May 1, 2013

LUMPUH

Tepat 5.12 am Tuhan bangunkan aku. Malas tubuh memang menggila ditarik katil. Aku menekur siling simen beberapa detik, putih kelam. Masih dibuai mamai tapi tetap cuba gagahkan kemalasan itu. Duduk sejenak sebelum bangkit tegak mencapai tuala hitam putih lusuh seperti kain buruk. Pintu bilik 'C' dikuak perlahan sambil perhatikan rakan yang masih lena. "Aku kejutkan lepas ni je lah, takpa dia mudah bangkit kalau aku kejutkan". Pernah beberapa kali dia kejutkan aku untuk sembahyang subuh, tapi syaitan merantai pinggir mata dan tubuh bagai digam cap gajah - terus subuh gajah.

Siap membersihkan diri serta wuduk yang tidak sesempurna para nabi dam alimin, terus keluar berjalan menuju surau dari rumah bernombor 14. Sunyi sahaja rumah-rumah lain, tidak seperti hari-hari lain - riuh. Punat-punat suis lampu ditekan untuk pencahayaan agar lebih ceria sepanjang koridor di waktu hening itu. Terus berjalan...

Beberapa jemaah sedang duduk seperti khusyuk,bertafakur mungkin (mengantuk). Beberapa orang yang biasa dilihat tersenyum sinis dan gembira. Senior junior seperti satu pasukan yang bersedia untuk melawan team 'hitam fc'. Sebentar tadi telah dilaungkan Bang Subuh, tapi aku sedikit terlambat untuk menyahut seruan tersebut. Syukur aku tak lumpuh untuk pagi ini, gembira tak terkata. Imam mengangkat takbiratulihram...

Assalamualaikumwarahmatullah kanan dan kiri maka usai sudah subuh pagi ini - berjemaah.

Dalam doa aku selitkan agar sentiasa sihat dan gagah untuk bangun ketika lumpuh, rakan-rakan lain juga begitu. Begitu kuat usaha dalam doa itu. Aku menyesal, tingkat usia ini baru aku tahu berdoa yang nyata. Padahal dari kecik lagi acuan bos besar - Mustapha - dan sekretarinya - Rahimah - yang sempat sentiasa kejutkan aku untuk meramaikan jemaah di masjid. Kalau mereka tahu di kejauhan begini hidup aku yang lara terumbang-ambing sempat aku meramaikan surau yang memang tidak ramai, tentu bangga tertulis dalam dada disamping doa yang tidak putus diutus terus.
Satu hari nanti aku pasti jadi pengganti - nanti.
Terima kasih kerana Tuhan berikan aku nyawa percuma, abah&ma percuma, adik-beradik percuma, rakan-rakan percuma, masa percuma tanpa aku usaha dengan wang ringgit bercop bank negara yang terpampang agong pertama negara.