February 23, 2015

Maafkan

Maafkan segala tindak laku,
maafkan segala keterlaluan,
maafkan segala aksi hatiku,
maafkan segala dugaan,
maafkan segala memori,
maafkan segala celaru,
maafkan segala kata maaf,
maafkan segala kemaafan,
maafkan segala perlindungan,
maafkan segala bantuan,
Kelak lagi aku kan meminta,
mungkin nyawa dan cinta korban akhir kata.

February 15, 2015

Bahang

Jejak kanan aku hulur. Mula menapak, bahang suam aku rengsa dihujung.
Kejap rasa suam sudah seperti api. Bagaimana hari perhitungan nanti?
Aku leka lalai dalam riuh kembara, harus bagaimana aku akan tamatkan dengan rasa penuh noda.

February 13, 2015

Jemu

Pada masa yang sudah aku pernah lalui perit. Masa yang sudah juga sudah menjamu pelbagai kenangan ke lubuk sanubari.

Kamu hadir dan tanpa jemu,
jemu yang ramai orang tidak mahu,
jemu itu ada pada aku,
aku tidak suka akan jemu,
pelbagai cara kamu tempa supaya aku terima,
aku akui sukar melayan jemu,
itupun setelah kamu menghadirkan jemu kepada aku,
terus, kamu tinggalkan aku bersama jemu yang aku tidak mahu.

Jauh. Aku perhatikan dari jauh. Kamu sudah menempa bahagia bersama-sama manusia yang mungkin lebih terbuka dalam melayan jemu. Aku perhatikan. Perlahan-lahan. Detik masa perlahan-lahan. Meninggalkan aku, kamu dan juga jemu.

February 10, 2015

Medan Teratai

"Kami menggunakan sistem kad sahaja bang. Minimum sepuluh ringgit, nanti dah guna boleh mintak baki balik," jelas brader di kaunter medan selera yang berusia pertengahan 20-an itu. Tiada riak untuk menyantuni saya secara lebih ramah.
"Oh begitu. Baiklah. Bagi saya nilai sepuluh ringgit," seperti biasa, saya lebih gemar nilai minimum. Juga ringkas.
Suasana medan selera teratai itu lengang, mungkin dipengaruhi hari bekerja warga kota. Jika cuti umum atau perayaan yang memakan masa dua hari atau lebih, maka riuhlah terminal di mana pengangkutan darat berkumpul.
Saya terus memesan segelas teh o suam dan air mineral dek kerana tekak yang masih bermesra dengan batuk. Sengaja saya tidak memesan makanan kerana perut masih kenyang lantaran telah makan bersama seorang teman di sebuah pasaraya bersebelahan KL sentral, iaitu Nu Sentral.
Kali ini saya berseorangan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bertujuan untuk pulang ke kampung halaman. Jadual perjalanan saya dijangkakan pada jam sembilan setengah malam.
Tawar. Teh 'o' suam yang kurang manis saya telan sahaja kerana memikirkan batuk yang entah waktunya untuk sembuh.
Teringat sewaktu menonton wayang yang sarat dengan aksi yang melampau, bukan adegan seks, tetapi aksi pertarungan yang tidak munasabah. Saya habiskan juga menonton wayang lakonan mila kunis yang mempunyai bibir wanita idaman saya itu, tajuknya Jupiter Ascending. Kisah perebutan kuasa antara beberapa pihak di angkasaraya iaitu tiga beradik yang mempunyai ketamakan kuasa tersendiri dan mereka memperakui bumi ini adalah hak milik mereka. Sudah banyak wayang yang jalan ceritanya sedemikian. Saya bosan dan teman di sebelah saya juga merasakan perkara yang sama. Namun, dia berterima kasih kerana saya sudi menemaninya untuk momen tersebut. Dia memberitahu bahawa tidak pernah lagi dia menonton wayang tanpa teman. Saya baik-baik sahaja dan menegaskan bahawa saya sudah biasa bergerak secara solo dalam altiviti menonton wayang.
Jarum panjang tepat berada pada angka 12 dan jarum pendek berada di angka sembilan. Masa untuk saya beredar dan bergerak menuju ke tempat untuk manaiki bas. Tidak sangka momen di medan teratai  yang terletak di aras atas dihabiskan untuk mengenang kenangan yang sekejap. Saya tersenyum. Senyuman itu kalau boleh, saya sedekahkan kepada teman yang dikenang, walaupun senyuman saya tidaklah menawan.

Pada waktu ini dan itu.

Suatu waktu dahulu. Waktu yang lepas dan tidak lagi akan termampu dibeli apatah lagi untuk dimiliki kemas digenggaman jari.
Aku kenali sosok jasad yang entah dari mana, bercerita kencang tentang momen yang aku rasa bagus, namun aku sekadar mendengar dan langsung tidak aku hayati.
Pada waktu yang baharu dan masa yang sedia lepas, dia datang dan beritahu segala yang sedia ada dalam rasa momen yang diceritkan olehnya suatu masa lalu.
Seperti tidak percaya aku merenung juzuk masa lampau dan aku ajukan soalan yang tidak masuk akal.
Adakah aku sudi untuk beraksi sekali lagi untuk membuatkan dia sudi?
Aku letakkan ekspektasi itu di tangga paling bawah dan disenaraikan sebagai misi yang mustahil.