March 17, 2015

Cinta Takkan Terbalas

Hai.
Masih ingatkah pertemuan kali pertama saya dan awak di salah sebuah pasar raya terkemuka di tempat kita?
Saya tidak pasti sama ada awak masih ingat atau tidak. Yang penting saya ingat dengan jelas nyata. Mana mungkin saya ingin lupa. Gaya awak. Muka awak. Mata awak. Hidung awak. Senyuman awak. Pipi awak. Mulut awak. Dagu awak. Rambut awak. Telinga awak. Bagaikan cukup sempurna pada pandangan mata saya yang biasa-biasa ini.
Pada mulanya saya juga tidak perasan keberadaan awak di situ. Namun, setelah acap kali kita bertemu, saya rasakan ada aura wujud di sekeliling saya. Adakah awak juga rasa begitu?
Senyuman yang awak paparkan memang membuatkan ramai lelaki yang gila dan terpana akan keindahan ciptaan Tuhan yang satu, iaitu awak.
Awak sentiasa ceria tanpa langsung menunjukkan riak duka. Seringkali saya datang, awak seperti menunggu. Memberikan senyuman, lenggok badan yang serupa. Seperti ingin menyampaikan bahasa tubuh yang kita mempunyai perasaan yang sama. Adakah ini dinamakan cinta? Atau ini hanya angan-angan dari saya sahaja?
Saya lihat awak sentiasa ramah dengan sesiapa sahaja. Hal ini membuatkan saya runsing. Bingung. Keliru. Kenapa awak buat begitu? Saya terlalu banyak berfikir tentang ini sehingga kawan-kawan mengatakan saya gila!
Sehinggalah pada satu hari, saya tersedar.
Terlebih dahulu saya ingin berterima kepada kawan-kawan saya yang menyokong dan menyedarkan saya tentang awak. Kerana mereka, saya tidak lagi menaruh harapan kepada awak supaya mencintai saya. Saya tahu kita jauh berbeza. Dan, takkan mungkin cinta kita akan terbalas kerana bezanya kita. Saya sentiasa ingat kata-kata kawan saya yang menyedarkan saya tentang hal kita.

"Dia hanyalah gadis sempurna di mata kita semua. Itulah kerjanya. Dia ialah seorang gadis billboard yang kita tidak tahu asal usul. Malah, hidup dalam dunianya sahaja."