June 28, 2015

Tiga Penggal

Aku adalah pemimpin. Aku memimpin perasaan yang sah laku masih ada sehingga sekarang. Setakat ini telah tiga penggal aku tadbir. Rakyatku adalah hati kamu itu.

Tiga penggal bukanlah tempoh yang sebentar dan juga tidak lama. Pelbagai propaganda dan juga polisi aku laburkan. Namun pelaburan itu tidak pernah aku layangkan pertanyaan kepada rakyat. Aku seperti membaca minda rakyat dan terus jalankan polisi ikut nafsu sendiri.

Rakyatku jenis yang sukar memberontak dan aku nampak mereka baik-baik sahaja. Sepertinya masing-masing saling profesional dan menjalankan tugas.

Tiga penggal itu pelbagai peristiwa telah aku dan rakyat lalui. Namun aku dan rakyat itu dipercayai tenang sahaja. Aku tidak pasti mandat tiga penggal sudah cukup dan tiba masa untuk undur diri. Rakyatku bijak dan tahu menilai. Aku percaya kepada mereka. Namun, pada bila-bila masa sahaja boleh muncul anasir luar atau pembangkang yang cuba menjatuhkan aku dengan tohmahan ataupun mengusulkan undi tidak percaya terhadap aku.

Maka aku bersedia sahaja. Tiga penggal yang aku tidak langsung rasa perjalanannya. Aku harap rakyat terus percaya terhadap aku sepertimana sangkaan aku terhadap mereka sepanjang tiga penggal. Aku juga harap rakyatku cuba membantu aku sehinggalah habis penggal yang dimandatkan.