June 17, 2014

Beri dan Ambil

Kehadapan saudara/i,

Apa khabar? Saya harap saudara/i sihat-sihat belaka mengharungi hidup yang tidak tahu di mana akhir penamatnya. Apa yang saudara/i sedang lakukan ketika ini? Sudah bekerja? Berkahwin? Beranak? Bercerai? Berkasih atau masih belajar atau masih bergantung harap kepada orang lain?

Saya di sini sihat-sihat sahaja. Masih lagi boleh teringat untuk menulis titipan ini untuk saudara/i. Saya bukanlah seorang yang rajin seperti mana yang saudara/i kenal dan tidak kenal. Di samping itu, manusia seperti saya Tuhan ciptakan untuk hidup berkelana. Tapi, saya berkelana dengan meggunakan hujung jari saya iaitu papan kekunci atau dalam bahasa perkomputeraan dipanggil keyboard, nampak tidak saya italikkan perkataan itu? Itu menunjukkan ia adalah bahasa asing dalam bahasa melayu.

Oh, lupa untuk saya nyatakan tujuan saya menulis pada titipan ini. Maklumlah, sudah lama tidak menulis dalam format seperti surat tidak rasmi. Dalam hal ini, teknologi sudah boleh dipersalahkan kerana keasyikan masyarakat hari ini termasuk saya, kerap menggunakan bahasa mudah, bercampur aduk dan disulami pula dengan penggunaan loghat-loghat tertentu. Hal ini demikian kerana, kecelaruan fungsi teknologi melalui media sosial telah mewujudkan pertembungan budaya, iaitu budaya baik, jahat, bajet-bajet baik dan bajet-bajet jahat. Tapi, sekurang-kurangnya golongan seperti saya tidak segan merogol bahasa dan mengambil langkah untuk menulis walaupun saya sendiri dalam kecelaruan serta dilemma bahasa-bahasa yang wujud di dunia ini. Saudara/i bila lagi?
"Menulislah, dengan menulis kamu akan kenal akan bahasa," lebih kurang kata-kata A. Samad Said.

Lupa lagi saya tentang tujuan saya. Saya terus teranglah. Tujuan pada pertemuan ini ialah saya ingin menyuarakan kata hati saya tentang amalan bersaudara dalam konteks 'beri dan ambil'. Beri dan ambil ini merupakan satu komponen dalam atmosfera toleransi di mana terdapat persefahaman dalam kalangan masyarakat hari ini. Tapi, saya tidak ingin menyentuh ruang lingkup masyarakat. Namun, antara saya dengan saudara/i.

Saudara/i, saya selalu menyuruh diri saya bersabar dalam menghadapi saudara/i. Saya juga telah meletakkan status saudara/i sebagai ujian kepada saya yang ditakdirkan oleh Tuhan. Saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri, yang hina dan tidak punya apa-apa ini supaya mengamalkan konsep beri dan ambil tadi.

Jika saya memberikan ruang dan masa untuk saudara/i menggunakan apa-apa yang menjadi hak milik saya maka saudara/i perlulah menghargai saya. Bukannya saya bermaksud mengungkit, tetapi bila mana saudara/i selesai menggunakan hak milik saya, silalah pulangkan dalam keadaan baik, letak pada tempat asalnya dan tambahlah apa yang terkurang pada hak milik saya itu. Mudah sahaja.

Bagi pihak saya, saya tidak gemar menyusahkan saudara/i dan saya akan cuba untuk mencari dan berjumpa dengan saudara/i jika saya berkehendakkan saudara/i. Mudah bukan? Saya tidak minta banyak. Beri dan ambil atau dengan mudah perkataannya 'Pandai makan pandai simpan'.

Sekadar di sini sahajalah pertemuan pada titipan kali ini. Saya harap tidak ada saki baki benci antara kita malah saya setia mengirim rindu kepada saudara/i. Kalau ada terasa dengan aksara saya ini, maka fikir-fikirkanlah. Jangan lupa untuk kirim salam kepada orang sekeliling saudara/i yang mana bisa membahagiakan atau menghancurkan hidup saudara/i pada masa hadapan. Sekian dari saya, orang biasa-biasa yang tidak bisa.