April 23, 2014

Berita Susur Masa

Twitter.
Aku mula kenal dan aktif mengaktifkan diri dalam alam maya yang mempunyai susur masa dengan limit aksara 140 patah kata ni pada Februari 2013. Pendek sangat ruangan untuk menulis. Siapa saja yang ‘berasal’ dari dunia Facebook akan pelik dengan perangai twitter. Hatta, Najwa Latif yang lebih menggemari panggilan Muka Buku dan nekad mempopularkannya melalui Cinta Muka Buku pun terkesan aku rasa. Memang janggal pada mulanya untuk hidup di twitter jaya bagi orang yang suka menulis panjang dan menggabungkan ayat menjadi ayat campur atau majmuk seperti aku ni. Dah. Lupakanlah sebab aku dah suka dengan twitterrrr.
            Aku adalah salah seorang bekas pelajar sekolah menengah harian yang diklasifikasikan sebagai pedalaman. Padahal laluan sekolah aku memang femes masa orang Kolumpo nak balik beraya di Kelantan. Masa nak pilihanraya lagi lah havoc sebab KuLi turun padang bersama dengan orang-orang kuat dia. Hidup aku memang dari kecik sehingga selepas STPM kat bandar lama dalam daerah paling besar di negeri tu. Penerangan tersebut menunjukkan betapa jakun dan sempitnya pemikiran aku dahulu kala. Sebenarnya, pemikiran aku tak sekolot yang selalu ditonjolkan dalam Bersamamu tu, misalnya sanggup berhenti kerja semata-mata nak sara keluarga. Bukannya aku tak suka orang kat dalam Bersamamu tapi isi kandungan rancangan tu yang buat aku fikir banyak kali.
Buat apa nak tonjolkan kemiskinan orang?
Kenapa tak sumbat je kisah tu dalam Buletin Utama?
Karam Singh Walia tak boleh tolong ke?
Okey okey. Setakat tu dulu aku meroyan sekejap-sahaja.
            Selepas STPM (Dua kali ambik), aku dapat sambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam atau boleh dibaca sebagai kerajaan. Rezeki aku, Tuhan tu tau apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Aku dapat unversiti Over The Sea atau lebih canggih dikenali dengan nama Borneo. Mana satu borneo yang aku ‘takhluk’ kali ni? Negeri terpanjang di Malaysia.
            Berbalik kepada kekasih aku yang bernama Twitter, aku mula menggauli  benda ni pada semester kedua tahun satu pengajian. Aku terjebak pun sebab nak cuba ikut kawan-kawan yang sememangnya aktif menuit dan aku mula agak lambat kerana sehingga kisah ini ditaip, kawan aku sudah cecah puluhan ribu tuit. Gempak! Hinanya aku di mata twithandle yang lain.
            Separuh semester ketiga masuk tahun dua pengajian pula merupakan satu musim yang agak tough bagi aku sebagai mahasiswa. Semester ini adalah semester yang paing sibuk(mungkin) kerana aku dan geng kelas dipaksa menghasilkan sebuah akhbar makmal bersaiz tabloid. Bukan akhbar Berita Hairan, Haramkah ataupun PakatanMarhaen tetapi namanya diringkaskan kepada MS sahaja. Tujuannya adalah untuk mendedahkan kitorang kepada dunia kewartawanan. Maklumlah, budak komunikasi yang berjiwa dan wibawa sejati. Kitorang diberi tempoh sebulan lebih untuk menerbitkan akhbar tersebut dalam masa sebulan lebih dengan pengetahuan tahap sifar yang dimiliki. Aku memgang jawatan sebagai orang yang menguruskan bahan bukan berita. Tentulah puisi cerpen dan cerpen menjadi sasaran aku untuk diterbitkan dalam akhbar tu.
            Hidup aku di twitter jaya menjadi semakin ceria kerana banyak benda yang ingin dinukilkan di susur masa selepas teruja untuk menghasilkan surat khabar. Macam-macam dugaan menjadi rutin aku and the gang seperti dimaki oleh pensyarah merangkap CEO akhbar tersebut, secara berjemaah pulak tu. Masing-masing sibuk menumpahkan perasaan kesal, sedih, kecewa mahupun amarah di laluan susur masa. Aku? Aku rileks sahaja sebab tips aku senang. Bila kena maki atau kena marah aku senyum je. Kat twitter aku biasa sahaja. Aku cuba serap makian untuk digunakan untuk hari yang mendatang sebagai jenaka bersama-sama rakan seperjuangan. Poyo betul tips tersebut.
            Menjadi seorang jurnalis ataupun reporter memang perit walaupun aku dan yang lain diberi masa yang lama hanya untuk mengarang tiga berita. Namun mengarang berita adalah paling rileks, kerana dalam satu perenggan hanya dibenarkan wujud satu symbol noktah sahaja. Amat senang bagi aku sebagai penetap twitter jaya. Satu lagi statement salah dari aku sebab pada mulanya memang aku fikir senang, tapi haram jadah jugak derjah kepayahan menulis berita ni. Terus derjah itu ditukar denga menaip di twitter. Senang sangat.Heh.
            Dalam proses menyiapkan akhbar tersebut, masing-masing punyai komitmen tersendiri. Ada yang bersungguh-sungguh menulis tapi buat macam karangan sekolah menengah, ada yang tulis macam tak siap tapi menggunung dapat pujian. Aku pun tak paham. Bagi aku, berita adalah sesuatu yang karut untuk ditulis kerana adanya editor. Editor mengawal patah kata dan tingkah laku aliran dalam penulisan agar menggiurkan untuk terus menggoda pembaca. Padahal tak ada apa sangat pun isi dalam berita tu. Namun, kerana memikirkan markah untuk aku konvo pada masa akan datang, aku hadap dan hadam je dengan kerenah institusi berita ni.
            Manusia. Tak lepas dari noda dan derita sengsara. Perkara ini berlaku sepanjang pembikinan akhbar MS. Banyak kisah, cerita, drama, dugaan, kontroversi dan lain-lain benda lagi yang menjengah dalam hidup seorang mahasiswa seperti aku. Bukannya satu benda je aku nak buat dalam satu semester, banyak lagi. Contohnya, menulis seperti yang aku tengah buat ni. Ada kawan dari course lain ajak aku buat zine, buku jalanan dan banyak lagi. Itu di alam realiti, di twitter jaya pula bertimbun orang ajak masuk kontes menulis cepen dan puisi. Penat tak terkira kalau aku layan semuanya. Aku mulakan langkah perlahan-lahan. Satu-satu aku buat.
Tempoh pembikinan akhbar tu jugak merupakan seksaan bagi seorang yang tak berdisiplin seperti aku. Janji malas sangat nak tepati sampai pensyarah dah give up dan boleh pulak report kat mentor aku. Nasib baik mentor aku baik. Watlek Watpis je pakai tudung labuh tapi mesra dengan mentee dia. Dia paham life sebagai student dan hormat je perkataan yang keluar hasil janaan otak aku.
Semakin hari semakin ramai aku follow dan di follow. Setiap kali online je mesti terasa nak follow orang. Semuanya sebab nak lepaskan tekanan. Aku follow orang femes, orang yang ada isi-hati bila tuit, ada ilmu, ada humor, ada sinis, ada perangai puaka dan macam-macam lagi. Twitter dah macam jadi penglipur lara pun ada. Kekadang jadi pengganti Maharaja Lawak dan  macam-macam lagi program tivi yang bagi aku tak ada naluri insani sebab sentiasa ‘memaksa’ audien untuk gelak-kesian.
 Twitter jugak menjadi tempat melempias nafsu aksara aku. Maknanya jika ada rasa tak puas hati sepanjang proses pembikinan akhbar MS tu, aku hambur kata-kata sopan berlapik sinis menganjing dan memerli. Kadang kala follower RT apa luahan aku dan ada yang macam takde fungsi pun jadi follower aku. Eh! Aku artis ke nak sururh orang tolong RT bagai? Memang tak la sebab aku ni manusia biasa, student pulak tu, masih bertatih dan aku memang-akan-sentiasa-perlu sedar yang aku ni hamba. Tuhan aku ada Satu. Dosa pahala aku hanya dengan dia. Macam mana pula dosa dengan manusia yang tak terjaga kat alam maya? Jawapannya adalah setiap apa yang diluahkan perlu disolek dengan akal yang kurniaan Tuhan tu. Jangan ikut emosi-hati-ego sebab benda-benda ni semua adalah perasaan sendiri dan kalau ikut,kelak merana diri.
Selama lapan minggu tamat sudah perjuangan yang tak akan tamat. Apa? Tamatnya proses memerah otak untuk menyuntik aura auta salam setiap penulisan berita. Tapi, kehidupan sebagai pelajar-hamba-anak-saudara tak terjumpa lagi titik noktahnya. Sepanjang separuh semester satu tahun kedua ini aku belajar. Aku buat banyak benda dan aku tidak gila. Aku terus menulis di susur masa.  Aku menggila di susur masa di mana ramai yang tidak celik apa kelebihan yang ada pada setiap hamba. Walaupun berbekalkan 140 perkataan, tapi bakat seseorang, idea seseorang, kelebihan dan kebodohan seseorang dapat dilihat. Aku berjaya menjual lapan naskhah surat khabar kepada strangers di ruang legar universiti. Angka lapan agak boleh dibanggakan kerana ada rakan pertemanan aku yang mampu jual sehingga tiga nashkah! Menjual perlu ada teknik dan hikmat-hikmat hebat yang perlu dipertunjukkan. Macam dalam susur masa jugak. Ada manusia yang hebat dengan gaya tuit, posing gambar, edit kartun, super impose gambar PM Najib dan isteri tercinta dan macam-macam lagi.
Aku sedang belajar bagaimana menjadi seorang yang berjaya di realiti dan alam maya. Sebab aku rasa amat susah untuk kawal kedua-duanya. Realiti dan alam maya tidak mungkin bersama kerana wujudnya pelabagai ragam-cara manusia berkomunikasi, berinteraksi malah janggal dengan integriti dan asyik menipu diri sendiri - macam aku ni. Pembikinan akhbar MS telah banyak mengajar penat lelah dan paling bagus, sikap pentingkan diri kawan-kawan yang paling intim dengan kita pun akan datang menikam belakang badan kita secara sukarela. Lepas tu siap boleh ketawa-dusta depan kita apatah lagi belakang kita. Hidup ini seperti menulis berita, kita kena pandai jaga teknik menulis berita supaya pembaca tertarik dan menunggu apa berita kita yang selanjutnya. Aku ingin jadi pemberita massa yang beselindung disebalik topeng biasa hipokrit manusia.
Aku juga terbitkan ayat yang berbunyi:
“Celiklah apa kelebihan otak kurniaan Tuhan, janalah minda dengan aksara”
Bagi aku:
hidup ini untuk belajar
belajar itu untuk tahu
tahu itu perlu nawaitu
nawaitu beserta kerana-Tuhan satu.
01 Januari 2014
jam 0142

*Cerpen berbaur catatan peringatan dan kritikan ini ditulis untuk memenuhi jemputan seorang tweet femes yang khabarnya nak buat projek cerpen tapi tak jadi atas penyertaan yang hambar serta cerpen yang tak cukup piawaian katanya. Mungkin cerpen ini salah satu cerpen yang tak cukup piawaian.