July 14, 2015

Pesta Anak Kecilan di Mesjid

Kala ini orang tuanya sibuk beramal. Anak kecil beramal senda dan jejal mereka saling berpeleseran. Lenturan buluh kalau kena yang betul memang tiada masalah.

Zaini, baru cecah 40-an, seorang bapa kepada beberapa orang anak, jemaah mesjid tegar (termasuk asyik dengan telefon pintarnya). Baru sebentar tadi beliau mengacu gaya penampar kepada beberapa orang kanak-kanak kerana "budak-budak...biasalah" itu telah membuatkan suara tangisan yang menjengjelkan sekaligus didakwa sebagai pengganggu kepada orang tua yang sedang beramal terawih.

Penulis yang 'ponteng solat tarawih' menyaksikan anak bongsu Zaini asyik menghempuk seorang anak muallaf (Cina) yang nampak lebih Melayu dengan kain pelikat. Anak bongsu Zaini memakai set baju melayu tanpa samping. Ketika itu situasi jemaah sedang asyik bertasyahud akhir.

Manakala rebung di tebing sungai berhampiran mesjid itu rosak sejak tumbuh kerana dikerjakan tanpa bacaan Basmalah di samping botol-botol (arak) kaca pecah dipijak Zaini dan penulis.

Penulis hampa lalu terjun melayan keruh sungai di gelap-gelita alam. Selawat terakhir sebelum solat sunat witir bergema dan semuanya hanyut. Hanyut ke wilayah rekaan yang wujud dalam masa sementara.

July 4, 2015

Penulis - Liku saat peluncuran buku.

Penulis dikatakan sunyi. Menetap di wilayah sendiri tanpa peduli apa-apa yang jadi. Kehidupan penulis dibaca dengan ketetapan sendiri oleh para pembaca. Pelbagai sudut gaya hidup serta pemikiran penulis dipandang rinci. Ada yang menisbahkan penulis ialah penipu, pemutar belit, pemanis dan lain-lain lagi.

Masih segar lagi saat buku hati ini diluncurkan seminggu yang lepas, tiada aral. Setelah lama saya tulis, bab demi bab yang memakan tempoh tiga tahun. Saya kurang pasti sama ada tempoh sebegitu cukup atau tidak untuk sebuah buku hati yang digarap dengan variasi pengalaman.

Sepanjang tiga tahun garapan itu saya simpulkan di dalam bab epilog buku hati. Para pembaca kerap menghujani saya dengan persoalan juga persialan. Kerap kali soalan tentang cara sambungan buku hati itu bakal atau sedang digarap. Manakala sialan yang sering diajukan adalah berkenaan cerita yang tiada isu yang menarik dan unik malah ditambah agar saya hentikan saja aktivit menulis dengan kadar segera.

Begitulah liku jalan yang saya lalui, baru seminggu saja buku hati saya diluncurkan. Penerbit saya ada memberitahu bahawa penulisan bukan satu pilihan dan juga bukan untuk temani sunyi. Saya tidak faham perihal yang satu itu. Sebagai penulis buku hati yang baru seminggu diluncurkan kepada khalayak, saya cuma berharap agar tulisan saya dibaca umum dan moraliti yang terdapat di dalamnya diserap dan diaplikasikan dalam pengalaman mereka.

Buku hati saya adalah hal yang biasa seperti tulisan manusia lain. Tiada yang istimewa tetapi istimewa itu adalah hak pembacanya.