May 26, 2014

Stalker

Hai.
Macam biasa, seperti biasa, macam hari-hari yang lepas juga. Perkara yang sentiasa saya lakukan bila bangkit dari tidur sehingga acara sebelum tidur. Sentiasa saya lakukan semata-mata kerana awak. Kalau ada dua puluh lima jam untuk sehari, saya mahu dua puluh enam jam untuk saya lakukan perkara tersebut. Tak kira masa, kalau boleh tak mahu sesaat saya terbazir untuk tidak melakukannya. Semuanya kerana awak. Kalaulah perkara itu saya dapat lakukan hanya perlu fikir dan niat di dalam minda saya, saya akan buat, kerana awak.

Saya tahu awak tidak buat semua perkara itu, tetapi awak hanya lakukan bila awak rasa perlu sahaja. Mungkin kehidupan awak tidak seberapa ceria selalu dan sebab itulah awak lakukan. Senang kata, awak hanya buat bila awak rasa tidak ada perkara yang boleh buat untuk menceriakan hari awak. Itu saya tidak peduli. Saya hanya pedulikan awak sahaja. Setiap masa saya pedulikan awak sehingga awak langsung tidak sedar yang saya pedulikan awak tanpa awak tidak pedulikan awak. Padahal orang kata, "Action speaks louder than words". Saya tidak pasti tentang kesahihan perkara tersebut kerana saya hanya buat, kerana awak dan tidak perlu ambil tahu kata-kata manusia lain. Saya amat risau bila mendengar kata-kata manusia lain kerana mereka hidup tidak seperti saya dan tidak melaluinya sebagai saya. Kata-kata awak sahajalah yang mampu saya hadam. Tapi susah untuk dengar suara awak. Jadi, saya peruntukkan untuk meninjau awak secara jauh, tapi dekat.

Setiap pagi, saya bangun dan terus menekan papan kekunci di komputer saya, komputer riba. Menaip satu persatu aksara untuk mencari awak. Saya hafal nama awak, nama penuh, bukan nama panggilan atau nama singkatan yang biasa digelarkan oleh teman-teman awak. Saya akan cari awak di laman sosial dan klik di nama awak seterusnya menjumpai awak. Saya tidak tahu sama ada awak sedang di talian atau tidak. Saya klik pada raungan untuk gambar dan semua saya perhatikan dengan tekun. Sebal juga hati saya bila saya lihat dalam gambar-gambar itu ada teman-teman lelaki yang berdiri atau duduk di sebelah awak. Tapi, saya tidak peduli. Saya teruskan tugas saya, saya lihat gambar yang ada ditanda nama awak, ceria sahaja riak wajah awak dan kawan-kawan awak sedangkan saya tahu kawan-kawan awak hanya penuh dengan hipokrasi. Tapi, saya tahu awak boleh hidup tanpa mereka pun. Hanya saya sahaja yang tidak boleh hidup tanpa awak. Hal ini bukan kerana saya mahu berlagak seperti jejaka yang manis, tetapi itu kebenaran yang pahit untuk saya telan.

Sejujurnya, saya tidak tahu bila akan tiba masanya untuk saya berhenti melakukan semua ini. Saya amat gembira melakukannya. Melihat lirikan mata awak di dalam gambar seolah-olah awak sedang beeinteraksi dengan saya dengan hati yang teruja. Itu yang melemahkan saya, lirikan mata yang bukan semata-mata telah menggoda, namun telah mengunci hati saya untuk menoleh kepada masa silam saya. Masa silam saya umpama telah dipadam hanya kerana melihat awak di dalam gambar. Saya berharap masa hadapan saya tidak gelap jika awak tiada lagi di muka bumi ini ketika itu.