April 2, 2016
Nanti Realiti (permintaan Alya)
lalu membawa kepada makna lain
Kala manusia pincang dengan kelahi
hari ke hari
musim ke musim
dibawa makna ke dalam tidur
lalu bermimpikan makna
Titis air deras mengalir menghentam kemanusiaan
bertebarannya merentasi sungai pemikiran
singgah sebentar di hati-hati pemimpi makna
sedar atau separuh sedar ia hanyut bersama ke lembah
Aku menjumpai kamu
terdampar di tebing puisi
matahari atas kepala mendera
di bahu ini terdapat sang pemimpi lain
mungkin aku perlu pulang berehat sebelum memikul kamu
itulah rutinku sejak terdampar di pulau ini
Rumah sudah aku dirikan kerana sang pemimpi perlu teduhan
ruang yang ada juga bisa bikin cerita
di dalamnya aku tempatkan pemimpi
ada yang dibuang
ada yang lari
ada yang menanti
ada juga
yang mati
aku kumpulkan semuanya di satu bumbung
gelarannya adalah teratak rahsia
Telah banyak nama yang kugelarkan kepada teratak
namun ahlinya tidak gemar dengan gelaran yang kuberikan
pernah aku dipukul-pijak kerana menggelarkannya teratak harapan
aku parah
Kamu
jangan ditanya tentang sebabnya
Kesanggupan itu maknanya sabar
lalu membawa kepada makna lain
aku gelarkan, penantian.
July 14, 2015
Pesta Anak Kecilan di Mesjid
Kala ini orang tuanya sibuk beramal. Anak kecil beramal senda dan jejal mereka saling berpeleseran. Lenturan buluh kalau kena yang betul memang tiada masalah.
Zaini, baru cecah 40-an, seorang bapa kepada beberapa orang anak, jemaah mesjid tegar (termasuk asyik dengan telefon pintarnya). Baru sebentar tadi beliau mengacu gaya penampar kepada beberapa orang kanak-kanak kerana "budak-budak...biasalah" itu telah membuatkan suara tangisan yang menjengjelkan sekaligus didakwa sebagai pengganggu kepada orang tua yang sedang beramal terawih.
Penulis yang 'ponteng solat tarawih' menyaksikan anak bongsu Zaini asyik menghempuk seorang anak muallaf (Cina) yang nampak lebih Melayu dengan kain pelikat. Anak bongsu Zaini memakai set baju melayu tanpa samping. Ketika itu situasi jemaah sedang asyik bertasyahud akhir.
Manakala rebung di tebing sungai berhampiran mesjid itu rosak sejak tumbuh kerana dikerjakan tanpa bacaan Basmalah di samping botol-botol (arak) kaca pecah dipijak Zaini dan penulis.
Penulis hampa lalu terjun melayan keruh sungai di gelap-gelita alam. Selawat terakhir sebelum solat sunat witir bergema dan semuanya hanyut. Hanyut ke wilayah rekaan yang wujud dalam masa sementara.
July 4, 2015
Penulis - Liku saat peluncuran buku.
Penulis dikatakan sunyi. Menetap di wilayah sendiri tanpa peduli apa-apa yang jadi. Kehidupan penulis dibaca dengan ketetapan sendiri oleh para pembaca. Pelbagai sudut gaya hidup serta pemikiran penulis dipandang rinci. Ada yang menisbahkan penulis ialah penipu, pemutar belit, pemanis dan lain-lain lagi.
Masih segar lagi saat buku hati ini diluncurkan seminggu yang lepas, tiada aral. Setelah lama saya tulis, bab demi bab yang memakan tempoh tiga tahun. Saya kurang pasti sama ada tempoh sebegitu cukup atau tidak untuk sebuah buku hati yang digarap dengan variasi pengalaman.
Sepanjang tiga tahun garapan itu saya simpulkan di dalam bab epilog buku hati. Para pembaca kerap menghujani saya dengan persoalan juga persialan. Kerap kali soalan tentang cara sambungan buku hati itu bakal atau sedang digarap. Manakala sialan yang sering diajukan adalah berkenaan cerita yang tiada isu yang menarik dan unik malah ditambah agar saya hentikan saja aktivit menulis dengan kadar segera.
Begitulah liku jalan yang saya lalui, baru seminggu saja buku hati saya diluncurkan. Penerbit saya ada memberitahu bahawa penulisan bukan satu pilihan dan juga bukan untuk temani sunyi. Saya tidak faham perihal yang satu itu. Sebagai penulis buku hati yang baru seminggu diluncurkan kepada khalayak, saya cuma berharap agar tulisan saya dibaca umum dan moraliti yang terdapat di dalamnya diserap dan diaplikasikan dalam pengalaman mereka.
Buku hati saya adalah hal yang biasa seperti tulisan manusia lain. Tiada yang istimewa tetapi istimewa itu adalah hak pembacanya.
June 28, 2015
Tiga Penggal
Aku adalah pemimpin. Aku memimpin perasaan yang sah laku masih ada sehingga sekarang. Setakat ini telah tiga penggal aku tadbir. Rakyatku adalah hati kamu itu.
Tiga penggal bukanlah tempoh yang sebentar dan juga tidak lama. Pelbagai propaganda dan juga polisi aku laburkan. Namun pelaburan itu tidak pernah aku layangkan pertanyaan kepada rakyat. Aku seperti membaca minda rakyat dan terus jalankan polisi ikut nafsu sendiri.
Rakyatku jenis yang sukar memberontak dan aku nampak mereka baik-baik sahaja. Sepertinya masing-masing saling profesional dan menjalankan tugas.
Tiga penggal itu pelbagai peristiwa telah aku dan rakyat lalui. Namun aku dan rakyat itu dipercayai tenang sahaja. Aku tidak pasti mandat tiga penggal sudah cukup dan tiba masa untuk undur diri. Rakyatku bijak dan tahu menilai. Aku percaya kepada mereka. Namun, pada bila-bila masa sahaja boleh muncul anasir luar atau pembangkang yang cuba menjatuhkan aku dengan tohmahan ataupun mengusulkan undi tidak percaya terhadap aku.
Maka aku bersedia sahaja. Tiga penggal yang aku tidak langsung rasa perjalanannya. Aku harap rakyat terus percaya terhadap aku sepertimana sangkaan aku terhadap mereka sepanjang tiga penggal. Aku juga harap rakyatku cuba membantu aku sehinggalah habis penggal yang dimandatkan.
June 12, 2015
Semalam adalah kebahagiaan
Semalam tentunya sudah lepas. Hari ini sedang kita lalui. Sejarah mungkin berulang tetapi mungkin dendangan dan pelakunya adalah berbeza.
Kadang-kadang semua itu seperti karma. Dan itulah sejarah yang berulang. Terpulang kepada kita untuk percaya kepada orang kita mahukan. Itu adalah permulaan untuk karma yang kita mahu. Setiap perlakuan kita perlu percaya akan ada balasan itu. Sekali lagi watak dan dendangan yang bagaimana kita mahukan.
Lebih jelas lagi, aksi dimakan kata-kata sendiri. Seperti mana matlamat menghalalkan cara. Seperti mana cakap tidak serupa bikin.
Kita perlu hidup berdepan realiti. Jangan dimarahi jika orang tidak bahagia dengan kita. Kebahagiaan zaman kontemporari ini perlukan kesapingan harta. Ekonomi yang sakit memang memaksa kewujudan sikap materealistik. Lalu itu salah satu jalan bahagia. Kalau tidak mahu begitu, carilah orang sekeliling yang punyai lazat syukur paling atas.
Kalau suka katakan ya. Tapi, suka tidak semestinya mampu.
"Aku suka kepada kamu. Namun aku tidak mampu. Menampung diri kamu mungkin aku mampu. Namun menampung hari esok bersama kamu mungkin mustahil."
Benar, kebahagiaan datangnya dari hari semalam. Namun untuk kekalkan hari semalam terlalu mustahil. Lalu berpijaklah terus di bumi yang nyata. Janganlah menipu diri sendiri lagi.
May 18, 2015
Kepayahan
Peluh mula mengalir dari bahagian ubun-ubunnya sehinggalah ke dagu. Lalu peluh itu tergantung perit sebelum jatuh terpercik di atas meja belajarnya. Bukan sekali dan setitis itu saja peluh yang mengalir, tetapi turut disertai peluh-peluh yang lain.
Kipas telah lama ditetapkan pada volum lima. Cuaca di luar dingin tetapi semua itu tidak menghalang peluh itu mengalir deras.
Khai tahu yang dia akan menghadapi situasi ini pada setiap hujung semester. Biarpun dianggap sesuatu yang menghantui dirinya, namun dia sedar bahawa hidup adalah perjuangan dan pengorbanan.
Malam semakin lewat. Khai bangun bersama peluh yang sudah berkurang. Langkahannya teratur menuju ke sinki. Paip air dibuka perlahan dan Khai membasuh mukanya terlebih dahulu. Lalu, mangkuk kosong yang berisi Maggi kari berapi tadi mula dibasuh dengan sabun basuh pinggan jenama Axion (saiz sedang).
Sebentar lalu
Waktu seperti berhenti ketika itu. Pasca hujan renyai serta sesi basah kuyup tiba. Titis air statik tidak mengalir. Bunyiannya juga hilang.
Gadis itu diamati dengan tekun. Matanya dijamu rinci setiap ruang wajah gadis itu yang juga statik. Hanya masa begitu saja yang mampu digunakan olehnya.
Senyuman melebar yang menampakkan baris gigi cantik terletak. Bibir yang berwarna merah jambu dan kelihatan tebal disertakan dengan juihan seksi. Pipi pula menonjolkan isinya yabg bulat dengan warna kemerahan. Hidung yang sedang-sedang saja dan tidak nampak mancung. Sedang-sedang saja. Biarpun ada beberapa ketulan jerawat halus di dahi, pipi dan juga dagu, namum lelaki itu memandang dengan senang hati. Keningnya pula cantik seperti dilukis tetapi ianya semulajadi. Kening nampak lebat tetapi coraknya jarang merenggang. Pandangan beralih ke bola mata. Terasa ingin terjun ke hati pada kali pertama lelaki itu menandangnya.
Hanya beberapa saat saja lelaki itu memandang terus ke dalam mata gadis itu seperti paranoid lagaknya. Lelaki itu berpaling dan terus berlari. Berlari sambil mengait kembali memori.
Mata gadis itu penuh dengan kisah silam yang tragis. Dia pernah diberi harapan dan dinodai oleh masyarakat bahawa kecantikan itu lebih utama berbanding kecerdikan. Lalu masyarakat yang kononnya mengambil berat soal kecantikan tadi telah mengambil kesempatan mempergunakan harta yang ada pada si gadis. Sama seperti kisah silam lelaki itu.
Selepas tujuh langkah larian lelaki tadi maka masa kembali berjalan. Manakala lelaki itu hilang dari pandangan dan dia muncul di masa silamnya sendiri.
April 8, 2015
Mengira Hujan.
Bila saja hujan maka ramailah manusia yang rasa segala kelegaan. Panas. Serabut. Gelisah. Segala ketidakselesaan yang terengsa akan berasa diriliskan bila hujan menjelma.
Seperti luruh saja perasaan-perasaan tersebut pergi bersama aliran air hujan. Seperti juga air mata, hujan tetap ada masanya dan kadang-kadang tidak dijangka renyai atau lebat secara tiba-tiba. Hujan juga seperti janji-janji manusia kerana sering memberi harapan yang tidak pasti.
Tetapi, hujan akan sentiasa hadir walaupun kita berdiri di tanah tandus dan gersang. Cuma, kita tidak pernah pasti.
Bau yang Bakal Dirindu
Pulang saja dari kelas, aku terus menapak balik ke bilik. Lemah betul aku kalau kelas habis hampir waktu Maghrib sebab terpaksa bergegas balik.
Sampai kawasan kolej kediaman terus aku terbau sesuatu yang jarang-jarang dapat dihidu. Bau alam. hijau. Kadang-kadang aku seperti tercandu juga dengan bau itu.
Perasaan nyaman yang datang secara tiba. Mungkin kerana aku jarang mendapat nikmat sebegini. Lalu aku amatinya dari dalam bilik sambil memejamkan mata dan bersandar ke dinding.
Adakah bau ini akan kekal pada 50 tahun yang akan datang dek kerana pembangunan yang sedang pesat? Jika disaksikan keluasan tanah yang semakin berkurang, aku yakin generasi akan datang tidak akan dapat merasai suasana bau ini.
Aku pasti akan merindui bau yang sedang diperkatakan sekarang.
Rumput yang sedang dikerjakan oleh mesin rumput tentunya mengeluarkan bau yang menyegarkan.
March 17, 2015
Cinta Takkan Terbalas
February 23, 2015
Maafkan
Maafkan segala tindak laku,
maafkan segala keterlaluan,
maafkan segala aksi hatiku,
maafkan segala dugaan,
maafkan segala memori,
maafkan segala celaru,
maafkan segala kata maaf,
maafkan segala kemaafan,
maafkan segala perlindungan,
maafkan segala bantuan,
Kelak lagi aku kan meminta,
mungkin nyawa dan cinta korban akhir kata.
February 15, 2015
Bahang
Jejak kanan aku hulur. Mula menapak, bahang suam aku rengsa dihujung.
Kejap rasa suam sudah seperti api. Bagaimana hari perhitungan nanti?
Aku leka lalai dalam riuh kembara, harus bagaimana aku akan tamatkan dengan rasa penuh noda.
February 13, 2015
Jemu
Pada masa yang sudah aku pernah lalui perit. Masa yang sudah juga sudah menjamu pelbagai kenangan ke lubuk sanubari.
Kamu hadir dan tanpa jemu,
jemu yang ramai orang tidak mahu,
jemu itu ada pada aku,
aku tidak suka akan jemu,
pelbagai cara kamu tempa supaya aku terima,
aku akui sukar melayan jemu,
itupun setelah kamu menghadirkan jemu kepada aku,
terus, kamu tinggalkan aku bersama jemu yang aku tidak mahu.
Jauh. Aku perhatikan dari jauh. Kamu sudah menempa bahagia bersama-sama manusia yang mungkin lebih terbuka dalam melayan jemu. Aku perhatikan. Perlahan-lahan. Detik masa perlahan-lahan. Meninggalkan aku, kamu dan juga jemu.
February 10, 2015
Medan Teratai
"Kami menggunakan sistem kad sahaja bang. Minimum sepuluh ringgit, nanti dah guna boleh mintak baki balik," jelas brader di kaunter medan selera yang berusia pertengahan 20-an itu. Tiada riak untuk menyantuni saya secara lebih ramah.
"Oh begitu. Baiklah. Bagi saya nilai sepuluh ringgit," seperti biasa, saya lebih gemar nilai minimum. Juga ringkas.
Suasana medan selera teratai itu lengang, mungkin dipengaruhi hari bekerja warga kota. Jika cuti umum atau perayaan yang memakan masa dua hari atau lebih, maka riuhlah terminal di mana pengangkutan darat berkumpul.
Saya terus memesan segelas teh o suam dan air mineral dek kerana tekak yang masih bermesra dengan batuk. Sengaja saya tidak memesan makanan kerana perut masih kenyang lantaran telah makan bersama seorang teman di sebuah pasaraya bersebelahan KL sentral, iaitu Nu Sentral.
Kali ini saya berseorangan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bertujuan untuk pulang ke kampung halaman. Jadual perjalanan saya dijangkakan pada jam sembilan setengah malam.
Tawar. Teh 'o' suam yang kurang manis saya telan sahaja kerana memikirkan batuk yang entah waktunya untuk sembuh.
Teringat sewaktu menonton wayang yang sarat dengan aksi yang melampau, bukan adegan seks, tetapi aksi pertarungan yang tidak munasabah. Saya habiskan juga menonton wayang lakonan mila kunis yang mempunyai bibir wanita idaman saya itu, tajuknya Jupiter Ascending. Kisah perebutan kuasa antara beberapa pihak di angkasaraya iaitu tiga beradik yang mempunyai ketamakan kuasa tersendiri dan mereka memperakui bumi ini adalah hak milik mereka. Sudah banyak wayang yang jalan ceritanya sedemikian. Saya bosan dan teman di sebelah saya juga merasakan perkara yang sama. Namun, dia berterima kasih kerana saya sudi menemaninya untuk momen tersebut. Dia memberitahu bahawa tidak pernah lagi dia menonton wayang tanpa teman. Saya baik-baik sahaja dan menegaskan bahawa saya sudah biasa bergerak secara solo dalam altiviti menonton wayang.
Jarum panjang tepat berada pada angka 12 dan jarum pendek berada di angka sembilan. Masa untuk saya beredar dan bergerak menuju ke tempat untuk manaiki bas. Tidak sangka momen di medan teratai yang terletak di aras atas dihabiskan untuk mengenang kenangan yang sekejap. Saya tersenyum. Senyuman itu kalau boleh, saya sedekahkan kepada teman yang dikenang, walaupun senyuman saya tidaklah menawan.
Pada waktu ini dan itu.
Suatu waktu dahulu. Waktu yang lepas dan tidak lagi akan termampu dibeli apatah lagi untuk dimiliki kemas digenggaman jari.
Aku kenali sosok jasad yang entah dari mana, bercerita kencang tentang momen yang aku rasa bagus, namun aku sekadar mendengar dan langsung tidak aku hayati.
Pada waktu yang baharu dan masa yang sedia lepas, dia datang dan beritahu segala yang sedia ada dalam rasa momen yang diceritkan olehnya suatu masa lalu.
Seperti tidak percaya aku merenung juzuk masa lampau dan aku ajukan soalan yang tidak masuk akal.
Adakah aku sudi untuk beraksi sekali lagi untuk membuatkan dia sudi?
Aku letakkan ekspektasi itu di tangga paling bawah dan disenaraikan sebagai misi yang mustahil.
January 23, 2015
PATUNG
penuh syukur. Nyawanya dipanjangkan untuk permulaan hari baharu. Seperti dilahirkan sekali lagi
setelah banyak dugaan yang dilaluinya sebelum ini. Hari-hari seterusnya diharapkan menyajikan peluang
untuk dia mengubah apa yang telah dimulakannya satu masa dahulu.
“Setan! Lahanat punya perempuan. Baik kau mati sekarang!” Ramli sangat marah setelah
menangkap Alia yang sedang asyik ‘menunggang’ seorang lelaki di bilik sebuah hotel. Dia nekad
membunuh Alia dan lelaki yang tidak dikenali itu serta-merta kerana tidak tahan dijadikan boneka
selama ini. Cinta Alia adalah hipokrasi demi materealistik kerana Ramli adalah pengarah sebuah syarikat
pengeluaran patung Barbie cawangan Malaysia.
Kini Ramli bebas dan dilantik sebagai AJK masjid dan dia telah melupakan kisah gelapnya yang
sering lari dari Tuhan. Dia dibebaskan kerana berkelakuan baik sewaktu tempoh tahanan. Namun,
diskriminasi tehadap bekas banduan sepertinya terus berlaku kerana setiap buah fikirnya sering
disangkal ahli masjid yang lain. Dia dijadikan sebagai AJK masjid kerana imam masjid tidak sampai hati
melihat dia menganggur setelah majikan tidak mahu mengambil Ramli untuk bekerja.
Ramli terpaksa hadam situasi tersebut. Dendam kerana diskriminasi terhadapnya akan terlaksana dan
dia telah merancang sesuatu yang tidak terjangka oleh sesiapa pun. Hidup cuma sementara baginya.
January 3, 2015
Tumpang (Episod 01)
Anak kunci dikeluarkan untuk membuka mangga di pintu gril. Seperti biasa dan setiap hari rutin ini berlaku. Pintu gril digelongsorkan ke kanan untuk dibuka seterusnya digelongsorkan ke sebelah kiri sekaligus mangga tadi dikunci kembali. Langkahan dibuka bagi mendaki anak tangga ke rumahnya. Suasana di luar sudah mula bising dengan hentaman air hujan ke tanah berlantai simen. Aksi bising seperti itu biasanya sinonim dengan selimut dan tidur bagi kebanyakan mahasiswa. Alasan hujan juga biasa digunakan oleh mahasiswa apabila terlambat untuk janji temu, pergi kuliah, mengahadiri peperiksaan dan juga berjumpa kekasih hati. Malah kebanyakan rakyat Malaysia juga suka menggunakan isu tersebut untuk melambat-lambatkan urusan.
Tangga demi tangga didaki oleh Izat dan sekarang dia berada di aras dua di mana sebuah rumah didiami oleh sekumpulan mahasiswa perempuan seuniversitinya dan sebuah lagi merupakan rumah tidak berpenghuni. Izat akan melambatkan langkahannya bila tiba di aras itu kerana ingin menyaksikan panorama indah dalam rumah mahasiswa perempuan tersebut. Pintu rumah itu sengaja tidak ditutup dan memaparkan pelbagai keindahan bagi seorang jejaka (teruna mungkin) yang mampu meleburkan iman yang sedia nipis. Panorama percuma itu menyajikan gerak geri gadis-gadis yang mempunyai ukuran tubuh yang 'teguh' sedang tidur atau bergurau senda dengan pakaian yang tak perlu nak diceritakan secara ekstra. Tetapi, kali ini Izat berasa agak janggal kerana pintu rumah yang biasanya terbuka tertutup dan pintu rumah yang tidak berpenghuni itu kelihatan sedikit terkuak. Setelah banyak cerita pelik didengar dari kawan-kawan serta jiran-jirannya, Izat mula kaget. Peluh menderu dari romanya dan dia terpaku.
January 1, 2015
Masehi
Aku hidup seperti biasa. Orang biasa. Gaya hidup biasa. Majoritinya biasa.
Beza, amalan dan ritual serta sikap aku. Semua itu aku kira dan tambah sebagai tahun yang buruk. Aku akukan.
Namun, aku masih hidup dengan apa-apa yang ada.
Orang lain terus utuh menggendong hari-hari yang lepas dan aku tak pasti apa yang telah aku lakukan di hari yang lepas.
Yang pasti, hari yang lepas itu tersemat kerugian kerana ada perkara yang berharga aku sia-siakan.
Hari ini aku masih juga seperti biasa. Cuma esok atau sekejap lagi aku tak tahu apa yang bakal jadi sama ada suram atau cerlang.
Pengharapan pada kali ini, aku cuba untuk mencuba nikmat kepuasan seorang manusia yang mana orang-orang biasa rasa. Cuma itu sahaja.