May 26, 2014

Stalker

Hai.
Macam biasa, seperti biasa, macam hari-hari yang lepas juga. Perkara yang sentiasa saya lakukan bila bangkit dari tidur sehingga acara sebelum tidur. Sentiasa saya lakukan semata-mata kerana awak. Kalau ada dua puluh lima jam untuk sehari, saya mahu dua puluh enam jam untuk saya lakukan perkara tersebut. Tak kira masa, kalau boleh tak mahu sesaat saya terbazir untuk tidak melakukannya. Semuanya kerana awak. Kalaulah perkara itu saya dapat lakukan hanya perlu fikir dan niat di dalam minda saya, saya akan buat, kerana awak.

Saya tahu awak tidak buat semua perkara itu, tetapi awak hanya lakukan bila awak rasa perlu sahaja. Mungkin kehidupan awak tidak seberapa ceria selalu dan sebab itulah awak lakukan. Senang kata, awak hanya buat bila awak rasa tidak ada perkara yang boleh buat untuk menceriakan hari awak. Itu saya tidak peduli. Saya hanya pedulikan awak sahaja. Setiap masa saya pedulikan awak sehingga awak langsung tidak sedar yang saya pedulikan awak tanpa awak tidak pedulikan awak. Padahal orang kata, "Action speaks louder than words". Saya tidak pasti tentang kesahihan perkara tersebut kerana saya hanya buat, kerana awak dan tidak perlu ambil tahu kata-kata manusia lain. Saya amat risau bila mendengar kata-kata manusia lain kerana mereka hidup tidak seperti saya dan tidak melaluinya sebagai saya. Kata-kata awak sahajalah yang mampu saya hadam. Tapi susah untuk dengar suara awak. Jadi, saya peruntukkan untuk meninjau awak secara jauh, tapi dekat.

Setiap pagi, saya bangun dan terus menekan papan kekunci di komputer saya, komputer riba. Menaip satu persatu aksara untuk mencari awak. Saya hafal nama awak, nama penuh, bukan nama panggilan atau nama singkatan yang biasa digelarkan oleh teman-teman awak. Saya akan cari awak di laman sosial dan klik di nama awak seterusnya menjumpai awak. Saya tidak tahu sama ada awak sedang di talian atau tidak. Saya klik pada raungan untuk gambar dan semua saya perhatikan dengan tekun. Sebal juga hati saya bila saya lihat dalam gambar-gambar itu ada teman-teman lelaki yang berdiri atau duduk di sebelah awak. Tapi, saya tidak peduli. Saya teruskan tugas saya, saya lihat gambar yang ada ditanda nama awak, ceria sahaja riak wajah awak dan kawan-kawan awak sedangkan saya tahu kawan-kawan awak hanya penuh dengan hipokrasi. Tapi, saya tahu awak boleh hidup tanpa mereka pun. Hanya saya sahaja yang tidak boleh hidup tanpa awak. Hal ini bukan kerana saya mahu berlagak seperti jejaka yang manis, tetapi itu kebenaran yang pahit untuk saya telan.

Sejujurnya, saya tidak tahu bila akan tiba masanya untuk saya berhenti melakukan semua ini. Saya amat gembira melakukannya. Melihat lirikan mata awak di dalam gambar seolah-olah awak sedang beeinteraksi dengan saya dengan hati yang teruja. Itu yang melemahkan saya, lirikan mata yang bukan semata-mata telah menggoda, namun telah mengunci hati saya untuk menoleh kepada masa silam saya. Masa silam saya umpama telah dipadam hanya kerana melihat awak di dalam gambar. Saya berharap masa hadapan saya tidak gelap jika awak tiada lagi di muka bumi ini ketika itu.

May 18, 2014

Tingkat Sahabat (Bahagian 2)

Si Adorebel ni jenis yang senang tak hal sangat nak bagi pinjam barang ke orang lain. Tapi kena jaga elok-elok la barang dia. Kalau boleh lepas pinjam barang tu letak balik kat tempat asal. Kalau boleh lagi dia nak macam keadaan asal dan tak disentuh oleh sesiapa. Betapa telitinya Adorebel bab menjaga barang dia.

Si Spiky pulak jenis rajin mencari ilmu. Kalau ada kelas tambahan laju je nak pergi. Tak tahu keturunan apa rajin sangat ni. Tapi si Adorebel ni tak berkenan sangat cara Spiky ni sebab suka hati dan ikut suka masa dia je mudah nak pinjam barang. Dia nak pinjam barang tu macam dia nak ambik hak dia buat harta pusaka. Mintak pun jenis tak beradab sangat, ikut tingkap. Padahal rumah Adorebel tu tak tinggi sangat pun. Tingkat satu, blok B, dekat dengan tangga. Memang kalau naik tangga tak sempat adrenalin menghenjut la orang kata.

Adorebel bukan apa, dia okey sahaja kalau mintak ikut sms sekalipun. Beradab la sikit. Jumpa depan-depan. Ikutkan hati Adorebel malas dia nak layan. Tapi, ikutkan hati rakan dia memang kena layan la. Si Adorebel tu bukan pandai sangat pun dalam bab belajar jadi, dia rileks je la dengan perangai Spiky tu.

"Setakat satu tingkat naik panjat tangga pun malas, macam mana nanti orang nak tolong dia?" detik hati Adorebel. Dia perati je perangai Spiky tu, dia perati je. Nak tegur karang buat muka pulak si Spiky. Jenis malas menelan kebenaran yang pahit. Jadi, sebagai seorang pelajar yang matang, kononnya, Adorebel bungkamkan sahaja perasaan dia tu.

"Tingkat persahabatan lebih elok dijaga berbanding hati sendiri, baru orang kata hebat," kata Adorebel di dalam hati.

-TAMAT-

May 17, 2014

Tingkat Sahabat (Bahagian 1)

Tersebutlah kisah dua orang rakan yang berbaik sejak masuk sekolah. Mereka masuk sekolah berasrama. Sekolah ni pelik sikit sebab kalau tak aktif, pihak pengurusan asrama akan tendang budak-budak yang tak aktif dan diorang kena duduk luar sekolah.
Dua orang ni memang baik sejak kenal hari tu. Tapi, diorang tak duduk sebilik pun, blok pun tak sama, cuma asrama je yang sama. Yang okey lagi, diorang ni sekelas. Jadi memang jumpa hari-hari kat kelas. Hadap je muka sama setiap hari. Nak pergi kelas mesti siapa yang cepat siap akan tunggu yang lambat. Tunggu kat port menarik. Dekat dengan koperasi.

Yang sorang tu nama dia Spiky (bukan nama sebenar) sorang lagi nama Adorebel (pun bukan nama sebenar). Diorang ni memang jenis rapat sangat sampai ada budak-budak sekolah yang panggil diorang kembar. Nampak tak betapa utuhnya perhubungan diorang tu? Kawan-kawan lain akan berasa janggal kalau salah seorang daripada dua orang ni tiada dan terus tanya mana lagi sorang.

Spiky ni jenis banyak mulut kalau bercerita, kadang-kadang ada juga yang Adorebel perasan yang Spiky tokok tambah cerita. Adorebel ni jenis pendiam sikit. Dia jenis simpan dalam hati je. Nampak tenang dan bersahaja Spiky tengok dia.

Ada suatu hari, masa tu Spiky nak angkut barang bawak naik rumah dia. Banyak jugak la, dalam lima ke enam kotak macam tu. Si Adorebel bertindak seperti biasa bagi menolong rakan baiknya itu. Rumah Spiky kat blok A, tingkat dua manakala Adorebel duduk di tingkat satu, blok B. Sibuk-sibuk Adorebel pun dia sempat tolong si Spiky. Jenis tak lupa kawan jugaklah si Adorebel ni. Akhirnya dapatlah jugak si Adorebel ni upah ucapan terima kasih dari Spiky. "Tak kisahlah" kata hati Adorebel.

Pada suatu hari, Spiky call Adorebel nak mintak tolong. Kali ni Spik mintak tolong Adorebel untuk tolong seorang makwe. Duhh...tiba-tiba kena tolong makwe ni dah kenapa. Nasib baik Adorebel jenis suka menolong. Dia tolong jugak mengenangkan Spiky yang asalnya mintak tolong. Makwe tu ucap terima kasih dan Adorebel tak ambik port sangat masa tengok makwe tu tulis sesuatu kat tisu dan selit kat baju Spiky. Spiky buat selamba je walaupun muka retak beribu, makwe tadi bagi pun sebab ambik hati je nak jimat duit dia.

Si Adorebel ni jenis biasa je duduk kat kolej dia. Tapi yang bagusnya dia ada motosikal jenama kebangsaan, senang dia nak bergerak ke sana ke mari dekat dalam kawasan kolej dia tu. Adorebel ni nak kata baik hati sangat tak la sampai macam tu sekali. Tapi okey je. Spiky nak guna pergi mana-mana Adorebel bagi je dengan pesanan "naik motosikal tu elok-elok, masuk ICU karang susah pulak".

Bersambung.....

May 16, 2014

Senyap

Sunyi. Sepi.
Sehari sepi
Berlalu pergi.

Sepi lagi
malam ini,
seperti mimpi.

Terus sunyi.
Tidak berbunyi.

Selang jam 2240
Ada bunyi.
Satu bunyi.
Bunyi tradisi.
Peti masuk ada isi.

Berbunyi,
"Mana awak?"
Hati jawab,
"Masih di sini"

Rupanya,
ada yang merindu.
Ingatkan 
hanya menanti jasad ditanam,
enam kaki ke dalam liang.
"Saya baik-baik sahaja,
masih hidup,
tidak mereput"

Kembali baca baris pertama.

Selera muda

Tiga kaunter. Dua orang perempuan. Seorang lelaki. Setia tegak sebagai cashier. Latarbelakang mereka jenuh kesibukan staf-staf di tabir dapur dengan segala macam juadah berasaskan ayam.

Dua orang cashier tadi sedang sibuk membilang not-not di kaunter masing-masing. Hanya si lelaki sahaja yang tidak sibuk dan sedang menunggu pelanggan yang merupakan penyumbang beberapa persen wang saku bulanannya. Mamakai topi sudu 'cap ayam', beruniform khas milik syarikat majikannya dengan fizikal gempal. Dia menyapa mesra seorang pelanggannya yang baru memasuki premis majikannya itu.

     "Selamat datang bang, nak order apa?" senyuman sepertinya ikhlas ataupun memang menjadi adat kita melayan orang berkepentingan kepada kita atau orang di atas kita.

     "Hidangan tengahari la, pakej pinggan snek," pelanggannya itu membalas senyuman tanda hormat dan lapang dada. Mungkin juga menyimpan sabar untuk menjamah hidangan sebentar lagi.

     "Tapau atau makan? Kentang berkeju nak tak? Air nak pilih air apa?" Soalan terus tanpa helah ditanya sambil tangan mengarah ke mesin air automatik di kaunter tersebut.

     "Makan sini la. Boleh jugak kentang berkeju tu. Air, ambik yang isotonik pesaing 100 Plus tu," jawab pelanggannya tenang.

Usai membayar belasan ringgit malaysia. Pelanggan itu mencari tempat duduk untuk menjamah hidangan tersebut.  Sambil itu juga pelanggan itu turut memerhati keadaan sekeliling. Ada pasangan perempuan sedang rancak berbual. Seorang gempal sedikit dan seorang lagi kurus, gaya seperti pengkid, mungkin pasangan berkasih. Pelanggan itu tadi duduk membelakangkan kaunter yang jaraknya dalam tiga meter sahaja. Tidak tegang keadaan dalam premis tersebut. Mungkin sebab jam yang menunjukkan waktu sekita tiga petang, manusia lain sedang khayal mencari rezeki dan ilmu.

Selang tiga meja membelakangi pasangan perempuan tadi, ada seorang ibu dengan anaknya yang masih beruniform sekolah rendah. Si anak menikmati hidangan yang mungkin lazat bagi umur seusianya manakala si ibu sedang menelaah telefon pintar. Ralit. Pelanggan itu membuat kebarangkalian bahawa si ibu sedang melayari laman sosial ataupun bermain permainan yang mengujakan. Itu sahaja rasanya fungsi telefon pintar fikir pelanggan itu. Tidak ada lagi telefon pintar yang boleh mengenyangkan manusia kecuali manusia itu berusaha menelefon syarikat makanan segera untuk memepersembahkan juadah di muka pintu rumah. 

Pelanggan itu terus meratah juadah tanpa menghiraukan sekelilling. Namun sekali sekala dia matanya turut meliar memerhati.
Ada seorang pekerja premis berkenaan sedang berlegar-legar berhampiran meja makan sambil mengutip pinggan dan apa sahaja sisa atas meja yang ditinggalkan oleh pelanggan lain. Perempuan cleaner. Umur mungkin sudah 30-an tapi masih ada awet muda terserlah. Nampak sahaja mudah kerjayanya itu namun tidak ramai yang sanggup sepertinya. Bekerja dengan sisa makanan yang dilapah golongan yang tidaklah tinggi martabat namun terasa hebat jika dapat menikmati makanan kelas pertengahan atau separa elit itu.

Pelanggan itu tenang dengan juadahnya sehinggalah dia menghabiskan semua baki makanan tersebut. Dia bersandar sambil memerhatikan pelanggan yang baru masuk. Adalah dalam dua atau tiga orang pelajar yang baru pulang dari sekolah. Ada juga jejaka dengan helmet besar berjenama. Ada juga dua orang lelaki yang lepak di meja luar premis, mungkin mahu menikmati keretek murah. Ada juga yang datang untuk menikmati wifi percuma premis berkenaan. Macam-macam perangai. Semua mencari keinzalan yang murah.

Apabila sudah tiba masanya untuk beredar, pelanggan itu mengangkat pinggan berserta sisa-sisa makanannya sendiri untuk dihantar ke tempat perempuan cleaner itu tadi, yang berdiri setia menunggu pelanggan beredar dan sampai masa untuk mengutip sisa-sisa. Namun, perempuan itu seperti menunjukkan riak wajah janggal dengan perlakuan pelanggan itu dan dia seraya senyum sambil muka masih lagi seperti tidak percaya.

Sambil meletakkan pinggan di tempat sepatutnya, pelanggan itu pula mengucapkan terima kasih kepada perempuan cleaner itu. Pelanggan itu seperti sudah biasa melakukan khidmat sedimikian. Seperti sudah diajar dan terbiasa. Namun, itu bukanlah bermakna pelanggan itu seorang yang mulia. Perempuan itu sebenarnya lebih mulia, sanggup bekerja meninggalkan anak-anak yang kita sendiri tidak tahu bilangannya, mengutip sisa dan membersihkan meja. 

Tugas itu sudah tersangat mulia jika kita betul-betul menikmati khidmat yang sebenarnya diterap dalam ajaran Islam.

Lampu Trafik Jalan Wan Alwi

Sementara dalam pelarian,
saya cuba mencari penyelesaian.
Saya bergerak tidak henti mencari,
satu perkara apa pun tidak saya jumpa.

Saya mengalah dan beransur pulang,
menelusuri jalan-jalan biasa.
Kenderaan beroda patuh jalan raya,
patuh kepada etika bikinan manusia.

---

Saya mulanya tidak perasan,
kewujudan sesuatu itu.
Saya hanya lari tidak peduli.
Hinggalah hinggap di Jalan Wan Alwi.

Penuh.
Tidak ada selindung membayanginya.
Bukan awak gadis.
Maafkan saya.
Saya termenung ke depan,
melihat bulan.
Indah.

Detik di Jalan Wan Alwi tidak lama.
Saya perlu pulang,
tinggalkan kenangan
yang ditemani lampu-lampu tepi jalan,
juga pelbagai kenderaan.

Namun,
saya rakam saat itu.
Bersama memori tercipta.
Cantik kepurnamaan malam itu.

---

Saya teliti bulan.
Kalau kamu perasan,
kawah di bulan membuat satu ritual.
Dia sedang duduk.
Bertasyahud akhir.
Begitu tunduknya ciptaan itu kepada Tuhan.
Tidak seperti kita,
tunduk kepada diri,
dan juga manusia.

Begitulah kisah sementara saya.
Hijau menjengah, perjalanan diteruskan.
Penuh kekesalan sebentar.

May 15, 2014

Gadis mencuba benda baharu

     Jejaka itu sedang meneliti ruang kedai itu. Diamatinya segenap gelagat manusia yang keluar masuk ke premis yang sedang dia jejaki. Jejaka itu hinggap dari rak ke rak untuk mencari apa yang diperlukannya. Ketika itu suasana memang hambar, lengang.

     Sebenarnya dia tahu dan memang niat dia untuk hinggap di rak yang memang dia tahu itu. Tapi sengaja bagi menyesuaikan dengan keadaan dan habitat premis berkenaan dia berpura-pura mencari benda yang dia sendiri tak pasti.

Inilah momen yang ingin dikisahkan.

     Bertudung biru tua. Sisipan tudung dibelit gaya moden kontemporari sebagai mengikut arus kemodenan, mungkin. Tudung bawal itu kelihatan luar biasa bila dikenakan ke batang tubuh seorang perempuan muda. Bekulit cerah, mungkin akibat mekap atau memang dia menyerlahkan kulitnya yang sememangnya semulajadi cerah dengan mekap. Bulu mata beralas maskara, lentik. Bibir mengil dengan gincu merah terang seraya terus menggamit pandangan jejaka itu serta ada beberapa tahi lalat di sekitar wajahnya. Memang terpesona. Berbaju kemeja, seluar skinny dan selipar high heel. Disamping itu, tangan terbeban dengan beg tangan putih krim sebesar radio di rumah orang tua jejaka itu. Terus dia teringat radio yang sudah bertahun digunapakai bagi memberi info dan hiburan kepada bapanya yang minat dengan siaran Radio Klasik Nasional dengan slogan 'Menggamit Kenangan'.

     Mereka berdiri di rak yang sama genre. Ruangan novel Malaysia yang sebahagian isi-isinya sama jalan cerita dan plotnya. Tapi, jejaka itu tidak meminati jenisan itu. Dia membelek fiksyen ala Melayu garapan penulis-penulis tempatan serta ada buku-buku puisi dan cerpen dan catatan yang boleh menawan hatinya. Jejaka itu memerhatikan gelagat gadis sambil membuat gaya sedang membaca penuh tekun. Ditatapnya buku Sebuah Kapal Terbang Yang Terhempas Di Subang Jaya sambil lirikan mata terus memerhatikan gelagat gadis itu. Jejaka itu rasa dia perlu menolong gadis tersebut. Dia tidak pasti sama ada gadis itu perasan atau tidak bila dia sedang stalk gadis tersebut. Dia buat rileks.

"Pernah baca FIXI ke?" jejaka memulakan luahan aksi katanya.

"Ni first time nak baca. Baru nak try," balas gadis manis itu sambil tersenyum.

"Owh, cuba la baca MURTAD, lepastu baca sambungan dia TUHAN, serius best," cadang jejaka itu cuba membantu sambil meletakkan buku yang bertajuk panjang tadi dan mengambil buku Lolos Penjara.

"Ooo yeke? Awak dah baca ea?" tanya gadis itu semacam kagum.
"Apa lagi yang best? Mana lagi yang awak dah baca?" sambung gadis itu. Dia datang dengan kawannya yang free hair tapi kawan dia tunggu kau luar premis.

"Ha'ah, ade la sikit yang saya dah habis baca. PINJAM ni baru semalam saya habis baca, not bad la kalau awak nak cuba. Pengejar Bintang pun best, kalau Lejen, penulis dia Nami memang awak kena baca la" jelas jejaka itu lebih lanjut
"Coklat pun best saya dengar, ramai orang komen dan review positif pasal buku tu. Try la," cadang jejaka itu sekali lagi.

Kawan gadis itu seperti menggangu conversation santai itu, sebab jejaka itu perhatikan mata gadis itu seperti berkomunikasi dengan kawannya supaya tunggu lebih masa. Dan sedikit lega perasaan jejaka itu bila dia dengar suara kawan gadis itu berkata, "Take your time" dan jejaka itu mengagak yang kawan gadis itu bersuara sambil buat riak muka memerli.

"Awak ni study lagi atau dah kerja?" jejaka itu cuba untuk mengorek maklumat. Mungkin kerana wajah gadis itu sangat familiar dengan muka student institut pengajian tinggi yang merayap mencari makna di sebuah pasaraya dan dinoda dengan butik-butik mewah seperti La Senza dan lepak di Starbucks dengan memesan air yang paling murah tetapi lepak sampai tak ingat dunia.

"Saya dah kerja, kat Simpang Tiga, kerja macam banci tu la, kira statistik lebih kurang" jelas gadis itu. Tak lekang senyumannya, seperti selesa dengan perbualan itu.
"Awak umur berapa? Study lagi kan?" balas gadis itu lagi.

"23. Study lagi," ringkas dalam terkejut jawapan itu dikeluarkan. Tiba-tiba bertanya umur ni buat jejaka itu insecure. Cinta itu buta, mana ada kenal umur. Tengok Siti Nurhaliza dengan Datuk K la kalau tak percaya. Tapi peduli apa pasal cinta? Jejaka ni sedang tolong gadis itu. Ikhlas kot!

"Owh, saya 21. Awak study mana? Unimas? Kos ape? Dah lama ke kat sini?" kali ini ringkas dan padat pulak soalannya.

"Ha'ah. Ambik komunikasi. Dah tahun kedua nak masuk tiga dah," sangat ringkas sebab nak lari topik.
"Awak kalau nak tengok buku macam ni lagi tengok la belakang rak ni, yang paling bawah sekali, ade lagi buku-buku lebih kurang macam FIXI dan Lejen ni," terus beralih topik. Berjaya.

"Nanti la saya tengok kejap lagi. Saya tak boleh lama sangat, kawan tunggu. hehe" terus senyum dan pergi ke rak genre lain. Jejaka tu memang betul-betul nak tolong pun masa tu. Tak terfikir nak mengorat ke ape dan di tangan jejaka itu masih utuh beralaskan Lolos Penjara sebuah nukilan Naufal Tarmizi ala-ala cerita Prison Break bernuansa Malaysia.

     Gadis itu kembali dan jejaka itu masih di rak yang sama, menikmati Lolos Penjara tanpa mempedulikan sekeliling. Tapi, dia sempat kerling bila gadis itu mengambil beberapa judul FIXI dan Lejen, antaranya MURTAD, SIONG dan PINJAM juga buku Lejen, mungkin Pengejar Bintang. Dan gadis itu terus beratur di kaunter yang tak ramai pelanggan manakala jejaka itu terus menghadap buku Naufal Tarmizi itu. Dalam masa tiga minit lebih kurang, siap sudah jual beli gadis dengan kedai tersebut dan gadis itu meninggalkan kedai itu tanpa menyapa jejaka yang sedang membaca di rak tadi. Tanpa ada ucapan 'Bye' atau 'Saya balik dulu' atau 'Terima kasih'. Namun itu sudah okey bagi jejaka itu kerana keberadaan dia di situ sempat juga untuk dia menghasut hati lembut untuk menambahkan koleksi wang ringgit LejenFIXI. Dia berharap gadis itu akan teringat kepada dirinya dan berusaha mencarinya untuk berterima kasih kerana mengubah hidup palsunya sebelum ini. Cewah!

Pelarian

     Kunci di mulut suis dipulas seraya kaki menerajang penghidup enjin lalu berderum ngauman sebuah jentera bendalir. Warna bercampur biru dan putih disamping oren kelabu debu jalanan yang menampakkan hasil kemalasan tuannya untuk menyental saban minggu. Ada box berjenama entah apa-apa entah di bahagian belakang. Nombor plat yang didaftarkan di negeri di bawah bayu, namun disambung kisah di bumi kenyalang. Model Kriss 110cc keluaran jenama kebanggan Malaysia satu ketika dahulu,Modenas.

     Duduk di atas pelana yang tidak empuk itu seorang lelaki. Umur 20-an. Tidak tegap. Biasa-biasa sahaja. Berjanggut. Memakai baju t-shirt berkolar jenama Grand Slam, gambar lambang jenama yang ada penguin kemas disulam di dada kiri pemakainya. Baju warna maroon dan sedikit belang biru muda beserta motif retro yang diterapkan dalam corak baju tersebut. Baju bundle. Dibeli secara dalam talian di sebuah blog terkenal yang menjual baju-baju bundle yang harganya setanding harga baju butik mewah di pasaraya. Seluar Lee yang berusia setahun lebih, tetapi tidak pasti berapa lama ia terperuk di butik pasaraya. Agak season, kerana memang coraknya sengaja dibina begitu biar nampak 'berumur'. Mungkin dipanggil itu gaya semntimental kot. Kasut Adidas China dengan stripes hijau tiga line dan selitan warna kelabu yang mengiringi stripes tadi disamping warna major hitam elegen lusuh. Dipergelangan tangan dibiarkan kosong tanpa ada jam tangan Swatch 1996 hijau bermotifkan suasana teksi di Brooklyn kerana talinya yang rosak.

     Sementara menunggu enjin memanas, dia, tuan motosikal tersebut merenung kejadian yang sedang dihadapinya. Dia buntu. Keliru. Celaru. Serabut. Dan macam-macam lagi persaan berbaur kerisauan bagi dirinya. Tidak pasti tindakan ini adalah dianggap waras atau gila ataupun celaka berlapis petala. Dia seperti syirik dan menduakan Tuhan dengan berpaling tadah terhadap apa yang perlu dia hadap sebagai insan yang sedang belajar. Dia tidak seperti selalu. Bukan. Selalunya dia akan bertindak begitu. Dia mengelak takdir sebelum ini dengan cemerlang. Hari ini minda dia beraksi seperti dirasuk kuasa syaitan yang tak dibendung. Apakah jitu pemikiran begitu? Memang, dia seperti diberi arahan oleh syaitan yang mengawal minda sedarnya. Dia takut tapi ikut. Seperti taktik dia terikut. Dia mahu bawa ke mana sahaja dirinya pergi menjauh. Lari. Lari daripada sesuatu yang pasti dia wajib tempuhi. Kalau tidak, sifar. Sifar nilaian akan dia perolehi. Namun, dia fikir dia sanggup mati daripada menghadapi situasi. Sebab itulah dia menjauh. Beraksi seperti pelarian.

      Motosikal itu meluncur laju di atas jalan tar bergarisan putih di tengah dan tepi jalan. Ada garisan putus-putus dan ada yang bersambung. Putus-putus itu melambangkan boleh memotong dan garisan yang tidak putus itu tidak boleh memotong kalau mengikut piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Hidup kita seperti garsian jalan inilah. Kalau kita tidak mengisi minda dengan pengetahuan dan skil yang mencukupi, sangat mudah manusia akan sailang jalan kita sedangkan di garisan bersambung pun orang lain boleh potong inikan garisan yang putus-putus. Serupa juga dengan trafik light yang dianggap Tuhan jalanraya selepas polis trafik dan JPJ. Semua takut. Semua bukan takut sebab apa yang ada pada mereka, namun apa yang perlu dilunaskan jika ingkar sahaja. Not-not ringgit Malaysia akan diberi secara percuma dan melayang, bukan sehelai sahaja okey, berhelai-helai. Jadi, sebab itulah manusia takut. Melainkan manusia itu cop duit atau reti buat duit palsu.

     Laluan bandaraya Kuching dirobek menggunakan pacuan dua roda tersebut. Melingkari jalan ke Waterfront sambil cuba untuk ikut jejal bahang kenderaan mewah dan tak mewah meluncur.  Tidak tahu hala tuju dan juga tidak tahu jalan-jalan yang lebih rumit kerana bimbang dia sesat di perut bandaraya Kuching lalu dia mengambil langkah selamat untuk lalu jalan yang biasa dimudiki bersama teman-temannya. Dia cuba mengamati setiap lorong, jalan dan simpang agar sentiasa kekal dalam ingatannya. Dia masih tidak tahu ke mana harus ditala jentera pacuannya itu sambil menikmati pemandangan penuh pembangunan diseliputi hedonisme yang kian menebal dalam gaya hidup masyarakat kota. Biasalah hidup seorang manusia. Mesti ada judgemental walaupun sekelumit.

     Akhirnya, dia berkeputusan. Diputuskan untuk mencari candu baharu. Yang dirasakan tenang dan boleh buat dia lupa akan dunianya yang memang di alam nyata. Bonus baginya kalau dapat inzal semasa merasa candu itu. Dia ke sebuah gedung yang sarat dengan bahan-bahan candu. Dia membelek-belek bahan-bahan itu. Ruang legar gedung itu tidak ramai kerana masih waktu pejabat dan waktu persekolahan beroperasi. Dia duduk dan merasa. Hanya ada individu yang ralit dan tercandu merasa candu luar negara sedangkan dia menyokong bahan tempatan.

     Detikan masa bagai tidak dirasa olehnya. Hingga dia sedar dia perlu kembali ke dunia yang memang nyata. Tidak perlu lagi di menjadi pelarian. Dia perlu mematikan kecanduannya segera agar dia boleh pulang sebelum terlambat. Dia mengaut beberapa candu yang baik baginya, mungkin dan dia beredar dengan ada momen yang indah dia tempuh dan rakam sewaktu bercandu tadi.

Masa terus berlalu dan dia pantas memacu motosikalnya pulang ke dunia asal tempat dia mengeluh dan menangguk di air keruh sementara ideologinya yang penakut terus psiko dirinya yang boleh dilabelkan pengecut oleh dirinya sendiri. Dia kembali dari pelarian.

May 9, 2014

Kehadapan Crush yang Dikagumi

Hey awak.
Saya menulis ini dengan harapan awak akan baca tanpa was-was dan sedikit syak wasangka kepada saya yang tidak seberapa elok rupa ini.
Saya harap bila awak baca tulisan ini awak sentiasa senyum dan kawal sahaja senyuman awak yang sememangnya tidak lekang dan lokek itu.
Untuk pengetahuan awak, saya menulis ini bukan sebab saya gila. Saya menulis ini sebab saya mahu riliskan sedikit tekanan dan dihujungnya, selepas noktah terakhir ruangan ini, saya berharap saya dapat menghembus nafas berat yang sarat saya tanggung selama sebelum ini dan juga untuk masa hadapan yang akan tertempuh.

Itu sahaja saya rasa untuk sesi pengenalan. Anggap sahajalah ini tidak seperti surat tidak rasmi. Anggaplah ini sebagaimana yang awak mahu sebab saya tulis ini memang untuk awak.

Awak, hidup saya mula terumbang-ambing sekarang. Saya tidak pasti itu menggamit perasaan awak atau tidak. Yang penting awak kena teruskan bacaan. Hidup saya selepas kenal dengan awak sangat berbeza kerana pada masa itu saya rasa istimewa di mata saya sendiri dan awak dilihat sebagai wanita yang sangat saya ingini untuk berdamping sekaligus berseloka tentang hidup bersama saya.

Namun, itu hanya perasaan saya sahaja. Saya cuba sedarkan diri saya yang sejenis tidak reti membahagiakan orang termasuk ibu bapa saya. Saya cuba. Cubaan itu sehingga saya dan awak ditakdirkan untuk berhubung. Kita saling mengenali secara peribadi dan saya terlupa yang awak ialah sejenis peramah yang tidak langsung kedekut dengan senyuman. Bahagia hidup saya ketika itu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tapi, hidup saya sedikit teratur selepas beberapa momen saya bina bersama awak dan sampai satu peringkat, saya rasa Tuhan hantarkan awak untuk membantu saya. Bersyukurnya saya pada waktu itu. Itu adalah cerita waktu itu.

Setelah kita saling bermalasan dengan hidup, kita sama-sama menjengah satu peristiwa dan kejadian yang telah dirancang.

Awak, saya sebenarnya ingin memuji akan kecantikan awak pada malam itu. Saya langsung tidak inzal melihat wanita lain yang dengan berani dan berahi menayangkan susuk tubuh yang langsung tidak steady bagi saya, seorang lelaki biasa, tegar akan dosa. Namun, saya hanya tertumpu kepada awak sahaja. Saya tahu awak perasan saya memandang dan memerhati awak dari jauh. Saya pun perasan perkara tersebut. Namun tidak pasti adakah perasaan tersebut lebih kepada perasaan perasan sendiri atau apa. Yang pasti saya sempat menangkap renungan awak itu. Ya, renungan yang sepertinya berharap kepada saya supaya memulakan langkah ke arah awak dan membuka patah bicara sedangkan hati kita sedang bergelora.

Awak, saya masih simpan renungan itu kalau awak mahu tahu. Renungan dengan mata polos yang nampak seperti berkaca. Sungguh menggamit perasaan saya. Tapi, ego saya yang menggunung tidak mengghiraukan langsung renungan itu dan dengan angkuh berkata "Tidak, untuk malam ini kau perlu persetankan dia!"

Ego itu memang sentiasa mendabik di dada malahan di dalam hati murni saya ini. Saya dengan tidak semenanya masih mencuri lihat aksi awak bersama teman-teman yang asyik gembira sepertinya tiada hari esok untuk diraikan. Awak berdiri bersebelahan si jaka yang sememangnya tampan dan lebih erogan daripada saya yang picisan ini. Tapi, kental ego saya terus memerhati. Saya buat aksi begitu sehingga awak tenggelam dan lemas dari pandangan mata saya.

Sesungguhnya, hati saya terus berbolak-balik memikirkan perihal awak yang sedang kecapi bahagia. Itu khabar terbaharu yang saya dapat dari sumber yang sahih. Bukuan hati saya terus tersemat rapi. Tidak jadi untuk saya buka bukuan hati ini untuk dipersembahkan kepada awak. Waktu mendapat berita itu, saya rasakan Tuhan tidak perlu menghantar wanita ke dalam dunia ini untuk hidup saya yang akan datang. Kalau perlu pun, saya tetap mahu awak. Biarlah awak bermati-matian menolak kehadiran saya di bumi ini. Saya tetap akan wujud, Mungkin dalam bentuk partikel zarah yang paling ringan dan sepi di ruang vakum yang paling tidak dipeduli oleh manusia-manusia yang bertangan jahat dan rakus.

Konklusinya, saya langsung tidak harap awak terkesima dengan tulisan saya. Saya tahu semua ini awak anggap sampah dan tiada guna pun kalau dikitar semula. Asalkan awak faham semua apa yang saya tulis itu sudah cukup buat saya berbahagia, bagi pihak awak juga.
Selain itu, saya berterima kasih jika awak baca sehingga titik noktah yang terakhir ruangan ini. Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana Tuhan ilhamkan teknologi yang mampu mencantikkan bait-bait yang buruk dalam hidup saya kepada tulisan yang kemas dan seragam. Kalau adapun typo, itu bukan silap Tuhan pun. Cuma Tuhan berikan kesilapan itu melalui saya, hamba-Nya yang lemah dan serba tidak tahu ini. Sedarlah kita bahawa saya tidak sempurna dan awak pun sama. Sama-sama hina di mata Dia. Walaupun awak ada anugerah yang diberikan oleh manusia, itu tidak menjamin langsung syurga hari sana kelak.

Terima kasih kepada diri sendiri (awak dan saya).