April 2, 2016

Nanti Realiti (permintaan Alya)

Kesanggupan itu maknanya sabar
lalu membawa kepada makna lain

Kala manusia pincang dengan kelahi
hari ke hari
musim ke musim
dibawa makna ke dalam tidur
lalu bermimpikan makna

Titis air deras mengalir menghentam kemanusiaan
bertebarannya merentasi sungai pemikiran
singgah sebentar di hati-hati pemimpi makna
sedar atau separuh sedar ia hanyut bersama ke lembah

Aku menjumpai kamu
terdampar di tebing puisi
matahari atas kepala mendera
di bahu ini terdapat sang pemimpi lain
mungkin aku perlu pulang berehat sebelum memikul kamu
itulah rutinku sejak terdampar di pulau ini

Rumah sudah aku dirikan kerana sang pemimpi perlu teduhan
ruang yang ada juga bisa bikin cerita
di dalamnya aku tempatkan pemimpi
ada yang dibuang
ada yang lari
ada yang menanti
ada juga
yang mati
aku kumpulkan semuanya di satu bumbung
gelarannya adalah teratak rahsia

Telah banyak nama yang kugelarkan kepada teratak
namun ahlinya tidak gemar dengan gelaran yang kuberikan
pernah aku dipukul-pijak kerana menggelarkannya teratak harapan
aku parah
Kamu
jangan ditanya tentang sebabnya

Kesanggupan itu maknanya sabar
lalu membawa kepada makna lain
aku gelarkan, penantian.