February 27, 2014

Amuk

Entah kenapa aku rasa mahu mengamuk hari ini
Entah mengapa aku mengamuk tadi

Bagaimana amuk aku itu?
Rasanya
tidak perlu kamu tahu
Kalau kamu dapat lihat wajah aku
tadi
Tentu sudah kamu lari
Benci.

Ego aku ada sedikit calit
tadi
Sakit di hati.
Kalau sakit,
biar Tuhan yang bebatkan.
Tuhan Maha Tahu.
Kamu mana tahu.

Walaupun kamu teman sejati.

Asing

Mulai musim ini
Aku dan kamu diasingkan.

Baguslah,
Pura-pura aku tidak setuju
Tapi,
mungkin aturan Tuhan begitu.

Tatkala kamu didepan
Sepertinya ada dinding aku rempuh,
guna hati.
Aku cuba leraikan resah terlindung
Kadangkala aku perhati
bagaimana kamu,
hidup dan suasana kamu,
rasa kamu.
Aku tidak erti ekspresi itu.

Yang aku tahu hati ini sugul
detak hati ingin tahu tentang kamu
Sesal atau gembira kamu waktu ini.

Ingin terus istiqomah aku ini,
kehidupan asing dalam kenalan.
Sepanjang kenangan,
hadir tidak aku minta
butuh saat aku perlu.

Kamu tidak asing bukan? Mungkin.

0123

Masa ini 
aku sendiri
menatap ruang masa lohong
yang juga kau sendiri biarkan kosong.


Perlukah aku sebegini?
Zat-zat masa semakin dibebat dengan beban yang sarat.
Masa-masa begini
pasangan sudah nyenyak.
Mimpi hanya yang enak-enak
Mimpikan perihal anak-anak.

Aku menahan kantuk yang mampir.
Bosan dan puas hati silih bergili.
Ke mana aku mahu hala abad seterusnya?

February 10, 2014

Solat Hajat Tunai

Macam biasa, time cuti panjang budak-budak sekolah atau musim perayaan mana-mana agama di Malaysia tercinta juwita ini, mesti ada orang melayu (dibaca Islam/Muslim) buat majlis kenduri seperti kenduri kahwin, kesyukuran, maulid/selawat/marhaban dan solat hajat. Terima kasih aku ucapkan kepada kerajaan Malaysia yang pemurah kerana sentiasa menambah serta memberi cuti kepada seluruh anggota masyarakat untuk bersuka-ria bersama keluarga sambil menzirahi jiran tetangga serta sanak saudara disamping masyarakat yang boleh beramah mesra sesama mereka. Tak kiralah kerajaan ni pemurah mana pun. Yang penting kita tak lupa Tuhan yang  Paling Maha/Amat Pemurah.

            Aku nak cerita pasal duit tunai dan hajat yang bakal tertunai sebenarnya. Semua bermula pasal orang-orang masjid ni selalu diajak ke rumah-rumah orang yang buat solat hajat. Aku bukanlah golongan budak masjid sebenarnya, tapi takde apa nak buat sangat time cuti jadi ikut sahaja ke mana yang orang nak bawak pergi majlis mana-mana pun. Semalam sebelum aku nak sampai masjid lagi tok siak ,namanya Hanafi, panggil aku time tu orang tak iqamat lagi, aku sampai je kat tangga masjid, pak cik Hanafi terus hulur angpau dan dia bagitau ke aku yang lepas solat kejap lagi ada solat hajat. Aku dah faham sebenarnya bila orang-orang masjid ni hulur angpau yang biasanya terisi not RM5, solat hajat.

Semalam aku pergi masjid, lambat seperti biasa. Aku tiba sebelum solat berjemaah bermula. Aku ni memang terer sangat bab solat berjemaah ni. Time orang nak solat baru aku sampai baru la tak membazir masa aku. Perangai macam ni korang jangan ikut, kelak rosak masa depan korang yang sedia rosak dek kerana kejar ilmu asbab nak cari wang tu.

            Bagi aku, ni buah fikiran aku la, perlu ke marhaen menghabiskan wang ringgit hanya untuk mintak tolong orang solat hajat? Pernah satu ketika aku terfikir alangkah nikmat kalau tiap-tiap hari ada orang buat soalt hajat. Secara realitinya, agama seperti disogok dengan tunai dan benda ini bagi aku satu amalan yang tidak sihat. Apa salahnya kalau bagi je makanan untuk ‘upah’ orang solat hajat tu mana tahu makanan tu menjadi darah daging bakal ulama atau wali yang join solat hajat masa tu kan.

            Kalau ikut suruhan agama, manusia disyorkan untuk berhajat sendiri dengan Tuhan, sama ada solat sorang-sorang atau jadi imam untuk solat hajat tu. Tak ada salahnya, mana tau lebih cepat makbul. Orang yang solat tu mungkin hanya nak duit upah itu sahaja. Contohnya macam aku yang tak berapa benar ni.
020214
AkhimullahM

Jiwa Syukur


Aku anggap kedatangan kamu disertai keajaiban
Setiap titis peluhmu,
ada sahaja manusia kepingin
Derap kedatanganmu juga
kadang-kadang didambakan makhluk
Sekian lama
hati-hati dan jiwa-jiwa,
kering tandus
pasrah kecewa
dengan ketidakhadiranmu.
Waktu ini aku juga leka menunggu kamu.
Gelisah dan keliru.
Itu ketika aku gembira.
Gelisah dan keliru juga hadir,
pada masa aku sudah jelik, mungkin.
Yang pasti aku kian hancur, lebur.
Yang penting datangnya kamu buat aku berundur.
Aku berundur kerana sejuk dan syukur.
Tuhan jadikan kamu untuk basahkan dataran,
tanah yang mungkin kian makmur dan subur.
Aku ucap syukur atas kurniaan makmur.
050114
AkhimullahM

Tugu Rokiah




Terasa bahang
Sejuk
sejuk hingga ke tulang
Dinihari
Macam hari-hari lain
Aku lihat kepayahan
Aku ternampak jerih kehidupan
Kepayahan itu adalah hidup
Hidup  jerih tak terpisahkan

Walaupun beban hidup menjerkah
Engkau terus gagah
berseorangan
Ditampung sayang beberapa rakyat
Aku harap rakyat kamu tahu apa laku kamu
Biar mereka balas segala budi jasa
Kamu juga manusia khilaf terbiasa

Aku lihat masa hitam dan putih kamu
Hitam itu dalam genggaman
Putih itu akan lahir pada masa kedepan.
Sabar dan beradu apa yang mampu.
220114
AkhimullahM

AkhimullahM



“Punca kuasa tak boleh dibahagi dua! Tak boleh dibahagi kepada manusia! Asbabnya, akal yang satu banyak helah tenaga!”
050114

Aliff

           Berita waktu perdana sedang ke udara langsung dari syarikat televisyen swasta di ibu kota sementelah topik lompat parti, politik wang dan menghambur manifesto pihak-pihak tertentu menjadi isu pokok pada masa itu kerana hampir waktu pilihan raya. Seorang jejaka sedang enak menikmati hidangan yang telah dipesan awal ketika dia tiba di warung berhampiran Masjid Mukim Razaleigh itu. Nasi Goreng Kampung dan Teh ‘O’ ais menjadi cernaan malam itu sambil dia menikmati pemandangan sekeliling di mana sekalian marhaen melepaskan keluhan beban kerja sebelah siang hari dengan melepak di warung simpang masuk ke jalam masjid. Pelbagai topik diketengahkan apabila golongan marhaen ini bila berkumpul di warung itu misalnya hal politik negara yang dilihat semakin cacamarba, dapatan ekonomi yang merosot di saat harga barangan mencanak naik dan budak muda dengan agenda mereka untuk memikat si gadis sunti pelayan kedai tersebut.
 

            “Jangan kacau abang tengah makan nasik tu!” pemerhatian jejaka itu tersentak dengan suara seorang ibu yang datang dari arah dapur warung berkenaan. Agak tegas suara itu.

Jejaka itu memerhatikan suasana berhampirannya, seorang budak berumur sekitar empat atau lima tahun sedang memerhatikan seorang jejaka lain bersama kekasihnya atau adiknya barangkali, pasangan itu tidak mengendahkan budak kecil itu. Lebih tepat lagi, jejaka itu menunjukkan riak muka yang langsung tidak selesa dengan kehadiran kanak-kanak itu. Beberapa saat selepas suara ibu tadi ke udara di atmosfera warung tersebut, budak itu meninggalkan meja pasangan itu dan beralih ke meja jejaka itu.

            Kulit yang agak putih bagi seorang kanak-kanak Melayu, ukuran tinggi yang sederhana bagi umur sebayanya, sepasang mata yang dilihat zahir tidak sempurna kerana sebelah kanan dihuni oleh selaput seakan warna biru dan tekstur yang agak kompleks atau pelik dan sebelah lagi normal.


Hidung normal, dagu sedikit meruncing menyerlahkan sedikit kecomelan usia namun rahang bawahnya kelihatan turun naik mengikut tempo laju ketika dia memerhatikan orang-orang dewasa yang menikmati hidangan yang melambangkan kuasa membeli rakyat Malaysia.


Jemarinya tidak sekata kerana ibu jari yang selalu disuakan ke dalam mulut dan dihisap atau dikemam, tipikal dan hampir majoriti kanak-kanak melakukan ritual itu. Pertuturan yang hanya reti menjawab ‘ya’, ‘tak’ dan ‘tak tau’ dan langsung tidak petah, tetapi lincah. Senyuman yang melirik gedik atau sengihan nakal yang mungkin bisa merobek keegoan seorang dewasa untuk membalas senyuman itu.

            “Nama apa?” Tanya jejaka tadi.

×
        
    “Assalamualaikumwarahmatullah,” jejaka itu memberi salam sebelum keluar dan melangkah keluar dari rumah menghala ke masjid mukim yang jauhnya dua ratus meter kurang lebih.

Rutin ini telah ‘dipaksa’ oleh abahnya yang memang dikenali sebagai seorang yang tegas jika hal berkaitan ritual agama. Padahal agama itu bukan perlu diwarisi kerana agama itu datang untuk manusia berfikir perihal hidup. Impak agama yang diwarisi ini telah mengehadkan konteks seseorang untuk mencari tujuan hidup yang sebenar berikutan terpaksa menyesuaikan gaya hidup bersesuain dengan si pewaris agama itu.

Perjalanan mengambil durasi masa tiga hingga lima minit itu telah memberi peluang kepada jejaka tersebut memerhatikan gelagat kejiranannya. Seorang ibu sedang berborak dengan anak-anaknya di beranda, seorang ayah sedang membaiki basikal anaknya, beberapa orang ibu umur lingkungan tiga puluhan riuh berborak dan sekumpulan kanak-kanak peringkat sekolah rendah sedang berkejaran. Senyum terukir kerana melihat keharmonian dan kasih sayang tersebut lantas jejaka itu terlupa mengajak jiran-jirannya ke masjid. Mana mungkin dia lupa, tapi sudah azalinya jika manusia-manusia ini sedar dan khabar akan kelebihan solat jemaah pasti setiap inci rumah dikerah ke masjid. Jejaka itu bersangka baik, mungkin penetap kejiranannya berjemaah di rumah. Husnuzon.

Sampai sahaja di masjid lebih kurang sepuluh minit sebelum waktu Asar menjengah, jejaka itu menambah amalannya dengan niat beriktikaf, solat sunat tahiyatul masjid dan membaca picisan ayat suci Quran sementara menunggu muazin melaungkan azan.

            Beberapa jemaah sampai dalam masa sebelum azan. Ada yang datang naik motosikal, kereta dan jalan kaki serta ada yang bawa anak isteri. Namun, kelibat seorang budak yang dilihatnya di warung tempoh hari mengusik sedikit hatinya yang sedang berteleku bersandar di satu tiang beranda masjid. Budak itu berseorangan tanpa ditemanai sesiapa. Jarak yang yang sangat dekat dengan masjid memungkinkan kehadirannya tanpa dipandu sesiapa.

Masjid itu dahulunya meriah dengan ramai jemaah yang menghuni kawasan setinggan di tebing sungai yang berhampiran dengan masjid tak kira golongan tua atau muda masing-masing tak betah untuk datang ke masjid yang dirasmikan oleh ahli parlimen daerah pada akhir tahun tujuh puluhan dahulu kala. Kini, masjid itu kian lesu dan tidak penuh pun penuh satu saf dan boleh dikira pakai jari berapa orang anak muda yang bertandang menghadap Tuhan dirumah-Nya.

×

“Pergi basuh kaki!”
“Jangan main kat sini!”
“Pergi balik!”

            Dialog-dialog yang biasa jejaka itu dengar dek kerana amarah jemaah yang umurnya sudah lanjut terhadap budak itu. Budak yang tidak erti akan aksara abc, 123 dan sebagainya diherdik di atas rumah Tuhan. Padahal semua yang hadir tarafnya sama disisi Tuhan. Hal ini dilihat sebagai situasi tenat kerana manusia suka menjatuhkan hukum dan menilai mahkluk sesuka hati di mana sahaja termasuk di Masjid Mukim Razaleigh.
Jejaka tersebut hanya mampu menahan gelak dan berdoa di dalam hati agar orang-orang yang mengherdik budak itu lembut sepertimana mereka menyantuni kanak-kanak biasa yang putih gebu, kiut miut serta pelbagai lagi definisi kanak-kanak yang ‘baik’ bagi mereka.

×

“Muka surat berapa?” Tanya si cilik yang istimewa itu.
Jeda beberapa saat.
“27” jejaka itu diam dan meneruskan bacaan ayat Quran yang tidak seperti qari  musabaqoh Quran mana-mana peringkat.


            Rutin tersebut telah menjadi rutin jejaka dan budak itu setiap kali selepas solat Asar. Si cilik itu akan mengambil mana-mana buku surah Yasin ataupun Muqaddam untuk dia seolah-olah membaca bersama-sama jejaka itu. Kadangkala budak itu berlagak seperti seorang guru yang mengajar Quran.
     “Muka surat berapa? Baca!” tegas budak itu.
    “34,” jejaka itu senang menyebut mana-mana nombor kerana memang budak itu takkan tahu kerana dia sendiri kadang-kadang tergelak-senyum melihat keletah budak itu. Dia meneruskan bacaan sehingga habis sehelai ayat suci Quran dibaca. 

×

“Nama apa?” soal jejaka kepada budak itu.
“Alif,” sepatah jawapannya.
“Dah makan?” Tanya lagi.
“Tak,” ringkas.
“Dah mandi?” soalan lagi.
“Tak,” ringkas juga.
“Dah makan?” sekali lagi soalan bagi menduga.
“Dah,” tenang sambil belek-belek Muqaddam yang dipegang sebelum jejaka itu belum mula baca Quran lagi.
“Makan apa?” uji lagi.
“Makan nasik. Ikan kering,” rinci sikit jawapan kali ini.
“Siapa buat?” inginkan interaksi lebih beraksi.
“Mak,” tersengih.
“Mak mana?” ingin menguji ingatan anak terhadap ibu.
“Tu,” sambil tangan mengarah ke arah warung yang dapat dilihat dari beranda masjid.
“Jom, balik” ajak jejaka itu kerana hari semakin senja dan risau ibunya mencari si Alif.
  
Mereka berpisah di tangga masjid. Sebenarnya selepas menunjukkan arah warung tadi Alif sudah berlari menuju tangga dan menuju terus lesap dibalik celahan kereta beberapa pekerja bank yang diparkir di kawasan sekitar luar kawasan masjid bagi mengelakkan bayaran parkir yang diselia oleh majlis daerah. Betapa tingginya kos sara hidup sekarang sehingga pekerja bank yang makan gaji tidak rela untuk membayar parkir kereta.
×
            Jejaka itu pulang sambil memikirkan apa nasib si cilik istimewa yang bernama Alif. Persoalan sarat bersarang di minda, apakah manusia yang normal mampu atau sanggup menerima dan dapatkah si Alif menongkah arus norma masyarakat yang kononnya mencari serta hidup dalam kesempurnaan. Hanya fikiran sahaja yang dapat mengawal masyarakat dan juga Alif untuk terus hidup. Setibanya di rumah, si jejaka melihat keluarga besarnya yang kian disogok dengan ujian dan dia hanya menunggu masa untuk diuji. Semakin besar keluarga dan semakin tua usia, makin ligat manusia dengan helah akal. 

“Hidup untuk menjaga Tuhan dan manusia, nescaya kita akan dijaga kelak.”

020214
AkhimullahM