December 28, 2013

Jalan

Masih sibuk aku menelaah papan kekunci melunaskan kerja jemari aku terhenti pada satu gambar memori seorang yang mungkin digelar bakal isteri atau sekadar penyejuk hati kala sunyi. Aku cuba perhatikan watak yang nyata dalam imejan itu, sopan, lembut dan ceria. Tidak pernah sekalipun dia menganjurkan mimik muka tidak selesa dalam sekeping foto. Entah di mana perasaan risau, celaru, buntu dia sisipkan. Sekadar merenung kisah hidup aku sendiri yang tiada siapapun yang mahu peduli. Mungkin kerana aras letak rupa ini tidak tersohor seperti mana-mana pujaan malaya. Ah, biarkan sahaja. Aku lebih tertarik dengan jalan yang diambilnya. Tenang melawan masa yang sememangnya adil dan patuh kepada setiap individu, cuma manusia itu sendiri mengabaikan waktu. Ya, seperti aku yang sedang membatu keras gambaran masa hadapan aku. Aku nilaikan momen ini sebagai tanda ingatan kepada diri yang sentiasa lupa diri di mana letaknya aku dalam dunia yang memang sukakan 'dunia' ini. Aku juga bukanlah seorang yang teguh pendirian dan mudah untuk dipengaruhi. Mudah untuk aku menuding jari kepada mana-mana badan organisasi atau manusiawi sendiri. Tudingan itu semacam merengek dan tidak merestui apa yang telah dan bakal jadi. Memang aku malu kepada saudari saudari yang sibuk bergaul mesra dengan tahu batasannya. Tapi, aku masih manusia yang cuba meleraikan emosi yang sudah lazim digauli dengan nafsu serta hasad dengki. Biarlah tiada yang peduli pasal hakikat hidup yang bakal ditempuhi. Bagi aku, jalannya pasti ada untuk aku tempuhi. Jika tiada jalan untuk aku menapak gagahkan diri. Hanya Ilahi.