Berita waktu perdana sedang ke udara
langsung dari syarikat televisyen swasta di ibu kota sementelah topik lompat
parti, politik wang dan menghambur manifesto pihak-pihak tertentu menjadi isu
pokok pada masa itu kerana hampir waktu pilihan raya. Seorang jejaka sedang
enak menikmati hidangan yang telah dipesan awal ketika dia tiba di warung
berhampiran Masjid Mukim Razaleigh itu. Nasi Goreng Kampung dan Teh ‘O’ ais
menjadi cernaan malam itu sambil dia menikmati pemandangan sekeliling di mana
sekalian marhaen melepaskan keluhan beban kerja sebelah siang hari dengan melepak
di warung simpang masuk ke jalam masjid. Pelbagai topik diketengahkan apabila
golongan marhaen ini bila berkumpul di warung itu misalnya hal politik negara
yang dilihat semakin cacamarba, dapatan ekonomi yang merosot di saat harga
barangan mencanak naik dan budak muda dengan agenda mereka untuk memikat si
gadis sunti pelayan kedai tersebut.


“Jangan kacau abang tengah makan
nasik tu!” pemerhatian jejaka itu tersentak dengan suara seorang ibu yang
datang dari arah dapur warung berkenaan. Agak tegas suara itu.
Jejaka
itu memerhatikan suasana berhampirannya, seorang budak berumur sekitar empat
atau lima tahun sedang memerhatikan seorang jejaka lain bersama kekasihnya atau
adiknya barangkali, pasangan itu tidak mengendahkan budak kecil itu. Lebih
tepat lagi, jejaka itu menunjukkan riak muka yang langsung tidak selesa dengan
kehadiran kanak-kanak itu. Beberapa saat selepas suara ibu tadi ke udara di
atmosfera warung tersebut, budak itu meninggalkan meja pasangan itu dan beralih
ke meja jejaka itu.
Kulit yang agak putih bagi seorang
kanak-kanak Melayu, ukuran tinggi yang sederhana bagi umur sebayanya, sepasang
mata yang dilihat zahir tidak sempurna kerana sebelah kanan dihuni oleh selaput
seakan warna biru dan tekstur yang agak kompleks atau pelik dan sebelah lagi
normal.
Hidung
normal, dagu sedikit meruncing menyerlahkan sedikit kecomelan usia namun
rahang bawahnya kelihatan turun naik mengikut tempo laju ketika dia
memerhatikan orang-orang dewasa yang menikmati hidangan yang melambangkan kuasa
membeli rakyat Malaysia.
Jemarinya
tidak sekata kerana ibu jari yang selalu disuakan ke dalam mulut dan dihisap
atau dikemam, tipikal dan hampir majoriti kanak-kanak melakukan ritual itu.
Pertuturan yang hanya reti menjawab ‘ya’, ‘tak’ dan ‘tak tau’ dan langsung
tidak petah, tetapi lincah. Senyuman yang melirik gedik atau sengihan nakal
yang mungkin bisa merobek keegoan seorang dewasa untuk membalas senyuman itu.
“Nama apa?” Tanya jejaka tadi.
×
“Assalamualaikumwarahmatullah,”
jejaka itu memberi salam sebelum keluar dan melangkah keluar dari rumah
menghala ke masjid mukim yang jauhnya dua ratus meter kurang lebih.
Rutin
ini telah ‘dipaksa’ oleh abahnya yang memang dikenali sebagai seorang yang tegas
jika hal berkaitan ritual agama. Padahal agama itu bukan perlu diwarisi kerana
agama itu datang untuk manusia berfikir perihal hidup. Impak agama yang
diwarisi ini telah mengehadkan konteks seseorang untuk mencari tujuan hidup
yang sebenar berikutan terpaksa menyesuaikan gaya hidup bersesuain dengan si
pewaris agama itu.
Perjalanan
mengambil durasi masa tiga hingga lima minit itu telah memberi peluang kepada
jejaka tersebut memerhatikan gelagat kejiranannya. Seorang ibu sedang berborak
dengan anak-anaknya di beranda, seorang ayah sedang membaiki basikal anaknya,
beberapa orang ibu umur lingkungan tiga puluhan riuh berborak dan sekumpulan
kanak-kanak peringkat sekolah rendah sedang berkejaran. Senyum terukir kerana
melihat keharmonian dan kasih sayang tersebut lantas jejaka itu terlupa
mengajak jiran-jirannya ke masjid. Mana mungkin dia lupa, tapi sudah azalinya
jika manusia-manusia ini sedar dan khabar akan kelebihan solat jemaah pasti
setiap inci rumah dikerah ke masjid. Jejaka itu bersangka baik, mungkin penetap
kejiranannya berjemaah di rumah. Husnuzon.
Sampai
sahaja di masjid lebih kurang sepuluh minit sebelum waktu Asar menjengah,
jejaka itu menambah amalannya dengan niat beriktikaf, solat sunat tahiyatul
masjid dan membaca picisan ayat suci Quran sementara menunggu muazin melaungkan
azan.
Beberapa jemaah sampai dalam masa
sebelum azan. Ada yang datang naik motosikal, kereta dan jalan kaki serta ada
yang bawa anak isteri. Namun, kelibat seorang budak yang dilihatnya di warung
tempoh hari mengusik sedikit hatinya yang sedang berteleku bersandar di satu
tiang beranda masjid. Budak itu berseorangan tanpa ditemanai sesiapa. Jarak
yang yang sangat dekat dengan masjid memungkinkan kehadirannya tanpa dipandu
sesiapa.
Masjid
itu dahulunya meriah dengan ramai jemaah yang menghuni kawasan setinggan di
tebing sungai yang berhampiran dengan masjid tak kira golongan tua atau muda
masing-masing tak betah untuk datang ke masjid yang dirasmikan oleh ahli
parlimen daerah pada akhir tahun tujuh puluhan dahulu kala. Kini, masjid itu
kian lesu dan tidak penuh pun penuh satu saf dan boleh dikira pakai jari berapa
orang anak muda yang bertandang menghadap Tuhan dirumah-Nya.
×
“Pergi basuh kaki!”
“Jangan main kat sini!”
“Pergi balik!”
Dialog-dialog yang biasa jejaka itu
dengar dek kerana amarah jemaah yang umurnya sudah lanjut terhadap budak itu.
Budak yang tidak erti akan aksara abc, 123 dan sebagainya diherdik di atas
rumah Tuhan. Padahal semua yang hadir tarafnya sama disisi Tuhan. Hal ini
dilihat sebagai situasi tenat kerana manusia suka menjatuhkan hukum dan menilai
mahkluk sesuka hati di mana sahaja termasuk di Masjid Mukim Razaleigh.
Jejaka
tersebut hanya mampu menahan gelak dan berdoa di dalam hati agar orang-orang
yang mengherdik budak itu lembut sepertimana mereka menyantuni kanak-kanak
biasa yang putih gebu, kiut miut serta pelbagai lagi definisi kanak-kanak yang
‘baik’ bagi mereka.
×
“Muka surat berapa?”
Tanya si cilik yang istimewa itu.
Jeda beberapa saat.
“27” jejaka itu diam
dan meneruskan bacaan ayat Quran yang tidak seperti qari musabaqoh Quran mana-mana peringkat.
Rutin tersebut telah menjadi rutin
jejaka dan budak itu setiap kali selepas solat Asar. Si cilik itu akan
mengambil mana-mana buku surah Yasin ataupun Muqaddam untuk dia seolah-olah
membaca bersama-sama jejaka itu. Kadangkala budak itu berlagak seperti seorang
guru yang mengajar Quran.
“Muka
surat berapa? Baca!” tegas budak itu.
“34,”
jejaka itu senang menyebut mana-mana nombor kerana memang budak itu takkan tahu
kerana dia sendiri kadang-kadang tergelak-senyum melihat keletah budak itu. Dia
meneruskan bacaan sehingga habis sehelai ayat suci Quran dibaca.
×
“Nama
apa?” soal jejaka kepada budak itu.
“Alif,”
sepatah jawapannya.
“Dah
makan?” Tanya lagi.
“Tak,”
ringkas.
“Dah
mandi?” soalan lagi.
“Tak,”
ringkas juga.
“Dah
makan?” sekali lagi soalan bagi menduga.
“Dah,”
tenang sambil belek-belek Muqaddam yang dipegang sebelum jejaka itu belum mula
baca Quran lagi.
“Makan
apa?” uji lagi.
“Makan
nasik. Ikan kering,” rinci sikit jawapan kali ini.
“Siapa
buat?” inginkan interaksi lebih beraksi.
“Mak,”
tersengih.
“Mak
mana?” ingin menguji ingatan anak terhadap ibu.
“Tu,”
sambil tangan mengarah ke arah warung yang dapat dilihat dari beranda masjid.
“Jom,
balik” ajak jejaka itu kerana hari semakin senja dan risau ibunya mencari si
Alif.
Mereka
berpisah di tangga masjid. Sebenarnya selepas menunjukkan arah warung tadi Alif
sudah berlari menuju tangga dan menuju terus lesap dibalik celahan kereta
beberapa pekerja bank yang diparkir di kawasan sekitar luar kawasan masjid bagi
mengelakkan bayaran parkir yang diselia oleh majlis daerah. Betapa tingginya
kos sara hidup sekarang sehingga pekerja bank yang makan gaji tidak rela untuk
membayar parkir kereta.
×
Jejaka itu pulang sambil memikirkan
apa nasib si cilik istimewa yang bernama Alif. Persoalan sarat bersarang di
minda, apakah manusia yang normal mampu atau sanggup menerima dan dapatkah si
Alif menongkah arus norma masyarakat yang kononnya mencari serta hidup dalam
kesempurnaan. Hanya fikiran sahaja yang dapat mengawal masyarakat dan juga Alif
untuk terus hidup. Setibanya di rumah, si jejaka melihat keluarga besarnya yang
kian disogok dengan ujian dan dia hanya menunggu masa untuk diuji. Semakin
besar keluarga dan semakin tua usia, makin ligat manusia dengan helah akal.
“Hidup
untuk menjaga Tuhan dan manusia, nescaya kita akan dijaga kelak.”
020214
AkhimullahM