June 12, 2015

Semalam adalah kebahagiaan

Semalam tentunya sudah lepas. Hari ini sedang kita lalui. Sejarah mungkin berulang tetapi mungkin dendangan dan pelakunya adalah berbeza.

Kadang-kadang semua itu seperti karma. Dan itulah sejarah yang berulang. Terpulang kepada kita untuk percaya kepada orang kita mahukan. Itu adalah permulaan untuk karma yang kita mahu. Setiap perlakuan kita perlu percaya akan ada balasan itu. Sekali lagi watak dan dendangan yang bagaimana kita mahukan.

Lebih jelas lagi, aksi dimakan kata-kata sendiri. Seperti mana matlamat menghalalkan cara. Seperti mana cakap tidak serupa bikin.

Kita perlu hidup berdepan realiti. Jangan dimarahi jika orang tidak bahagia dengan kita. Kebahagiaan zaman kontemporari ini perlukan kesapingan harta. Ekonomi yang sakit memang memaksa kewujudan sikap materealistik. Lalu itu salah satu jalan bahagia. Kalau tidak mahu begitu, carilah orang sekeliling yang punyai lazat syukur paling atas.

Kalau suka katakan ya. Tapi, suka tidak semestinya mampu.
"Aku suka kepada kamu. Namun aku tidak mampu. Menampung diri kamu mungkin aku mampu. Namun menampung hari esok bersama kamu mungkin mustahil."

Benar, kebahagiaan datangnya dari hari semalam. Namun untuk kekalkan hari semalam terlalu mustahil. Lalu berpijaklah terus di bumi yang nyata. Janganlah menipu diri sendiri lagi.

May 18, 2015

Kepayahan

Peluh mula mengalir dari bahagian ubun-ubunnya sehinggalah ke dagu. Lalu peluh itu tergantung perit sebelum jatuh terpercik di atas meja belajarnya. Bukan sekali dan setitis itu saja peluh yang mengalir, tetapi turut disertai peluh-peluh yang lain.

Kipas telah lama ditetapkan pada volum lima. Cuaca di luar dingin tetapi semua itu tidak menghalang peluh itu mengalir deras.

Khai tahu yang dia akan menghadapi situasi ini pada setiap hujung semester. Biarpun dianggap sesuatu yang menghantui dirinya, namun dia sedar bahawa hidup adalah perjuangan dan pengorbanan.

Malam semakin lewat. Khai bangun bersama peluh yang sudah berkurang. Langkahannya teratur menuju ke sinki. Paip air dibuka perlahan dan Khai membasuh mukanya terlebih dahulu. Lalu, mangkuk kosong yang berisi Maggi kari berapi tadi mula dibasuh dengan sabun basuh pinggan jenama Axion (saiz sedang).

Sebentar lalu

Waktu seperti berhenti ketika itu. Pasca hujan renyai serta sesi basah kuyup tiba. Titis air statik tidak mengalir. Bunyiannya juga hilang.

Gadis itu diamati dengan tekun. Matanya dijamu rinci setiap ruang wajah gadis itu yang juga statik. Hanya masa begitu saja yang mampu digunakan olehnya.

Senyuman melebar yang menampakkan baris gigi cantik terletak. Bibir yang berwarna merah jambu dan kelihatan tebal disertakan dengan juihan seksi. Pipi pula menonjolkan isinya yabg bulat dengan warna kemerahan. Hidung yang sedang-sedang saja dan tidak nampak mancung. Sedang-sedang saja. Biarpun ada beberapa ketulan jerawat halus di dahi, pipi dan juga dagu, namum lelaki itu memandang dengan senang hati. Keningnya pula cantik seperti dilukis tetapi ianya semulajadi. Kening nampak lebat tetapi coraknya jarang merenggang. Pandangan beralih ke bola mata. Terasa ingin terjun ke hati pada kali pertama lelaki itu menandangnya.

Hanya beberapa saat saja lelaki itu memandang terus ke dalam mata gadis itu seperti paranoid lagaknya. Lelaki itu berpaling dan terus berlari. Berlari sambil mengait kembali memori.

Mata gadis itu penuh dengan kisah silam yang tragis. Dia pernah diberi harapan dan dinodai oleh masyarakat bahawa kecantikan itu lebih utama berbanding kecerdikan. Lalu masyarakat yang kononnya mengambil berat soal kecantikan tadi telah mengambil kesempatan mempergunakan harta yang ada pada si gadis. Sama seperti kisah silam lelaki itu.

Selepas tujuh langkah larian lelaki tadi maka masa kembali berjalan. Manakala lelaki itu hilang dari pandangan dan dia muncul di masa silamnya sendiri.

April 8, 2015

Mengira Hujan.

Bila saja hujan maka ramailah manusia yang rasa segala kelegaan.  Panas. Serabut. Gelisah. Segala ketidakselesaan yang terengsa akan berasa diriliskan bila hujan menjelma.

Seperti luruh saja perasaan-perasaan tersebut pergi bersama aliran air hujan. Seperti juga air mata, hujan tetap ada masanya dan kadang-kadang tidak dijangka renyai atau lebat secara tiba-tiba. Hujan juga seperti janji-janji manusia kerana sering memberi harapan yang tidak pasti.

Tetapi, hujan akan sentiasa hadir walaupun kita berdiri di tanah tandus dan gersang. Cuma, kita tidak pernah pasti.

Bau yang Bakal Dirindu

Pulang saja dari kelas, aku terus menapak balik ke bilik. Lemah betul aku kalau kelas habis hampir waktu Maghrib sebab terpaksa bergegas balik.

Sampai kawasan kolej kediaman terus aku terbau sesuatu yang jarang-jarang dapat dihidu. Bau alam.  hijau. Kadang-kadang aku seperti tercandu juga dengan bau itu.

Perasaan nyaman yang datang secara tiba. Mungkin kerana aku jarang mendapat nikmat sebegini. Lalu aku amatinya dari dalam bilik sambil memejamkan mata dan bersandar ke dinding.

Adakah bau ini akan kekal pada 50 tahun yang akan datang dek kerana pembangunan yang sedang pesat? Jika disaksikan keluasan tanah yang semakin berkurang, aku yakin generasi akan datang tidak akan dapat merasai suasana bau ini.

Aku pasti akan merindui bau yang sedang diperkatakan sekarang.
Rumput yang sedang dikerjakan oleh mesin rumput tentunya mengeluarkan bau yang menyegarkan.