December 8, 2014

Robot RIndu

     Pernah satu hari saya memasang angan yang saya akan bina sebuah robot. Ketika itu saya masih sendiri. Tiada manusia yang mengenali dan sedar bahawa saya seorang manusia. Saya cuba mendapatkan material untuk membinanya tanpa meminta bantuan sesiapa. Namun, saya hanya menggunakan teknologi maklumat internet sahaja untuk mengetahui material yang sesuai untuk membuat robot tersebut. Boleh dikatakan saya ini seorang introvert versi tenang dan bersahaja. Begitu teruja saya dengan ciptaan ulung saya. Sama seperti seorang manusia yang sedang menunggu kelahiran bayi sulung atau malam pertama bagi pengantin.

Dalam masa mencari material tersebut, saya dapati, untuk membina robot itu perlu melalui sebuah prosedur dan birokrasi yang rumit. Leceh. Walaubagaimanapun, keterujaan saya telah mengaburi kelecehan tersebut seperti seorang stalker di laman sosial maya yang berhati-hati dalam pengintipannya. Prosedur yang perlu saya jalani adalah mengenali hati kamu manakala birokrasi yang dirasakan celaka adalah menangani teman-teman kamu yang pada kebiasaannya tidak tenang dengan kehadiran saya, Bagi saya, tidak mengapa jika semuanya perlu saya lalui demi untuk mendapatkan material untuk robot ciptaan saya nanti.

     Masa diganti tanpa saya sedari. Telah beberapa tahun saya cuba mendapatkan material robot saya. Teman-teman kamu silih berganti. Ada yang saya kenali dan tidak pernah langsung saya sedari. Mereka galak menghalang aksi selebihnya untuk saya mendekati kamu atau mungkin juga kamu telah didorong oleh mereka supaya melekehkan saya. Kadan-kadang saya geli hati dengan teman-teman dan juga diri kamu sendiri. Pada hemat saya, rupa saya ini sememangnya tiada langsung dalam kegemaran manusia pilihan pasangan, apatah lagi perangai. Bila saya terfikir hal ini, langsung perasaan putus asa itu menghampiri. Namun, keterujaan saya masih ada dan saya juga dalam dilema untuk meneruskan pembinaan robot saya. Prosedur ringkas hanya untuk mengenali hati kamu sahaja, namun lelahnya seperti saya perlu mengambil hati dan mengangkatnya serta berbangga diri.

     Jelas, keterujaan saya untuk melalui semua ini masih di takat tinggi. Tetapi birokrasi yang ada melemahkan semangat saya. Kadar intelektual saya tidak mampu untuk disaingi oleh diri saya sendiri. Saya sendiri masih tidak jelas kenapa saya masih bereksperimen dengan sampel-sampel hati manusia lain sedangkan material yang kukuh asalnya hanya ada pada kamu.

     Proses yang telah saya lalui sungguh bosan. hati-hati lain yang saya eksperimentasikan tetap tidak sama seperti material yang ada pada kamu. Kamu tentu sudah sedia maklum bagaimana telah saya eksperimentasikan hati-hati yang lain melalui teman-teman kamu yang sebenarnya telah melalui proses eksperimen itu. Mereka sebenarnya telah kosong dan hanya hati kamu masih ada isi sama ada terisi dengan kehidupan penuh dugaan atau telah diisi oleh usaha pembinaan robot oleh manusia lain. Manusia lain juga turut melakukan eksperimen ini. Masing-masing sedang teliti dan tekun dalam prosedur dan birokrasi tanpa kamu sedari.

     Tanpa saya sedar, eksperimen lain yang bosan telah mengilhamkan saya untuk menghasilkan robot yang tidak disangka oleh diri saya sendiri. Gila. Saya mencipta dalam tempoh mengenali kamu. Lalu dihujung kehidupan ini saya telah namakan robot itu sebagai Robot Rindu Infiniti. Keterujaan saya masih di takat tinggi kalau kamu mahu tahu.