December 22, 2013

Hubungan Tidak Berkabung

Mata Sazali menahan kantuk dan cuba melawan arus adat malam. Dia bukan jenis yang sukar tidur atau diganggu puaka mahupun saka. Tapi dia gelisah semenjak dua hari yang lepas. Dia membelek-belek beberapa himpunan cerpen yang usai dibelinya sewaktu keluar ke bandaraya bersama-sama teman karibnya.

Cerpen-cerpen itu bagai membadaikan lagi kegelisahan Sazali kerana cerita itu menggamit sebuah rasa yang pasti sudah di agak oleh pembaca novel cinta yang tegar, yang sudah kita maklum novel penulis Melayu yang plot dan flow hampir sama. Tapi, Sazali bukan peminat novel  cinta yang tegar kerana dia seorang yang berjiwa batu dan tidak kisah tentang cinta. Novel yang diajar dibangku sekolah pun tidak pernah dia katamkan inikan novel cinta mengarut dan ketebalannya ada yang boleh mengalahkan senaskhah Quran.

Sazali meneruskan bacaan himpunan cerpen itu, tiba-tiba Sazali makin terasa perasaan gelisah itu menghantui dirinya di waktu tengah malam begini. Sazali capai telefon tangannya dan mengetik mesej dan dia hantar kepada seseorang dengan harapan orang itu memberinya harapan. Beberepa minit mesej balas sampai, Sazali dengan penuh uja membaca mesej itu sepatah demi sepatah dihadam perkataan yang tertera. Tahap kegembiraan Sazali mula terpancar selepas membaca mesej itu. Dia tidak menyangka bahawa mesejnya dibalas dengan penuh rasa bahagia.

Sazali tidak sabar untuk berjumpa dengan orang yang telah buat hidupnya rasa teruja. Hanya beberapa minggu saja lagi Sazali bersabar sebelum berjumpa dengan orang yang buat dia gembira. Orang itu akan menunggu di tempat orang ramai yang sibuk bergembira selepas penat zahir dan batin berjuang demi sekeping kertas yang tak menentukan arah hidup Sazali sendiri.

Orang itulah yang akan setia menunggu Sazali setiap kali Sazali menjejakkan kaki ke tanah asalnya dan Sazali akan bermalam di rumah orang itu. Bagi Sazali, orang itu masih ada dalam hidupnya walaupun orang itu pernah silap dalam percaturan hidup remajanya. Sazali tahu, menyesal kemudian tidak berguna dan Sazali juga pernah bebrbuat silap. Sazali tidak akan lupa orang itu kerana orang itulah rakan sepermainannya ketika dia masih di bangku sekolah rendah dan banyak benda yang buat  Sazali gembira ketika usia muda itu.

Abangnya itu akan sentiasa menjemput Sazali setiap kali cuti semester. Sazali telah belajar sesuatu yang penting, saudara tetap akan kekal saudara walaupun masing-masing sudah ada hala, cuma sedikit komunikasi dan sedikit prihatin perlu ada bagi memantapkannya. Siapa lagi yang mahu diharapakan kalau bukan saudara sendiri.
Sazali sangat berterima kasih kepada Tuhan dan Sazali ingin cepat bergraduasi kerana ibu dan ayahnya sedang asyik menahan rindu ingin bertemu.