajaran Islam.