Radio dalam talian memainkan muzik yang ringan dan enak untuk dihadam oleh telinga. Balada mungkin. Seorang jejaka berasa tenang seketika sengan suara penyanyi lelaki disokong oleh suara latar yang harmoni dan muzik yang seakan bercerita dengan penuh melankolik.
Dalam babak yang sama, jejaka itu sedang berfikir apa yang sedang terjadi. Tentang dirinya yang dirasakan tidak cemerlang. Dia sedang menghadam apa takdir Tuhan yang diutus kepadanya. Kaget masih mengintai dalam dirinya kerana kejutan budaya yang sedang dia alami. Tidak tahu apa aksi yang wajar diambil. Kekadang dia buntu dan kalau boleh, dia mahu sahaja terperap dan tersadai di bilik bujangnya itu. Tubuhnya malas-malas dan mahu sahaja mengering bersama-sama akal yang bersawang.
Tapi, kerana takdir dia tidak mahu berbuat begitu. Teman dan musuh mendekat dan menjauh dengan jejaka itu. Tidak dia peduli. Dia biarkan sahaja hipokrasi dirinya dan teman-temannya beraksi seperti ada fasal misi yang mahu dilunaskan. Tetapi berbelah-bahagi. Adat hidup manusia memang semacam itu. Berbelah-bahagi. Antara hidup dan mati. Antara kasih dan kekasih. Antara rupa dan budi. Antara jujur dan celaka. Antara baik dan jahat.
Aturan Tuhan lagi besar baginya.
Muzik berat sedang bertamu, Time For Heroes oleh The Libertines. Jejaka itu mula pasakkan rasa keterujaan untuk hidup. Lagu melankolik tadi telah roboh. Dia mula terjah fasa baharu. Dia mahu begitu.