February 10, 2015

Medan Teratai

"Kami menggunakan sistem kad sahaja bang. Minimum sepuluh ringgit, nanti dah guna boleh mintak baki balik," jelas brader di kaunter medan selera yang berusia pertengahan 20-an itu. Tiada riak untuk menyantuni saya secara lebih ramah.
"Oh begitu. Baiklah. Bagi saya nilai sepuluh ringgit," seperti biasa, saya lebih gemar nilai minimum. Juga ringkas.
Suasana medan selera teratai itu lengang, mungkin dipengaruhi hari bekerja warga kota. Jika cuti umum atau perayaan yang memakan masa dua hari atau lebih, maka riuhlah terminal di mana pengangkutan darat berkumpul.
Saya terus memesan segelas teh o suam dan air mineral dek kerana tekak yang masih bermesra dengan batuk. Sengaja saya tidak memesan makanan kerana perut masih kenyang lantaran telah makan bersama seorang teman di sebuah pasaraya bersebelahan KL sentral, iaitu Nu Sentral.
Kali ini saya berseorangan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bertujuan untuk pulang ke kampung halaman. Jadual perjalanan saya dijangkakan pada jam sembilan setengah malam.
Tawar. Teh 'o' suam yang kurang manis saya telan sahaja kerana memikirkan batuk yang entah waktunya untuk sembuh.
Teringat sewaktu menonton wayang yang sarat dengan aksi yang melampau, bukan adegan seks, tetapi aksi pertarungan yang tidak munasabah. Saya habiskan juga menonton wayang lakonan mila kunis yang mempunyai bibir wanita idaman saya itu, tajuknya Jupiter Ascending. Kisah perebutan kuasa antara beberapa pihak di angkasaraya iaitu tiga beradik yang mempunyai ketamakan kuasa tersendiri dan mereka memperakui bumi ini adalah hak milik mereka. Sudah banyak wayang yang jalan ceritanya sedemikian. Saya bosan dan teman di sebelah saya juga merasakan perkara yang sama. Namun, dia berterima kasih kerana saya sudi menemaninya untuk momen tersebut. Dia memberitahu bahawa tidak pernah lagi dia menonton wayang tanpa teman. Saya baik-baik sahaja dan menegaskan bahawa saya sudah biasa bergerak secara solo dalam altiviti menonton wayang.
Jarum panjang tepat berada pada angka 12 dan jarum pendek berada di angka sembilan. Masa untuk saya beredar dan bergerak menuju ke tempat untuk manaiki bas. Tidak sangka momen di medan teratai  yang terletak di aras atas dihabiskan untuk mengenang kenangan yang sekejap. Saya tersenyum. Senyuman itu kalau boleh, saya sedekahkan kepada teman yang dikenang, walaupun senyuman saya tidaklah menawan.