December 19, 2014

Kopi Tok Kenali

Haiwan itu diletakkan si satu sudut bangku besar yang dibina untuk dia dan jiran-jiran melepaskan penat lelah hasil bekerja di limbungan hutan serta pelbagai lagi pekerjaan orang kampung yang mendatangkan rezeki. Rezeki menundukkan manusia dengan jaya agar patuh mengejar peluang sama ada cara halal atau haram. Gaya hidup yang patuh sepenuhnya kepada agama atau hanya ambil bicara hal-hal agama yang berkaitan, lebih tepat lagi cakna agama dengan cara separuh-separuh. Dia menekan punat lampu suluh agar jelas kelihatan haiwan yang sinonim dengan darah dan menyalakan lighter jenama Aladin untuk membakar haiwan itu tadi.
“Buat apa tu Iji?” Seloroh Zubir Rahman yang baru pulang dari surau yang kebetulan lalu depan rumah Iji. Kelihatan ada bungkusan makanan di dalam polisterin yang dibawa olehnya. Barangkali ada majlis tahlil di masjid tadi.
“Bakar pacat Zubir Rahman. Aku baru balik dari kebun ni pergi kutip durian. Banyak juga dapat senja tadi. Lebat sangat buahnya sampai ada dahan yang patah,” jawab Iji sambil melayurkan lighgter Aladin tadi ke tubuh kenyal pacat yang hina tersebut. Maka tamatlah riwayat pacat itu kerana menghisap darah si pencari rezeki seperti Iji walaupun pacat tersebut juga mencari rezeki.
“Biasalah Iji, dah musim dia sekarang kan. Macam orang pergi solat jumaat atau solat raya sebab segan dengan orang ramai lah,” sindir Zubir Rahman kepada Iji yang sememangnya tahu butir kata itu sekadar untuk menyakitkan hatinya.
“Kalau nak ceramah kat aku baik kau pergi lepak masjid Zubir Rahman! Aku tahu la aku jarang pergi masjid, tapi aku bukannya buat kerja salah pun, aku usaha cari rezeki yang halal jugak!” terus panas Iji datang sambil dia dah sedia bangun untuk kemungkinan bertumbuk dengan Zubir Rahman.
“Aku cakap je Iji. Bukannya aku nak tengok kau marah pun. Kau pun janganlah baran sangat, cuba belajar sabar sikit. Tuhan murka jenis orang baran ni. Dah, aku nak balik dulu, Assalamualaikum!” Zubir Rahman menjawab kata-kata Iji tadi sambil membetulkan songkok tingginya yang ironi dengan sikap meninggi diri yang ada pada dia dan terus berlalu pergi.
“Pesen orang dah jadi malaikat ni memang sombong nak arwah. Jenis tak sedar diri. Kau kerani memang la kerja tak penat! Setan!” cemuh Iji di dalam hati sambil dia mulakan langkahan ke bilik air yang terletak di sisi rumah kayu peniggalan arwah ayahnya itu. Seraya itu iklim malam mula membaluti kujur tubuh Iji dan hanyut bersama aliran air mandiannya. Usai bersiap, Iji berdiri dan mengangkat takbir memuji Tuhan yang Esa.
×
“Nak minum apa bang?” Tanya pelayan warung yang memegang sebatang pen dan helaian kertas untuk mengambil pesanan Iji dan juga pelanggan lain.
“Macam biasalah, kopi Tok Kenali. Makan taknak,” pinta Iji ringkas disebabkan dia sudah biasa lepak minum di warung tersebut bersama rakan baiknya, Zailani.
“Bagi aku kopi biasa je lah. Lepas tu air suam satu. Makan esok lusa lah,” jawab Zailani selepas pesanan Iji dicatit oleh pelayan tersebut. Zailani terus mencapai alat kawalan jauh dan membelek-belek siaran televisyen yang berbayar itu dengan harapan dapat menjamu mata dengan menonton gelagat pelakon-pelakon ‘hot’ dari dalam dan luar negara.
Pelayan tersebut terus masuk ke dapur untuk menunaikan pesanan Iji dan Zailani. Mereka berdua boleh dikatakan pelanggan tetap di Warung Mek Jah, hampir setiap malam mereka akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk menonton berita utama di televisyen pada pukul 8 malam. Jika masing-masing sibuk atau pulang lewat dari kebun, maka mereka akan lepak selepas waktu Isya’ atau selepas habis berita utama untuk menonton rancangan televisyen yang lain seperti dokumentari atau drama melayu ataupun movie luar negara. Mereka lepak bukan untuk berbual kosong tetapi setiap kali mereka duduk semeja, pelbagai isu yang akan ditimbulkan walaupun sekecil-kecil isu kuih bahulu yang ada di atas meja di Warung Mek Jah.
Pernah mereka bertegang lidah disebabkan isu ponteng yang diutarakan di dalam berita utama kerana Iji seorang yang tegar dalam kancah ponteng ketika zaman sekolah manakala Zailani merupakan ketua pelajar yang berdisiplin pada waktu sekolah dahulu. Masing-masing mempunyai pendirian sendiri dan tegas dengan pendirian mereka itu. Namun, persaudaraan sejak kecil memang tidak dapat memutuskan hubungan mereka. Bagi Zailani, ulama pun ada khilaf dalam pendirian masing-masing inikan pula manusia biasa seperti dia dan Iji yang hanya lepasan SPM.
Bagi Iji, “Hidup cuma sementara, berbaiklah sesama hamba-Nya”.
Iji dan Zailani memerhatikan gelagat pelanggan-pelanggan lain sementara menunggu air pesanan mereka siap dan sampai di meja. Agak ramai pelanggan pada malam itu di Warung Mek Jah. Ada yang sedang bermanja dengan buah hati. Ada yang lepak sekeluarga. Ada yang lepak sambil berniaga seperti jualan langsung dan jualan yang memerlukan downline untuk meneruskan legasi hebat, mungkin hebat di mulut. Mungkin.
Adegan yang menarik untuk ditonton di mana-mana premis tak kira restoren ataupun warung pada zaman sekarang  adalah memerhati kumpulan keluarga yang makan bersama. Hal ini merupakan satu langkah positif bagi meningkatkan keutuhan institusi kekeluargaan negara secara amnya. Tapi, situasi berikut sangat canggung kerana keluarga ini hanya makan bersama membawa perut sahaja, tidak membawa institusi mereka itu sendiri. Hal ini demikian kerana Iji dan Zailani mendapati setiap ahli keluarga itu asyik menundukkan pandangan ke skrin gajet masing-masing. Dari skrin telefon yang tidak pintar hinggalah gajet pintar yang membuatkan manusia berkhayal dan meneroka dunia dengan hanya hujung jari. Malah ada yang sudah menjadi ‘malaikat’ dengan belajar ilmu dan hukum agama melalui hujung jari yang menyentuh skrin gajet pintar itu. Zubir Rahman ialah salah seorang golongan yang disebutkan. Sebab itu Iji langsung tidak hormat dengan orang seperti itu. Belajar dari sumber yang tidak tahu asal usul dan sanad guru-guru yang sahih serta cepat berlagak seperti sudah diijazahkan dengan ilmu yang diiktiraf sahih.
Zailani sudah masak dengan pendirian Iji kerana masing-masing pernah masuk ke pondok selepas tamat SPM. Setelah dua bulan lebih berguru di pondok tersebut, banyak yang mereka berdua pelajari dan salah satunya ialah belajar perlu ada guru serta wajib mengetahui sanad ilmu yang dipelajari. Sanad wajib diketahui kerana ingin menjaga keaslian petikan sesebuah sumber dalam rujukan ilmu dari naskhah asal ilmu itu sendiri.
Mereka berdua terpaksa menangguhkan pengajian di pondok tersebut untuk membantu menyara keperluan keluarga masing-masing disebabkan tekanan ekonomi yang semakin rancak. Iji berpendapat, setiap keputusan pemimpin negara ini dalam ekonomi telah dipengaruhi oleh golongan berminda kapitalis dalam kerjaan itu sendiri, di samping kepentingan politik peribadi dalam kalangan ahli kepimpinan negara. Zailani pula berpendapat bahawa keputusan kerajaan adalah di bawah pengaruh tidak sedar tusukan jarum iluminati serta ada khabar angin di Facebook tentang teori konspirasi yang kian menggasak. Mereka berdua bersetuju bahawa pendapat mereka itu agak masuk akal jika difikirkan secara logik.
Pelayan tadi muncul kembali dalam masa enam minit dan membawa sedulang air yang menampilkan segelas air kopi serta dua gelas yang terisi air putih iaitu segelas suam dan segelas sejuk di samping sepeket kopi yang tertulis ‘Kopi Tok Kenali’. Gelas-gelas tersebut sememangnya khusus dibawa ke meja mereka.
“Maaf bang, lambat sikit tadi sebab kopi Tok Kenali habis. Suruh budak ni pergi beli dulu. Maklumlah, kopi tengah top kan,” getus pelayan tadi sambil melirik senyum kepada Iji dengan rekahan bibir yang menggoda serta berlipstik dengan rona merah jambu.
“Beres. Aku okey saja. Dah biasa dan faham macam mana ‘pergi’ kopi ni. Sebab tu lah aku dah tak minum kopi lain,” Iji membalas senyuman pelayan warung itu sementara Zailani sudah mula menghirup kopi pesanannya.
“Iji, aku pernah la juga rasa kopi Tok Kenali ni. Lebih kurang dengan kopi yang biasa je cuma pahit lebih sikit je lah. Yang kau ketagih sangat ni kenapa?” soal Zailani yang sudah lama perhatikan ketagihan Iji.
“Entahlah. Kawan aku dulu ajak aku join perniagaan kopi Tok Kenali ni. Suruh aku meniaga duduk bawah dia. Macam downline lebih kurang. Aku cakap awal-awal aku taknak. Terus dia bagi aku try dalam lima peket. Sampai sekarang aku ketagih.” Jelas Iji selepas hirup hampir separuh gelas kopi yang berharga dua ringgit sepeket itu.
“Apa yang istimewa sangat kopi ni sampai orang buat meniaga MLM ni?” Soal Zailani lagi.
“Kau tengok ni. Aku rasa sebab ni aku jadi ketagih dengan kopi ni. Mesti karamah Tok Kenali sebab dia kan wali. Semua orang tahu kot,” mudah penerangan Iji kali ini sambil menunjukkan peket kopi yang telah dikoyak dan tertera tulisan ‘kopi pra-campuran sepuluh jenis makanan sunnah nabi berserta bacaan ayat suci Al-Quran oleh pelajar dan ustaz di pondok Tok Kenali, Pasir Mas, Kelantan.’
“Hahahahahaha” Zailani gelak separuh sial. Menganjing kepada Iji.
“Kenapa kau gelak bodoh?!” Tanya Iji kehairanan.
“Patutlah makin bodoh orang Malaysia sekarang. Agama dan nabi pun dah boleh buat duit juta juta. Aku harap dua tiga hari lagi kau pulak jadi wali…Hahahahaha”  Zailani sambung gelak. Dia tengok Iji masih kebingungan terus dia berhenti gelak dan pegang peket kopi tadi.
“Kau kata kau benci kapitalis. Kau benci politik. Kau benci kerajaan yang bodoh buat keputusan dalam ekonomi. Tapi, ironinya kau masih tak sedar selama ini kau bodoh di dalam terang Iji!” Terang Zailani sambil menyindir bersungguh-sungguh sambil melayang-layangkan peket kopi Tok Kenali yang ada di tangannya.
“Kenapa pulak aku kena bodoh, bodoh?” Iji masih tidak faham. Dia rasa tertekan terus bangun dan pergi ke kaunter untuk bayar ketagihan kopinya tadi. Zailani turut bangun menbontoti Iji ke kaunter sebab mereka datang dengan motosikal yang sama. Pergi ke mana-mana mereka bersama.
Iji yang rasa tertekan terus ke motosikal untuk tunggu tuan motosikal yang diboncengnya iaitu Zailani. Malam itu Zailani dengan rela hati tidak mahu Iji jadi pemandu motosikal kerana dia mahu ajar Iji tentang ‘kebodohan’ Kopi Tok Kenali itu tadi. Mereka bersurai lepak agak awal kerana rajuk Iji selepas kena penangan ‘bodoh’ oleh Zailani. Motosikal berjenama keluaran Jepun membelah jalan kampung pada malam itu menghala ke rumah Iji. Banyak kesedaran dalam perjalanan itu yang sungguh besar bagi Iji walaupun tampak remeh dalam msayarakat.
×
Zailani kelihatan tenang menunggang motosikal di samping wajah serabut Iji yang masih tertanya-tanya jenayah apa yang dia lakukan sehingga digelar bodoh. Angin malam berhembus memupuk suasana hening di kampung laman Iji dan Zailani seta memupuk waktu rehat bagi golongan marhaen yang sibuk berhempas pulas menelaah tanah demi sesuap rezeki untuk keluarga dan diri masing-masing.
“Rileks la Iji, aku saja nak bahan kau tadi. Kalau kau bahan aku takpe, ni aku bahan sekali pun dah pelik semacam muka kau. Kita kena terima kebenaran walaupun ianya pahit kau tau?” Zailani cuba memujuk Iji yang diam sebaik sahaja membonceng motosikal buruk jenama Honda itu.
“Aku tak marah kau sangat pun sayang…cuma aku tertekan sebab kau kata aku bodoh sebab Kopi Tok Kenali,” dengan tenang Iji menjawab. Situasi tersebut dibiar ada jeda bagi menunggu jawapan dari Zailani.
Penat juga menceritakan kisah Iji, Zailani dan Zubir Rahman mengikut tempo drama melayu yang berlatarbelakangkan atmosfera sosioekonomi kampung ni. Jadi, diringkaskan kisahnya Zailani menceritakan secara panjang lebar tentang kopi Tok Kenali itu. Diceritakan oleh orang kampung bahawa minyak motosikal jenama Honda tersebut telah habis sewaktu Zailani masih asyik bercerita ketika mereka telah sampai ke beberapa buah negeri dan Zailani setia bercerita kepada Iji sehingga mereka tidak sedar waktu pantas berjalan. Polis Di Raja Malaysia menjumpai mereka ditepi jalan di sebuah lebuhraya ternama negara. Polis menceritakan Zailani dan Iji masih tidak tidur sejak dijumpai.
×
            Zailani berpendapat bahawa Kopi Tok Kenali merupakan salah satu agenda ‘kapitalis kecil’ yang ada salam industri perniagaan Malaysia. Perisa ini adalah seangkatan dengan Kopi Jantan, Kopi Telur Puyuh dan lain-lain perisa kopi yang mengangkat martabat kopi pra-campuran untuk dijadikan bahan niaga yang penuh variasi. Justeru, bagi Kopi Tok Kenali, ia telah mengangkat makanan sunah yang kononnya dicampur bersama kopi tersebut agar mendapat ‘berkat’ bila mana si peminum meneguk perisa berkenaan. Bukanlah salah bagi mengambil peluang sebegitu, bagi Zailani makanan dan minuman tidak perlu dicampuradukkan jika ingin mendapatkan keberkatan sunnah nabi. Lebih elok makanan atau minuman tersebut dijual secara berasingan agar berkat itu lebih nyata dan dapat dirasa disamping tidak perlu menggunakan formula campuran yang melibatkan bahan kimia di dalamnya. Selain itu, produk makanan seperti ini dilihat lebih glamor dan mudah dijadikan ‘medium’ memulakan perniagan seperti MLM. Hal ini menambahkan sengsara kepada manusia yang teruja dengan kekayaan segera dan tertipu dengan konsep perniagaan minuman atau barangan kesihatan.
            Sebagai pelajar pondok, Zailani dan Iji amat tegas dengan pendirian mereka bahawa manusia tidak boleh jadi kapitalis dan menipu golongan maehaen. Selain itu, sebagai hamba kita tidak boleh menindas golongan yang kesusahan dan amat ralat bagi dunia ini apabila memiliki golongan yang tamak. Alasan untuk menolong rakan yang sedang susah supaya sama-sama susah adalah tidak masuk akal seterusnya mewujudkan golongan yang hipokrit dalam perhubungan contohnya hubungan sahabat baik.

            Iji akhirnya sedar dan sekarang telah masuk hari ke-46 dia berhenti meminum Kopi Tok Kenali. Dia menolong Zailani dalam menguruskan perniagaan barangan sunnah seperti kayu sugi, tasbih, buah kismis serta makanan dan minuman sunnah dengan niat dapat menyedarkan manusia tentang kepentingan mengamalkan sunnah dala kehidupan seharian. Selain itu, sesiapa yang ingin menolong Zailani dan Iji dalam perniagaan, mereka perlu membayar yuran keahlian dan mendapat diskaun untuk barangan jualan tersebut. Namun, mereka tidak boleh mengambil kesempatan atas diskaun yang diberikan untuk mendapat keuntungan dengan menjual barangan tersebut pada harga biasa, tetapi mereka perlu beri percuma kepada sesiapa sahaja muslim yang mereka temui dengan niat membantu sesama hamba.