December 5, 2014

Ingin aku tulis.

Semalam aku ke toko buku. Kamu tau apa itu toko? Silalah cari di enjin carian Google kamu itu.
     Rasanya kali terkahir aku datang ke toko berkenaan tika rambut aku masih nipis dan kumis manis tidak nampak jelas. Kamu tahu atau tidak perihal ketebalan rambut aku sekarang? Jangan kamu bayangkan kerana aku sendiri tidak pernah terlintas bagaiamana aku bisa menyimpan ketebalan rambut setara seperti sekarang. Namun aku rasa bahgia walaupun aku begini dan kebahgiaan kamu tidak lagi aku peduli. Oh ya, untuk pengetahuan kamu, toko itu terletak di dalam sebuah gudang beli-belah yang mega.

     Toko buku itu telah diubah lokasi dan aku rasa itu satu perubahan yang positif bagi pemiliknya kerna aku lebih senang melewatinya berbanding sebelum ini. Dari jauh sudah terang terpampang papan tandanya. Dalam pada itu aku sebenarnya sangat teruja ingin memasuki toko buku tersebut kerana sudah lama aku tidak menghidu bauannya.

Tiba-tiba, ekoran terlalu ghairah dan teruja untuk ke toko itu, aku terlanggar seseorang. Kamu. Kenapa tidak aku lupa akan wajah kamu yang sentiasa manis di samping pakej lengkap seorang wanita yang mampu meroboh tembok ego seorang lelaki yang dahagakan kasih sayang. Ketika kita berlanggaran bahu masing-masing, kamu khusyuk menilik gajet terbaharu, kontemporari dan trendi. Kamu bermain skrin gajet yang sempat aku tau harganya hampir sama nilai dengan sebuah kenderaan dua roda serta mempunyai enjin berkuasa empat lejang yang telah digunakapakai oleh orang pertama dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

     Aku tenang dan secara automatiknya tangan aku cuba membantu mendapatkan gajet kamu yang terperosok ke bawah eskelator. Kamu biarkan sahaja perbuatan aku sambil menunggu aku mendapatkan gajet itu dengan riak muka yang langsung tiada pernah meminta maaf dengan mana-mana manusia. Aku lagi tenang, mendapatkan gajet kamu, meminta maaf, berundur dan terus menjejak eskelator supaya aku bisa naik ke tingkat seterusnya. Kamu tiba-tiba menghilang. Aku masih tenang.

     Langkahan kaki aku berhenti di almari buku yang tertera 'MANIS'. Aku capai buku yang menggamit hati aku, gambar muka kulit hadapannya jelas dipenuhi serangga yang digelar semut. Aku tenang dan terus, aku alihkan seekor demi seekor semut itu kerana aku mahu tahu apa isi muka hadapan buku yang pamit perhatian aku. Kali ini aku sedikit kaget kerna kulit hadapan tersebut tiada apa-apa walaupun sebutir aksara namun aku tenang akhirnya setelah aku buka muka surat di dalamnya. Rupa-rupanya isi di dalam yang membuatkan semut-semut tidak berdosa tadi mengerumuni buku itu dan isi dalamannya selamat kerna berbalut plastik lutsinar yang menipu semut-semut itu tadi.

     Pekerja di toko itu menegur perbuatanku dan membawa aku bersama buku itu ke kaunter. Situasi sedikit tegang setelah aku memperihalkan mulanya kejadian tadi namun mereka semua tidak percaya dan mereka mendakwa aku cuba membaca dan  melihat isi buku itu malah ada bersikap ekstremis mengatakan aku mahu mencuri buku itu. Aku terpaksa akur kerana mereka bertegas ingin membawa aku ke akhirat jika aku tidak mejelaskan bayaran buku berkenaan.

     Keterujaan aku hilang disebalik kejadian tersebut namun masih ada bibit tenang bila aku mengenangkan buku itu. Aku bawa pulang buku yang tiada cetakan pada kulit muka hadapannya dengan harapan akan ada perubahan dalam hidup aku. Benar, buku itu memberikan inspirasi untuk aku tulis semua ini dan kalau mampu pada saat ini ingin aku terbitkan tulisan ini di semua media yang wujud kerana buku yang aku selamatkan itu telah terisi-cetak wajah kamu.