January 3, 2015

Tumpang (Episod 01)

     Petang itu, suasana di langit seperti mahu menangis kerana sedang sarat dengan molekul H2O dan bebanan itu bakal dilepaskan. Izat yang dalam perjalanan pulang dari pustaka universiti terkocoh-kocoh mengejar detik supaya tidak digauli beban langit yang bila-bila masa saja akan membunuh langkahannya lalu perlu berteduh di mana-mana.

     Selepas beberapa minit, dia mula mengendurkan langkahan kerana Ijat kini sudah tiba di tempat teduh iaitu blok rumah sewanya yang berada di tingkat paling atas iaitu tingkat tiga. Sudah tiga semester termasuk semester ini, Ijat tinggal di rumah sewa yang sempit itu. Oleh kerana tidak mempunyai kestabilan kewangan yang kukuh, maka dia hadap sajalah demi meneruskan kelangsungan hidup sebagai mahasiswa universiti umum setelah ditendang dari kolejnya semasa habis semester satu dahulu. Begitulah rencah dan prosedur sebagai seorang mahasiswa. Ijat masih ingat lagi pesan para gurunya di sekolah menengah dahulu bahawa universiti adalah tempat yang semuanya senang. Dia dan kawan-kawan dimomokkan bahawa kehidupan universiti semuanya indah.

     "Kat universiti nanti awak akan bersenang-lenang dan tak susah macam masa kat sekolah ni. Besssst! Awak pilihlah nanti nak makwe yang macam mana," seru cikgu Mahali, guru pendidikan jasmani yang mempunyai tubuh sasa serta boleh merembeskan aura tenaga dalaman para pelajar perempuan menengah atas (pada masa itu), cikgu praktikal, cikgu yang masih bujang dan cikgu yang bergelar janda malah para cleaner sekalipun. Susuk Cikgu Mahali memang tak terkalahkan oleh mana-mana cikgu lelaki yang majoritinya berperut satu pek yakni boroi.

     Anak kunci dikeluarkan untuk membuka mangga di pintu gril. Seperti biasa dan setiap hari rutin ini berlaku. Pintu gril digelongsorkan ke kanan untuk dibuka seterusnya digelongsorkan ke sebelah kiri sekaligus mangga tadi dikunci kembali. Langkahan dibuka bagi mendaki anak tangga ke rumahnya. Suasana di luar sudah mula bising dengan hentaman air hujan ke tanah berlantai simen. Aksi bising seperti itu biasanya sinonim dengan selimut dan tidur bagi kebanyakan mahasiswa. Alasan hujan juga biasa digunakan oleh mahasiswa apabila terlambat untuk janji temu, pergi kuliah, mengahadiri peperiksaan dan juga berjumpa kekasih hati. Malah kebanyakan rakyat Malaysia juga suka menggunakan isu tersebut untuk melambat-lambatkan urusan.

     Tangga demi tangga didaki oleh Izat dan sekarang dia berada di aras dua di mana sebuah rumah didiami oleh sekumpulan mahasiswa perempuan seuniversitinya dan sebuah lagi merupakan rumah tidak berpenghuni. Izat akan melambatkan langkahannya bila tiba di aras itu kerana ingin menyaksikan panorama indah dalam rumah mahasiswa perempuan tersebut. Pintu rumah itu sengaja tidak ditutup dan memaparkan pelbagai keindahan bagi seorang jejaka (teruna mungkin) yang mampu meleburkan iman yang sedia nipis. Panorama percuma itu menyajikan gerak geri gadis-gadis yang mempunyai ukuran tubuh yang 'teguh' sedang tidur atau bergurau senda dengan pakaian yang tak perlu nak diceritakan secara ekstra. Tetapi, kali ini Izat berasa agak janggal kerana pintu rumah yang biasanya terbuka tertutup dan pintu rumah yang tidak berpenghuni itu kelihatan sedikit terkuak. Setelah banyak cerita pelik didengar dari kawan-kawan serta jiran-jirannya, Izat mula kaget. Peluh menderu dari romanya dan dia terpaku.