February 10, 2014

Aliff

           Berita waktu perdana sedang ke udara langsung dari syarikat televisyen swasta di ibu kota sementelah topik lompat parti, politik wang dan menghambur manifesto pihak-pihak tertentu menjadi isu pokok pada masa itu kerana hampir waktu pilihan raya. Seorang jejaka sedang enak menikmati hidangan yang telah dipesan awal ketika dia tiba di warung berhampiran Masjid Mukim Razaleigh itu. Nasi Goreng Kampung dan Teh ‘O’ ais menjadi cernaan malam itu sambil dia menikmati pemandangan sekeliling di mana sekalian marhaen melepaskan keluhan beban kerja sebelah siang hari dengan melepak di warung simpang masuk ke jalam masjid. Pelbagai topik diketengahkan apabila golongan marhaen ini bila berkumpul di warung itu misalnya hal politik negara yang dilihat semakin cacamarba, dapatan ekonomi yang merosot di saat harga barangan mencanak naik dan budak muda dengan agenda mereka untuk memikat si gadis sunti pelayan kedai tersebut.
 

            “Jangan kacau abang tengah makan nasik tu!” pemerhatian jejaka itu tersentak dengan suara seorang ibu yang datang dari arah dapur warung berkenaan. Agak tegas suara itu.

Jejaka itu memerhatikan suasana berhampirannya, seorang budak berumur sekitar empat atau lima tahun sedang memerhatikan seorang jejaka lain bersama kekasihnya atau adiknya barangkali, pasangan itu tidak mengendahkan budak kecil itu. Lebih tepat lagi, jejaka itu menunjukkan riak muka yang langsung tidak selesa dengan kehadiran kanak-kanak itu. Beberapa saat selepas suara ibu tadi ke udara di atmosfera warung tersebut, budak itu meninggalkan meja pasangan itu dan beralih ke meja jejaka itu.

            Kulit yang agak putih bagi seorang kanak-kanak Melayu, ukuran tinggi yang sederhana bagi umur sebayanya, sepasang mata yang dilihat zahir tidak sempurna kerana sebelah kanan dihuni oleh selaput seakan warna biru dan tekstur yang agak kompleks atau pelik dan sebelah lagi normal.


Hidung normal, dagu sedikit meruncing menyerlahkan sedikit kecomelan usia namun rahang bawahnya kelihatan turun naik mengikut tempo laju ketika dia memerhatikan orang-orang dewasa yang menikmati hidangan yang melambangkan kuasa membeli rakyat Malaysia.


Jemarinya tidak sekata kerana ibu jari yang selalu disuakan ke dalam mulut dan dihisap atau dikemam, tipikal dan hampir majoriti kanak-kanak melakukan ritual itu. Pertuturan yang hanya reti menjawab ‘ya’, ‘tak’ dan ‘tak tau’ dan langsung tidak petah, tetapi lincah. Senyuman yang melirik gedik atau sengihan nakal yang mungkin bisa merobek keegoan seorang dewasa untuk membalas senyuman itu.

            “Nama apa?” Tanya jejaka tadi.

×
        
    “Assalamualaikumwarahmatullah,” jejaka itu memberi salam sebelum keluar dan melangkah keluar dari rumah menghala ke masjid mukim yang jauhnya dua ratus meter kurang lebih.

Rutin ini telah ‘dipaksa’ oleh abahnya yang memang dikenali sebagai seorang yang tegas jika hal berkaitan ritual agama. Padahal agama itu bukan perlu diwarisi kerana agama itu datang untuk manusia berfikir perihal hidup. Impak agama yang diwarisi ini telah mengehadkan konteks seseorang untuk mencari tujuan hidup yang sebenar berikutan terpaksa menyesuaikan gaya hidup bersesuain dengan si pewaris agama itu.

Perjalanan mengambil durasi masa tiga hingga lima minit itu telah memberi peluang kepada jejaka tersebut memerhatikan gelagat kejiranannya. Seorang ibu sedang berborak dengan anak-anaknya di beranda, seorang ayah sedang membaiki basikal anaknya, beberapa orang ibu umur lingkungan tiga puluhan riuh berborak dan sekumpulan kanak-kanak peringkat sekolah rendah sedang berkejaran. Senyum terukir kerana melihat keharmonian dan kasih sayang tersebut lantas jejaka itu terlupa mengajak jiran-jirannya ke masjid. Mana mungkin dia lupa, tapi sudah azalinya jika manusia-manusia ini sedar dan khabar akan kelebihan solat jemaah pasti setiap inci rumah dikerah ke masjid. Jejaka itu bersangka baik, mungkin penetap kejiranannya berjemaah di rumah. Husnuzon.

Sampai sahaja di masjid lebih kurang sepuluh minit sebelum waktu Asar menjengah, jejaka itu menambah amalannya dengan niat beriktikaf, solat sunat tahiyatul masjid dan membaca picisan ayat suci Quran sementara menunggu muazin melaungkan azan.

            Beberapa jemaah sampai dalam masa sebelum azan. Ada yang datang naik motosikal, kereta dan jalan kaki serta ada yang bawa anak isteri. Namun, kelibat seorang budak yang dilihatnya di warung tempoh hari mengusik sedikit hatinya yang sedang berteleku bersandar di satu tiang beranda masjid. Budak itu berseorangan tanpa ditemanai sesiapa. Jarak yang yang sangat dekat dengan masjid memungkinkan kehadirannya tanpa dipandu sesiapa.

Masjid itu dahulunya meriah dengan ramai jemaah yang menghuni kawasan setinggan di tebing sungai yang berhampiran dengan masjid tak kira golongan tua atau muda masing-masing tak betah untuk datang ke masjid yang dirasmikan oleh ahli parlimen daerah pada akhir tahun tujuh puluhan dahulu kala. Kini, masjid itu kian lesu dan tidak penuh pun penuh satu saf dan boleh dikira pakai jari berapa orang anak muda yang bertandang menghadap Tuhan dirumah-Nya.

×

“Pergi basuh kaki!”
“Jangan main kat sini!”
“Pergi balik!”

            Dialog-dialog yang biasa jejaka itu dengar dek kerana amarah jemaah yang umurnya sudah lanjut terhadap budak itu. Budak yang tidak erti akan aksara abc, 123 dan sebagainya diherdik di atas rumah Tuhan. Padahal semua yang hadir tarafnya sama disisi Tuhan. Hal ini dilihat sebagai situasi tenat kerana manusia suka menjatuhkan hukum dan menilai mahkluk sesuka hati di mana sahaja termasuk di Masjid Mukim Razaleigh.
Jejaka tersebut hanya mampu menahan gelak dan berdoa di dalam hati agar orang-orang yang mengherdik budak itu lembut sepertimana mereka menyantuni kanak-kanak biasa yang putih gebu, kiut miut serta pelbagai lagi definisi kanak-kanak yang ‘baik’ bagi mereka.

×

“Muka surat berapa?” Tanya si cilik yang istimewa itu.
Jeda beberapa saat.
“27” jejaka itu diam dan meneruskan bacaan ayat Quran yang tidak seperti qari  musabaqoh Quran mana-mana peringkat.


            Rutin tersebut telah menjadi rutin jejaka dan budak itu setiap kali selepas solat Asar. Si cilik itu akan mengambil mana-mana buku surah Yasin ataupun Muqaddam untuk dia seolah-olah membaca bersama-sama jejaka itu. Kadangkala budak itu berlagak seperti seorang guru yang mengajar Quran.
     “Muka surat berapa? Baca!” tegas budak itu.
    “34,” jejaka itu senang menyebut mana-mana nombor kerana memang budak itu takkan tahu kerana dia sendiri kadang-kadang tergelak-senyum melihat keletah budak itu. Dia meneruskan bacaan sehingga habis sehelai ayat suci Quran dibaca. 

×

“Nama apa?” soal jejaka kepada budak itu.
“Alif,” sepatah jawapannya.
“Dah makan?” Tanya lagi.
“Tak,” ringkas.
“Dah mandi?” soalan lagi.
“Tak,” ringkas juga.
“Dah makan?” sekali lagi soalan bagi menduga.
“Dah,” tenang sambil belek-belek Muqaddam yang dipegang sebelum jejaka itu belum mula baca Quran lagi.
“Makan apa?” uji lagi.
“Makan nasik. Ikan kering,” rinci sikit jawapan kali ini.
“Siapa buat?” inginkan interaksi lebih beraksi.
“Mak,” tersengih.
“Mak mana?” ingin menguji ingatan anak terhadap ibu.
“Tu,” sambil tangan mengarah ke arah warung yang dapat dilihat dari beranda masjid.
“Jom, balik” ajak jejaka itu kerana hari semakin senja dan risau ibunya mencari si Alif.
  
Mereka berpisah di tangga masjid. Sebenarnya selepas menunjukkan arah warung tadi Alif sudah berlari menuju tangga dan menuju terus lesap dibalik celahan kereta beberapa pekerja bank yang diparkir di kawasan sekitar luar kawasan masjid bagi mengelakkan bayaran parkir yang diselia oleh majlis daerah. Betapa tingginya kos sara hidup sekarang sehingga pekerja bank yang makan gaji tidak rela untuk membayar parkir kereta.
×
            Jejaka itu pulang sambil memikirkan apa nasib si cilik istimewa yang bernama Alif. Persoalan sarat bersarang di minda, apakah manusia yang normal mampu atau sanggup menerima dan dapatkah si Alif menongkah arus norma masyarakat yang kononnya mencari serta hidup dalam kesempurnaan. Hanya fikiran sahaja yang dapat mengawal masyarakat dan juga Alif untuk terus hidup. Setibanya di rumah, si jejaka melihat keluarga besarnya yang kian disogok dengan ujian dan dia hanya menunggu masa untuk diuji. Semakin besar keluarga dan semakin tua usia, makin ligat manusia dengan helah akal. 

“Hidup untuk menjaga Tuhan dan manusia, nescaya kita akan dijaga kelak.”

020214
AkhimullahM